Cara Mendidik Anak Dengar Cakap (2022)

Lain orang lain teknik. Terdapat pelbagai jenis cara mendidik anak dengar cakap yang diamalkan oleh kebanyakkan ibu dan ayah.

Cuma persoalannya, sejauh manakah keberkesanannya didikan itu sendiri bagi anak-anak tersebut.

Pernah tak anda sebagai ibu bapa menghadapi situasi berikut ?

Situasi Pertama :

Apabila anda menyuruh anak melakukan sesuatu perkara , dia mengendahkannya secara mentah-mentah.

Situasi Kedua :

Apabila anda melarangnya daripada sesuatu perbuatan yang hendak dilakukannya, dia mengamuk dan menangis.

“ Cara mendidik anak dengar cakap yang berkesan adalah apabila anak tersebut mematuhi perintah kedua-dua ibu bapa bukan atas dasar takut, tetapi atas dasar kerelaan hati mereka sendiri. ”

Mendidik anak untuk patuh akan arahan serta nasihat merupakan antara perkara paling mencabar serta sangat meletihkan bagi pasangan yang bergelar ibu dan ayah.

Namun begitu, ingatlah ia adalah suatu usaha yang pasti berbaloi pada masa hadapan kelak apabila mereka semakin membesar dan matang.

Artikel ini membincangkan cara-cara mendidik anak dengar cakap yang betul dan berkesan.

1. Menggunakan Kata-Kata Yang Baik Dan Lembut

Secara lumrahnya, arahan dan suruhan yang datang dalam bentuk yang keras dan kasar hanya akan menyuburkan rasa ingin memberontak di dalam jiwa seseorang.

Jika hal ini sering terjadi pada golongan dewasa. Tidak mustahil ia juga boleh terjadi pada golongan kanak-kanak.

Seeloknya elakkan daripada menggunakan perkataan-perkataan seperti jangan, tidak dan sebagainya.

Sebagai contoh :

Ahmad, jangan keluar rumah !
Fatimah, tidak boleh buat macam itu !

Situasi-situasi seperti ini akan memberikan kesan yang negatif terhadap perkembangan anak-anak itu sendiri. Selain membantutkan rasa ingin tahunya untuk meneroka persekitaran, ia juga boleh meningkatkan tahap tekanan stres dalam jiwa mereka.

Cara Mendidik Anak Dengar Cakap
Terlalu banyak perkataan yang negatif dan kasar boleh menyebabkan seorang anak menjadi pasif.

Apa yang boleh anda lakukan adalah dengan menukarkan ayat-ayat larangan yang menggunakan perkataan-perkataan kasar dengan perkataan dan ayat yang lebih lembut dan membawa makna yang sama.

Sebagai contoh :

Ungkapan ” Jangan lari ! “ digantikan dengan ” Tolong jalan perlahan-lahan “
” Jangan jerit ! ” digantikan dengan ” Tolong perlahankan suara. “

Cara mendidik anak dengar cakap seperti ini bukan sahaja mampu membuatkan mereka mematuhi arahan anda, malah ia bebas daripada sebarang unsur-unsur negatif.

2. Menjadi Contoh Teladan Baik

Walaupun anda menggunakan pelbagai cara mendidik anak dengar cakap sekalipun, anda tidak dapat menafikan bahawa hakikat didikan yang berkesan adalah melalui contoh teladan ibu bapa itu sendiri.

Kanak-kanak secara umumnya belajar melalui pemerhatian terhadap tingkah laku pasangan ibu bapa itu sendiri. Bak kata pepatah melayu, “ Bapa borek, anak rintik. ”

Kedua-dua ibu bapa boleh menunjukkan kepada anak-anak mereka bagaimana mereka memenuhi permintaan antara satu sama lain tanpa berlengah-lengah.

Jika ia merupakan suatu kebiasaan yang dilazimi dalam rumahtangga anda, tidak mustahil anak-anak anda juga akan turut melakukan perkara yang sama.

