Ibu bapa tidak akan berjaya mendapat anak yang jujur sampai bila-bila jika mereka sendiri mempamerkan budaya bohong sama ada sedar atau tidak sedar.
Ibu bapa seperti ini ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Kadang-kadang sebenarnya didikan songsang ini berlaku tanpa disedari oleh ibu bapa itu sendiri.
Bagaimana?
Secara umumnya, ibu bapa biasanya akan “mengajar” anak- anak berbohong dalam situasi berikut:
#1 Menakutkan Anak- Anak
Ketika ibu bapa mahu melarang anak-anak melakukan sesuatu dengan cara menakutkan anak-anak dengan sesuatu yang palsu dan bohong.
Kaedah ini popular dan berkesan untuk menghalang anak-anak kecil daripada terus menangis atau sebagainya. Namun kesannya besar dalam memberikan tanggapan salah kepada mereka bahawa berbohong itu dibolehkan.
Hal ini akan disedari oleh anak-anak apabila mereka semakin matang dan memahami apa yang ditakutkan-takutkan itu.
#2 Memberi Jawapan Palsu
Apabila anak-anak bertanya sesuatu yang ibu bapa tidak tahu tetapi enggan menunjukkan kejahilan, maka ibu bapa memberikan jawapan yang tidak betul dan palsu.
#3 Berbohong & Melupakan Janji
Ibu bapa juga kerap berbohong ketika mereka berjanji bagi menghargai atau memujuk anaknya, tetapi lupa dengan janjinya. Sedangkan anak-anak tidak pernah melupakan janji kedua-dua ibu bapa mereka.
Lebih parah lagi mereka langsung tidak cuba untuk menunaikan janji apabila diingatkan oleh anak-anak.
#4 Menyuruh Anak Menjadi Orang Tengah
Apabila si anak dijadikan orang tengah oleh ibu bapa bagi mengelakkan sesuatu dengan cara berbohong. Dalam situasi ini mereka akan menyuruh anak mereka berbohong bagi mengelakkan diri daripada sesuatu seperti tetamu yang datang atau panggilan telefon.
Biasa ibu bapa memperalatkan anak-anak dengan perkataan “bohong sunat”. Hmm..
#5 Ibu Bapa Yang Suka Berhelah
Ibu bapa menipu atau berhelah dalam urusan seharian dan anak-anak menyaksikan pembohongan itu. Situasi ini berlaku termasuklah ketika mereka berbohong dengan pasangannya atau dalam urusan kerja.
Jika anak-anak menyaksikan pembohongan ini, mereka akan menganggap bahawa berbohong itu sesuatu yang tidak salah, bahkan kadang-kadang amat diperlukan
Penutup
Oleh itu wahai ibu bapa, berhati-hatilah apabila berbicara, berjanji dan berhelah dengan anak-anak anda. Takut-takut anda mengajarnya berbohong secara tidak sedar dan tidak sengaja.
Semoga Allah sentiasa membimbing kita dalam membentuk keluarga yang Rahmah dan Mawaddah. =)