Adakah kita memiliki hobi menjahit atau memperbaiki barangan rosak? Kembangkanlah.
Siapa tahu, dengan perkara itu ia dapat menjadi sumber pendapatan ataupun membawa kita ke puncak kejayaan. Sekiranya ada kebolehan untuk untuk memasak, menulis, berniaga, ataupun melukis, maka kembangkanlah dengan semaksimumnya.
Jadikan kegagalan dan kepahitan yang dialami pada masa dulu sebagai pendorong dan sokongan semangat bagi menjadikan diri lebih dewasa, matang dan mampu melangkah ke hadapan dengan penuh semangat.
Motivasi Untuk Meningkatkan Potensi Diri
Selalulah melihat sesuatu perkara itu dari sudut positif dan peluang untuk kita mempertingkatkan diri. Jadikan ia sebagai motivasi bagi membangkitkan potensi dalam diri.
Mungkin tanpa kita sedari sebenarnya kita memiliki potensi bakat yang hebat dan kemampuan diri yang masih terpendam. Mungkin Allah mengeluarkan potensi kita tersebut melalui pelbagai kejadian yang berlaku disekitar hidup kita.
Tinggal kita sahaja untuk memahami setiap hikmah yang Allah tunjukkan. Oleh itu, sentiasalah merenung dan muhasabah diri dalam menilai sesuatu kejadian.
Mari Tukarkan Kepahitan
Seperti kisah orang yang melompat pagar tinggi semasa dikejar anjing, kita mampu meningkatkan prestasi dan menukarkan hempedu yang pahit menjadi tebu yang manis.
Jadikan keperitan dan kesusahan sebagai pendorong bagi membina kemampuan dan mengeluarkan bakat yang selama ini terpendam.
Sayang sekali sekirannya kita menutup diri dan menyimpan bakat dan potensi diri dengan berkata “Saya tidak mampu.. Saya tidak boleh.. Saya takut dan tidak dapat..”. Kita telah menisytiharkan untuk kalah sebelum berjuang. Sungguh rendah maruah kita!
Rugi Seperti Rajawali
Teringat akan kisah sebuah kisah mengenai sebiji telur Burung Rajawali yang dieramkan oleh ibu ayam. Apabila menetas, anak rajawali hidup bersama anak-anak ayam.
Apabila anak rajawali melihat burung-burung rajawali lain terbang tinggi di angkasa, ia juga merasa mahu terbang. Dan ia terus mula meluaskan sayapnya.
Setiap kali anak rajawali ingin terbang, ibu ayam yang melihat, segera marah dan melarangnya.
Akibatnya, anak rajawali itu terus menjalani kehidupan seperti anak-anak ayam yang lain dan tua bersama ayam. Akhirnya, ia pun mati sebagaimana matinya ayam, padahal ia adalah seekor rajawali.
Apa yang ingin ditunjukkan disini adalah, mungkin kita seekor rajawali yang sedang dalam proses mencari jati diri dan mengembangkan potensi diri.
Namun disebabkan tidak “berasa” kuat menghadapi cabaran yang datang dan tidak pula mahu bersedia menghadapi kepahitan, kita pun senasib dengan anak rajawali yang hidup bersama anak ayam, menjadi tua, dan mati dalam kalangan anak-anak ayam.
Bukankah itu satu kerugian?