“Subhanallah! Comelnya anak ini. Masih kecil, tapi sudah bertudung.”
TudungSiComel.com – Kelebihan Memiliki Anak Kecil Yang Menutup Aurat | Pernahkah kita mendengar ayat sebegini diungkapkan apabila melihat seorang anak kecil yang belum pun baligh tapi comel bertudung. Mungkin anda sendiri yang mengucapkannya kepada si anak kecil itu. Pastinya anak ini akan menarik perhatian ramai. Tidak kurang juga yang mendoakan agar si kecil yang hari ini comel bertudung membesar sebagai anak yang solehah.
Permata hati yang Allah kurniakan kepada setiap pasangan suami isteri sebagai lambang cinta yang sah hendaklah diasuh sedari kecilnya mengikut rentak al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Anak yang lahir itu suci keadaannya, sebagaimana maksud daripada sabda Rasulullah SAW:
“Setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.”
Andai dicorakkan si kain putih dengan warna hitam, maka hitamlah jadinya. Jika dicorak warna putih, maka putihlah ia.
Memiliki anak kecil yang bijak memilih untuk menutup aurat merupakan anugerah yang tidak terhingga daripada Allah SWT. Anak yang kecil ini pasti mengikut jejak langkah orang tuanya kerana mereka merupakan teladan terdekat dengan si kecil ini. Mengikut setiap perkara yang dilazimi oleh kedua ibu bapanya. Sudah biasa si anak melihat ibunya mengenakan pakaian yang longgar, tudungnya labuh melepasi paras dadanya dan tidak lupa mengenakan sarung kakinya. Begitu juga ketika si cilik ini dipertontonkan pemakaian yang kemas, seluarnya panjang menutup paras aurat dengan sempurna dari si ayah.
Dengan pendedahan mengenai kepentingan menjaga aurat yang selalu dibincangkan bersama anak-anak kecil, natijahnya mereka lebih gemar memilih pakaian yang sopan menutup aurat sebagaimana yang digariskan syariat. Sedikit demi sedikit, anak-anak kecil mula faham dengan salah satu tuntutan dalam agama Islam, iaitu menutup aurat. Bukankah ini cukup menyenangkan hati kedua ibu bapanya, sekaligus mempermudahkan tugas mereka dalam memastikan aurat anak-anak mereka sentiasa terpelihara dan terjaga? Maka wajarlah pepatah Melayu mengatakan, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.”
Sejuk mata memandang ketika anak kecil itu mula mengenakan pakaian-pakaian yang menuju ke arah penutupan aurat yang sempurna, maka secara tidak langsung, latihan kepada mereka telah dipraktikkan sewaktu umur mereka masih seawal jagung. Anak kecil sewajarnya diberi pendedahan mengenai kewajiban menutup aurat. Diterangkan dengan jelas, bahagian manakah sebenarnya yang dilabelkan sebagai aurat bagi lelaki dan juga bagi perempuan. Agar kefahaman yang ditanam mengenai isu aurat ini bukan sekadar lepas paras ‘tahu’ tetapi fahamnya tiada, takut-takut praktikalnya kurang tahan lama.
Sedar atau tidak, dalam masa yang sama anak kecil sudah berlatih menutup aurat, ibu bapa sudah melatih mereka untuk memelihara maruah dan menjaga kurniaan Allah yang tidak ternilai harganya. Ini merupakan permulaan yang baik sama ada bagi kanak-kanak tersebut atau ibu bapa mereka. Mendidik kepada perkara yang berunusur kebajikan juga turut dikurniakan ganjaran pahala. Sambil menyelam minum air. Jadi, sambil melatih si kecil menutup aurat, saham akhirat turut ‘masuk tabung.’
Penampilan anak kecil yang berusaha menutup aurat dengan sempurna, dipersembahkan melalui pemakaiannya, mungkin mampu menjadikan mereka sebagai ‘idola kecil’. Idola muslim dan muslimah kecil, yang mungkin mampu menambat hati ibu bapa yang lain, mengaplikasikan cara pemakaian yang sama kepada anak-anak mereka. Akhirnya, lahirlah sebuah generasi Islam yang diimpikan, teguh berasaskan perlembagaan al-Quran, mantap berhujjah dengan as-sunnah.
Kesimpulannya, titik bermulanya anak kecil ini mengaplikasikan gaya hidup Islamiah adalah bermula daripada sikap dan komitmen daripada kedua ibu bapanya dalam mendidik putera puteri mereka berteraskan perlembagaan al-Quran dan as-sunnah. Kerana itulah lahirnya anak walaupun umurnya masih setahun jagung mengenali dunia, namun mampu menampilkan pakainnya yang indah menepati garis titah Yang Maha Esa malah, akhlaknya juga halus. Sebagaimana dalam perumpamaan Melayu, “benih yang baik kalau di campak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau.”
Sumber Imej : Google
salam!Saya berminat utk menceburi bidang ini. Saya nak buat temujanji dgn Puan….bila boleh berjumpa utk berbincang? tq
Terima kasih tuan Yusri =)
Saya dah reply kepada msg tuan, terima kasih =)