Kebelakangan ini, ramai kalangan ibu bapa tercari-cari info tentang manfaat Vitamin C pada anak-anak kecil. Mana tidaknya, dengan kes COVID-19 yang semakin meningkat ibu bapa manalah yang tidak risau jika yang terjangkit itu adalah anak sendiri.
Apakah Vitamin C ?
Nama saintifiknya adalah asid askorbik. Untuk pengetahuan anda, Vitamin C tidak dihasilkan oleh tubuh manusia. Disebabkan hal sedemikian, ia perlu didapatkan daripada sumber luar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
Sejak dahulu lagi, Vitamin C adalah antara jenis vitamin yang memberikan manfaat besar pada sistem imun badan seseorang.
Kalau anda cuba mengambil sedikit masa untuk meneliti ahli-ahli keluarga yang mempunyai masalah kesihatan kronik, dalam banyak-banyak ubat yang diambil kemungkinan akan terselit juga dengan suplemen Vitamin C.
Tapi bukan semua jenis penyakitnya ya. Kena faham tu.
Sumber Terbaik Vitamin C Datang Dari Mana ?
Seperti yang anda maklum bahawa badan manusia tidak mampu untuk menghasilkan Vitamin C. Justeru anda boleh dapatkannya dengan mudah daripada pelbagai jenis buah-buahan sitrus dan sayur-sayuran.
Pasti anda tertanya-tanya pula apakah buah sitrus ?
Buah sitrus adalah kumpulan buah-buahan popular termasuk oren, anggur, limau dan limau nipis. Buah-buahan ini terkenal dengan rasa masamnya yang enak dimakan.
Sejauh Manakah Kelebihan Dan Manfaat Vitamin C Pada Anak ?
Untuk memudahkan anda memahami dengan lebih lanjut tentang kepentingan Vitamin C pada kanak-kanak, berikut adalah senarai manfaatnya :
1. Mempunyai Ciri Antioksida
Umi-umi dan Abi-abi sekalian tahukah bahawa radikal-radikal bebas sentiasa terhasil dalam tubuh manusia melalui proses-proses metabolisma.
Pada masa yang sama, Allah S.W.T dengan kebijaksanannya juga telah menciptakan tubuh ini dengan kemampuan tersendiri untuk menghapuskan radikal-radikal tersebut daripada badan.
Walau bagaimanapun dengan kehidupan masyarakat zaman kini yang terdedah kepada gaya hidup kurang sihat seperti makanan segera, pencemaran udara, kandungan bahan pengawet dalam makanan, makanan berproses dan sebagainya telah memberikan kesan terhadap sistem pertahanan badan itu sendiri.
Peningkatan radikal-radikal bebas dalam badan boleh memberikan kesan terhadap struktur DNA dalam sel-sel badan dan merosakkannya.
Dengan ciri antioksida yang terdapat dalam Vitamin C, ia membantu dalam melindungi sel-sel badan daripada kerosakkan yang boleh dilakukan oleh radikal-radikal bebas ini.
2. Menggalakkan Pertumbuhan Tulang Kanak-Kanak
Sementara itu, Vitamin ini juga penting dalam perkembangan dan pertumbuhan tulang anak-anak ya Mommys dan Daddys.
Mesti tidak ramai yang tahukan ?
Sebab zat yang sering dikaitkan dengan kesihatan tulang adalah kalsium. Rata-rata iklan sama ada di televisyen atau papan iklan jalan raya akan mempromosikan pelbagai jenis susu yang dikatakan tinggi kandungan kalsium boleh membantu memelihara kesihatan tulang kanak-kanak.
Ini benar, tetapi jangan lupa bahawa Vitamin C juga memainkan peranan penting dalam hal ini.
Hal sedemikian kerana ia merupakan elemen penting dalam pembentukkan kolagen dalam tubuh seterusnya menjadi asas kepada pertumbuhan tulang.
3. Meningkatkan Tahap Imun Badan Anak
Untuk pengetahuan tambahan ibu dan ayah, Vitamin C juga bukan sahaja mampu meningkatkan kekuatan imun badan si manja dengan merangsang penghasilan sel-sel putih dalam tubuh.
Malah, ia juga memelihara kekuatan lapisan kulit dengan peranannya dalam penghasilan kolagen. Iaitu sejenis protein yang menguatkan ikatan-ikatan antara sel.
Dipercayai luka-luka yang terjadi boleh sembuh dengan kadar lebih cepat jika anak tersebut memiliki kandungan Vitamin C yang optimum.
Terdapat kajian yang menyatakan bahawa Vitamin C mempunyai peranannya yang tersendiri dalam rawatan penyakit ” Jangkitan Paru-Paru “– Pneumonia
Penutup
Sebagai bicara akhir, anda semua boleh mula untuk menghidangkan buah-buahan sitrus dalam hidangan-hidangan makanan harian begitu juga dengan menambah menu-menu masakan sayur untuk disantapi anak-anak yang disayangi agar mereka mendapat belakan Vitamin C pada kadar yang optimum.
Semoga bermanfaat dan selamat beramal.