Sehari Bersama Adik-Adik yang Menyentuh Hati
Pada 25 Mei 2025 yang lalu, team TudungSiComel diberi peluang berharga untuk ke Pusat Jagaan Amal Asyura dalam satu program CSR yang cukup bermakna. Seramai 36 orang adik-adik Asyura menyambut kami dengan penuh mesra dan senyuman yang tak lekang dari wajah mereka.
Kami hadir bukan sekadar membawa sumbangan, tetapi juga untuk menceriakan mereka dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Antara aktiviti yang kami jalankan ialah lantunkan bola pingpong ke dalam egg tray, buat menara guna cawan, dan permainan kegemaran ramai – bola beracun! Seronok tengok mereka bersaing sambil ketawa dan bersorak, semangat betul adik-adik ni!
Untuk anak-anak kecil bawah 9 tahun pula, kami sediakan aktiviti mewarna. Masing-masing tekun dan kreatif, hasilnya memang penuh warna-warni dan comel sangat. Semua aktiviti ada pemenangnya – tempat pertama, kedua dan ketiga. Tapi bagi kami, semua anak-anak ini adalah pemenang di hati.
Kami juga berkesempatan menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka – barang keperluan harian, sarapan dan makan tengah hari untuk hari tersebut. Sumbangan ini khas untuk anak-anak yatim, fakir miskin dan asnaf yang dijaga di pusat ini.
Walaupun hanya setengah hari bersama, terasa sangat rapat dengan mereka. Entah kenapa, perasaan sayang tu terus hadir. Seolah-olah dah lama kenal. Kami pulang dengan hati yang penuh rasa syukur, sayang, dan semangat baru.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Pusat Jagaan Amal Asyura kerana menerima kami dengan tangan terbuka, dan buat adik-adik yang melayan kami dengan begitu mesra.
Buat yang ingin turut sama menyumbang kepada anak-anak ini, anda boleh terus hubungi pihak Pusat Jagaan Amal Asyura. Setiap sumbangan anda – besar atau kecil – sangat bermakna untuk mereka.
Soalan Lazim (FAQ)
1. Apa jenis sumbangan boleh diberi kepada pusat jagaan?
Barang keperluan, makanan, pakaian, kelengkapan sekolah atau sumbangan wang. Namun lebih elok jika hubungi terus pihak Pusat Jagaan Amal Asyura untuk tahu keperluan semasa yang paling mereka perlukan. Ini bagi memastikan sumbangan kita lebih tepat dan bermanfaat.
2. Macam mana nak hubungi pihak pusat jagaan?
Boleh hubungi mereka melalui nombor telefon atau media sosial rasmi mereka.
3. Ada had umur untuk anak-anak yang dijaga?
Pusat ini menjaga anak-anak dari pelbagai peringkat umur, dari kecil hingga remaja.