3. Memberikan Ganjaran

Secara lumrahnya, kanak-kanak memang sukakan ganjaran. Usaha mendidik anak memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Tidak ramai ibubapa yang mampu menghadapi cabaran ini dengan penuh ketenangan. Ia juga memerlukan tempoh masa yang panjang untuk anda melihat hasilnya,

Oleh itu, melazimi ganjaran boleh meningkatkan lagi rasa gembira dalam mentaati perintah ibu bapa pada peringkat awal sebelum ia menjadi tabiat yang kekal dalam kehidupan mereka.

Jika anda mendapati pemberian ganjaran merupakan suata perkara yang agak sukar untuk dilakukan, galakkan dan kata-kata pujian juga sudah dikira memadai untuk mendorongnya terus istiqamah.

4. Elakkan Berleter

Ingatlah, bereleter bukanlah satu cara mendidik anak dengar cakap yang baik. Malah, ia sepatutnya dijauhkan sehabis mungkin.

Anda bukan sahaja tidak dapat membetulkan kesilapan yang dilakukan anak-anak, ia juga turut akan menimbulkan konflik permusuhan antara anda dan mereka.  

Hal yang demikian kerana tindakan berleter pada hakikatnya merupakan proses untuk mencari silap dan bukannya untuk memperbaiki keadaan.

Kita dapat lihat dalam suatu leteran itu sering kali dipenuhi dengan kesalahan-kesalahan yang dilakukan seseorang begitu juga dengan kekurangannya.

Jarang sekali terdapat kata-kata positif yang terselit di sebalik leteran tersebut.

Kesan yang anda dapat lihat daripada situasi ini adalah, anak-anak tetap akan mengulangi kesilapan dan larangan yang sama. Mereka menjadi kurang bersemangat untuk melakukan perkara-perkara positif kerana seringkali dihamburkan dengan kata-kata yang negatif dan menurunkan keyakinan diri.

Sikap suka berleter dapat dielakkan dengan menjadi ibu bapa yang proaktif dalam menangani masalah anak-anak berbanding dengan respon yang bersifat reaktif.

Bersedialah dengan apa jua kemungkinan yang bakal berlaku dan pada masa yang sama berusaha untuk mengenal pasti asas kepada suatu permasalahan dan menyelesaikannya dengan teliti. Dengan ini, kedua-dua pihak dapat memahami situasi antara satu sama lain.

Anak-anak juga akan menjadi lebih mudah untuk mendengar pandangan mahupun permintaan kerana suburnya unsur kepercayaan, rasa hormat dan sayang yang tinggi terhadap ibu bapanya.

5. Bersifat Terbuka Jika Berlaku Perbezaan Pendapat

Anak-anak apabila semakin membesar terutamanya apabila usia meningkat remaja, mereka akan lebih susah untuk menturuti arahan atau mendengar cakap.

Hal ini berkait rapat dengan perubahan emosi semasa mereka mencapai akil baligh. Anda harus sentiasa cakna terhadap perubahan tersebut.

Pendapat dan perbuatan mereka sering kali bercanggah dengan apa yang diinginkan oleh kedua-dua ibu bapa.

Antara cara mendidik anak dengar cakap pada fasa ini adalah dengan bersikap lebih terbuka. Ia boleh dilakukan dengan memberikan ruang kepada mereka untuk berkongsi dan meluahkan apa yang terpendam dalam hati.

Apabila segala curahan hati telah selesai, barulah tiba giliran anda untuk memberikan pandangan bagi merasionalkan kembali dirinya.

Ini adalah kaedah yang selalunya dilakukan oleh individu yang terlibat dalam bidang kaunseling dan sebagainya.

Kesimpulan

Walaupun pun senarai cara mendidik anak dengar cakap kini boleh dicari dengan mudah pada zaman yang serba moden ini, namun apa yang paling penting sekali adalah tahap kesabaran kedua-dua ibu bapa itu sendiri dalam melaksanakannya.

Tanpa kesabaran yang tinggi segala usaha yang dilakukan pasti gagal.

Anda mempunyai cara-cara mendidik anak dengar cakap yang mudah untuk dilakukan ? Sila kongsikannya pada bahagian komen di bawah !
Jemput share. Terima kasih
Leave a Reply

Your email address will not be published.

two × three =

Risk Free Shipping

If your orders lost during shipment, we will do the replacement or refund

Easy 180 days returns

180 days money back guarantee

100% Secure Checkout

Toyyibpay / MasterCard / Visa