Pada 24 April 2025 yang lalu, keluarga besar TudungSiComel telah mengadakan Majlis Potluck Raya 2025 yang berlangsung begitu meriah di HQ kami. Majlis ini merupakan acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua warga kerja HQ – sebuah tradisi yang mengeratkan lagi ukhuwah antara kita semua.
Untuk majlis kali ini, kami berasa sangat teruja kerana buat julung kalinya, penganjuran acara ini telah dibahagikan mengikut biro, diketuai oleh Kaka sebagai ketua projek. Setiap ahli pasukan telah diberikan tanggungjawab masing-masing, dari biro permainan, keceriaan, multimedia, kebersihan, makanan, hadiah dan lain-lain. Pendekatan ini membuatkan semua lebih terlibat secara aktif, saling bekerjasama serta lebih memahami antara satu sama lain.
Apa yang menjadikan majlis kali ini lebih istimewa, ia merupakan kali pertama melibatkan ahli jawatankuasa yang teratur dalam organisasi majlis. Hasilnya, perjalanan program lebih lancar dan teratur! Semua team sangat seronok dan menikmati masa bersama, bergelak tawa dengan pelbagai aktiviti menarik yang telah dirancang.
Paling menggembirakan, setiap staff membawa pelbagai juadah yang bukan sahaja sedap-sedap belaka, bahkan sangat banyak dan pelbagai! Memang rambang mata nak rasa setiap satu hidangan yang dibawa, syukur Alhamdulillah atas rezeki yang dikongsi bersama.
InsyaAllah, untuk majlis akan datang, kami bercadang untuk menjemput rakan-rakan agent dan sahabat terdekat TudungSiComel untuk memeriahkan lagi sambutan. Semoga impian ini dipermudahkan, amin.
Akhir kata, jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga HQ TudungSiComel yang telah bertungkus-lumus menjayakan Majlis Potluck Raya kali ini. Semoga ukhuwah dan semangat kekeluargaan ini terus subur demi kesejahteraan dan kejayaan bersama.