memeluk anak

Kelebihan Memeluk Anak Dalam Mengawal Tingkahlaku Mereka

memeluk anak
memeluk anak memberi banyak kelebihan kepada ibu bapa.

“Ahmad fokus ahmad, fokus!”

Jenuh saya cuba mengawal anak murid yang seorang ini dan memastikannya fokus dalam bacaan Iqra’.

“Tak mau, tak mau, Ahmad nak main Batman, Iqra’ ni bosan…!” balas Ahmad dengan selamba dan kemudian meninggalkan meja belajar dan terus ke sudut mainan sambil melompat-lompat.

Saya menggaru kepala sambil beristigfar. Walaupun telah berusia tujuh tahun, telatahnya seperti kanak-kanak berusia empat atau lima tahun.

Dia bijak, tetapi untuk menyuruhnya duduk dan fokus, Subhanallah. Satu cabaran yang agak besar bagi saya.

Jika sebelum ini dirumah, saya hanya berdepan dengan anak-anak perempuan yang banyak juga akalnya, namun masih mudah dikawal.

Tapi, berdepan dengan cabaran mengajar anak-anak lelaki local muslims daripada bangsa yang berbeza membuatkan saya terpaksa mengubah suai sedikit meter kesabaran dalam mendidik.

Tika saya menyuruh membaca Iqra, diajaknya saya bermain. Tika saya memintanya menghafal, pelbagai alasan diberikan. Tika saya ingin mengajar wuduk, dia bising bajunya basah dan tidak menumpukan perhatian.

memeluk anakKadang-kadang panas juga telinga apabila dia mempersoalkan pelbagai perkara dan menolak untuk membaca apabila disuruh.

Setelah beberapa minggu mengajar, kesabaran saya teruji sedikit hari ini.

Mungkin kerana saya juga penat setelah berhempas pulas berfikir tentang pengajian sepanjang hari ini. Mujurlah masih mampu menekan butang ‘pause’ dan berfikir dengan rasional. Cuba mencari penyelesaian agar dia mampu fokus semula.

‘Ahmad, mari sini…’ panggil saya dengan lembut.

Perlahan-lahan Ahmad datang dengan wajah selamba. Apabila dia telah cukup hampir, saya merangkul tubuhnya dan memeluknya erat.

Ahmad tergamam.

Perlahan saya berbisik di telinganya sambil mengusap rambutnya perlahan. “Ahmad, kamu adalah seorang anak yang baik dan soleh, jom baca Iqra’ sama-sama, selepas habis dua muka surat kita main ye.”

Saya mendukung tubuhnya yang kurus dan meletakkan dia di atas riba. Saya melihat wajahnya dan merenung tepat pada matanya, ternyata dia masih tergamam.

Perlahan-lahan saya menyuruhnya membaca dan alhamdulillah, dia membaca dengan tenang sehingga habis. Kami kemudian meneruskan aktiviti hafazan diikuti dengan solat dan ternyata, fokus ahmad selepas dipeluk kemas, amat luar biasa.

memeluk anakSebelum ini banyak juga saya terbaca kesan positif pelukan ibu bapa terhadap anak-anak dan saya juga sering memeluk anak – anak dirumah sebelum mereka tidur dan sebelum saya keluar bekerja.

Dalam beberapa kajian Barat, dinyatakan bahawa pelukan boleh memberikan kesan tenaga positif dengan mengurangkan tekanan dan meredakan perasaan ketakutan. Pelukan juga boleh meningkatkan keintiman hubungan antara suami isteri dan antara ibu bapa dan anak-anak.

Memeluk anak adalah sunnah Rasulullah

Agama kita juga amat menganjurkannya.

Bahkan contoh daripada kehidupan Rasulullah dan interaksinya bersama kanak-kanak amat banyak untuk diteladani oleh ibu bapa.

Dalam sebuah hadis sahih riwayat Abu Hurairah dinyatakan bahawa:

 “Sesungguhnya al-Aqra’ bin Habis pernah melihat Nabi memeluk anak (Hassan). Lalu al-Aqra’ berkata: ‘Sesungguhnya aku mempunyai 10 anak, namun aku tidak pernah memeluk seorang pun daripada mereka. Kemudian Rasulullah bersabda: ‘Sesungguhnya sesiapa yang tidak menyayangi, nescaya dia tidak akan disayangi’.” 

[Riwayat Bukhari]

Banyak pelajaran yang boleh kita ambil daripada hadis diatas.

Pertama sekali, kita lihat bagaimana Rasulullah, walaupun dengan martabatnya yang tinggi sebagai rasul, ketua negara, panglima perang, imam masjid dan selaku manusia yang paling bertakwa kepada Allah, tetap lemah lembut dan menzahirkan kasih sayangnya kepada anak-anak.

Kemudian lihat bagaimana Rasulullah menzahirkan kasih sayangnya. Baginda tidak segan untuk memeluk anak – anak kecil bahkan Baginda menegur Sahabat tersebut yang menyatakan bahawa beliau tidak pernah memeluk anak walaupun seorang pun daripada mereka.

Rasulullah juga pernah menegur seorang lelaki Badwi yang menyatakan bahawa dia tidak mencium anak-anak lelaki.

Seorang Badwi datang kepada Nabi dan berkata, “Kamu mencium anak-anak lelaki! Kami tidak mencium mereka.” Kemudian Baginda berkata, “Aku tidak boleh meletakkan kasih sayang dalam hatimu selepas Allah mengambilnya.” [Riwayat Bukhari]

Dalam beberapa hadis lain, kita dapat lihat bahawa Rasulullah pernah mendukung anak kecil ketika solat dan memendekkan solatnya ketika mendengar anak kecil menangis.

Rasulullah juga sering menegur (bertegur mesra, bukan teguran akibat melakukan kesalahan) anak-anak kecil yang sedang bermain di jalanan dan berdoa kepada anak-anak.

 

Penutup: peluklah anak kita, masih belum terlambat

Sebenarnya banyak lagi kisah daripada perjalanan hidup Rasulullah sebagai panduan kepada kita untuk menyayangi dan menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak melalui tindakan seperti doa, pelukan dan berlemah lembut terhadap mereka.

Peluklah dan doakan anak-anak sebagai satu usaha untuk menuruti sunnah Rasulullah dan sebagai salah satu cara untuk kita menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak.

Jangan malu untuk sering mencium dan memeluk anak – anak kerana mereka adalah antara anugerah Allah paling berharga buat ibu bapa.

Moga Allah memberikan kita petunjuk dalam mendidik anak-anak dan memberikan kita kekuatan untuk membangunkan mereka sebagai pewaris generasi harapan. InsyaaAllah.

—–

Artikel ini dipetik daripada buku Suami bukan Malaikat, Isteri Bukan Bidadari, tulisan Ust. Mohd Hisyam Mohd Sharif.

Semoga memberi manfaat kepada semua pembaca blog TSC. 🙂

Published by

Muhamad Naim Abd Manaf

Muhamad Naim merupakan seorang guru dan pengasas kepada blog akuislam.com. Semoga segala apa yang dikongsikan memberi manfaat kepada semua ibu bapa pembaca laman ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

WordPress Anti-Spam by WP-SpamShield