Pelbagai jenis penyakit boleh terjadi apabila terhadap kanak-kanak obes seperti kencing manis, darah tinggi, kerosakan sendi dan sebagainya. Disebabkan hal sedemikian, ramai dari kalangan pasangan ibu bapa yang menghadapi masalah tersebut tercari-cari cara mengatasi obesiti kanak-kanak yang paling efektif.
Masalah gemuk di kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia semakin meningkat dan telah mencapai 30%.
www.myhealth.gov.my
Ibu bapa memainkan peranan utama dalam mengatasi situasi ini dengan berpandukan nasihat doktor dan pakar nutrisi.
Artikel ini akan membincangkan tentang pelbagai jenis cara mengatasi obesiti kanak-kanak yang boleh diusahakan oleh kedua-dua ibu bapa.
1. Ibu bapa Sebagai Contoh Teladan
Antara pepatah yang terkenal di kalangan masyarakat Melayu yang boleh hayati dalam usaha mendidik anak adalah :
“ Seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dirinya sendiri berjalan mengiring ”
Ya, ia agak pahit untuk diterima namun begitulah hakikat yang sebenar bagi individu yang bergelar ibu dan bapa. Ia merupakan suatu kenyataan yang cukup ringkas namun padat dengan unsur pengajaran dan nasihat yang tersirat.
Bagaimana mungkin anak-anak mempunyai motivasi untuk menurunkan berat badan sedangkan ayah atau ibunya juga mempunyai berat badan berlebihan.
Andai kata, kedua-duanya tidak mempunyai masalah berat badan sekalipun masih perlu menunjukkan usaha dalam mengamalkan gaya hidup sihat agar ia dapat dicontohi dengan mudah oleh anak yang obes.
Ia juga akan menjadi aktiviti yang menyeronokkan apabila dilakukan bersama-sama dengan ahli keluarga yang lain.
Tambahan, ia merupakan salah satu cara mengatasi obesiti kanak-kanak yang paling berkesan kerana ibu bapa adalah figur contoh yang akan dicontohi anak.
2. Memastikan Anak Sentiasa Aktif Dengan Kegiatan Fizikal
Apabila kita bincang tentang topik cara mengatasi obesiti kanak-kanak ataupun golongan dewasa, aspek kegiatan fizikal seperti senaman tidak boleh diambil ringan.
Hal yang sedemikian kerana aktiviti ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kadar metabolisma dalam badan lalu mempercepatkan pembakaran lemak.
Bagi permulaan, ibu bapa tidak perlu terlalu tegas dalam menetapkan tempoh masa untuk senaman atau aktiviti-aktiviti yang melibatkan kekuatan fizikal badan.
Berlalunya masa, anda boleh perlahan-lahan meningkatkan tempoh masa tersebut sesuai dengan daya ketahanan anak-anak.
Jika aktiviti seperti berjoging tidak disukai olehnya, anda boleh memilih alternatif lain seperti berenang, bermain di taman permainan, menunggang basikal dan sebagainya.
Ia akan jadi lebih menyeronokkan dan membantu mereka dalam lebih konsisten untuk kekal aktif pada setiap hari.
3. Memberikan Sokongan Moral
Jika golongan dewasa akan menjadi lebih semangat dalam melaksanakan tugasan harian apabila mendapat pujian daripada orang atasan, inikan pula kanak-kanak.
Berikan kata-kata semangat terhadapnya dalam setiap permulaan aktiviti senaman dan sebagainya agar dirinya terus bermotivasi.
Begitu juga dengan puji-pujian atau hadiah ringan. Hal ini supaya lama-kelamaan ia akan menjadi suatu tabiat yang mudah dilakukannya tanpa perlu disuruh lagi.
Oleh itu, usaha memberikan dorongan dan galakkan sepanjang masa boleh dikira sebagai salah satu cara mengatasi kanak-kanak yang penting kerana ia membantu untuk terus fokus mencapai matlamat yang diingini.
4. Mengehadkan Akitiviti Sedentari ( pasif )
Di zaman yang serba canggih dengan ciptaan teknologi yang berbagai, kanak-kanak pada masa kini terdedah kepada aktiviti kehidupan yang lebih pasif berbanding dengan zaman dahulu.
Gajet-gajet seperti telefon pintar dan komputer yang dibanjiri dengan seribu satu aplikasi permainan video menjadi tembok penghalang utama untuk memastikan diri mereka sentiasa aktif.
Mungkin sukar untuk menghalang mereka daripada mendekati gajet-gajet seperti ini, namun ia tidak mustahil.
Antara langkah yang efektif adalah dengan mempelbagaikan aktiviti-aktiviti fizikal dalam bentuk yang lebih kreatif dan menyeronokkan. Hal yang sedemikian menuntut usaha yang lebih dari kedua-dua ibubapa dan pasti akan membuahkan hasil yang memuaskan.
5. Menjaga Diet Pemakanan
Akhir sekali, kita juga tidak akan lari dari aspek penjagaan diet pemakanan apabila membincangkan tentang cara mengatasi obesiti kanak-kanak.
Proses menurunkan berat badan samada bagi golongan dewasa atau kanak-kanak adalah tidak jauh beza.
Diet pemakanan merupakan faktor utama yang akan mempengaruhi keberkesanan proses tersebut.
Tanpa diet pemakanan yang seimbang, kalori-kalori yang dibakar ketika akitiviti senaman menjadi sia-sia.
Banyakkan hidangan yang mengandungi jumlah fiber, zat mineral dan vitamin yang tinggi. Begitu juga dengan kandungan protein untuk pembinaan kekuatan otot.
Kurangkan pengambilan makanan yang mempunyai kandungan gula dan lemak yang tinggi seperti makanan segera, minuman berkarbonat dan sebagainya.
Jangan lupa juga untuk banyakkan minum air masak untuk terus mengekalkan kandungan air yang mencukupi di dalam badan.
Kesimpulan
“ Melentur buluh biarlah dari rebungnya ”
Pada hakikatnya, mendidik anak untuk sentiasa aktif perlu bermula seawal yang mungkin dan bukannya apabila mereka telah mengalami masalah obesiti dan sebagainya.
Apabila amalan gaya hidup sihat berjaya diterapkan dalam kehidupan mereka, secara tidak langsung masalah berat badan berlebihan juga dapat diatasi dengan mudah.