Kes anak disengat lebah sering terjadi terutamanya apabila mereka bermain di kawasan permainan yang berhampiran dengan hutan dan pokok-pokok besar.
Lebah adalah sejenis serangga yang sinonim dengan madu. Tiada lebah maka tiadalah madu. Ia hidup secara berkelompok.
Ia akan menyerang sesiapa sahaja tidak kira binatang ataupun manusia secara berkumpulan apabila berasa terancam.
Sengatan serangga ini tidak terhad kepada rasa sakit semata-mata. Ia mengandungi toksin yang boleh menghasilkan kesan radang pada kawasan yang disengat.
Kes yang lebih serius boleh berlaku apabila sengatan terjadi secara berkumpulan dalam kuantiti yang banyak.
Lebih parah, situasi seperti ini boleh menyebabkan terjadinya tindak balas anafilaktik yang boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.
Anafilaktik adalah reaksi alahan serius badan kepada bendasing seperti toksin dan allergen. Allergen merujuk kepada bendasing yang menghasilkan tindak balas alahan.
Sengatan lebah mengandungi Feromon. Ia merupakan bahan kimia yang memberikan isyarat tentang lokasi sengatan dan mendorong lebah-lebah lain untuk turut menyerang.
Apa yang terjadi sebaik seseorang disengat adalah gejala alahan dan kesan radang. Ia boleh jadi ringan atau serius, bergantung kepada keadaan sengatan itu sendiri.
Gejala ringan selalunya berkait dengan tindak balas setempat. Contohnya :
- Rasa gatal
- Warna kulit menjadi merah-kemerahan
- Bengkak
- Kesakitan buat sementara waktu dan hilang dengan ubat penahan sakit
Yang paling kita takutkan adalah tindak balas alahan yang lebih serius dan dikenali sebagai tindak balas anafilatik.
Dalam kes seperti ini, tindak balas yang terjadi bukan lagi tertumpu pada kawasan setempat semata-mata. Malah ia merangkumi kesan buruk terhadap organ-organ penting seperti jantung, paru-paru dan buah pinggang.
Hati-hati ! Kerana ia boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.
Hal sedemikian sering kali terjadi apabila seseorang itu mempunyai latar belakang kesihatan alahan yang teruk atau apabila disengat oleh lebah secara berkumpulan.
Gejala-gejala yang boleh terjadi termasuk :
- Loya
- Muntah
- Bibir dan wajah menjadi bengkak begitu juga dengan kawasan dalam tekak
- Pernafasan yang berbunyi seolah-olah seperti siulan
- Sesak nafas
- Sakit dada
Jadi mengenal pasti kategori gejala sama ada ringan atau serius itu penting bagi dalam penilaian keadaan anak anda apabila disengat lebah.
Komplikasi serius lain yang boleh terjadi adalah kerosakkan otot dan buah pinggang.
Anda sebagai ibu bapa wajib bertindak pantas namun bagaimana caranya ?
1. Mencabut Sisa Penyengat
Sisa penyengat perlu dicabut dan dikeluarkan secepat mungkin untuk mengelakkan kawasan sengatan tersebut terus terdedah kepada toksin yang terdapat di dalamnya.
2. Tuaman Ais
Benda-benda yang sejuk seperti ais dipercayai mampu mengurangkan kesan radang yang terjadi. Ia juga boleh menghasilkan rasa kebas lalu mengurangkan kesakitan yang dirasai anak.
3. Mengenal Pasti Gejala-Gejala Serius
Waspadalah dengan gejala-gejala serius seperti yang telah dinyatakan di atas kerana ia membahayakan nyawa anak.
Jika anda dapati anak anda mengalami bengkak pada bibir dan wajah, sesak nafas, muntah, sakit dada dan sebagainya, bersegeralah ke hospital.
Sebagai ibu bapa 3 tindakan pantas di atas sudah memadai. Kerana langkah seterusnya akan diambil alih oleh doktor.
Jika terjadi tindak balas anafilaktik, doktor dan petugas kesihatan akan bertindak seperti berikut dengan cepat tanpa membuang masa.
1. Terapi oksigen untuk memastikan bekalan oksigen kepada tubuh badan sentiasa mencukupi walaupun kanak-kanak yang disengat mengalami masalah saluran pernafasan.
2. Suntikan adrenalin untuk meredakan tindak balas anafilaktik.
3. Memantau dengan rapi kerana jika keadaan anafilaktik bertambah teruk maka berkemungkinan prosedur intubasi perlu dilakukan. Hal ini kerana keadaan saluran pernafasan bertambah buruk dan tidak cukup hanya dibantu dengan terapi oksigen semata-mata. Ia merupakan kaedah terakhir yang diambil bagi memastikan proses pernafasan berjalan dengan lancar.
Penutup
Oleh itu, ibu dan ayah jangan ambil ringan apabila anak disengat lebah dan bertindaklah dengan pantas demi keselamatan anak yang tersayang.
Ingat 3 langkah pantas ini lindungi anak anda.
Semoga bermanfaat.