Pada 13 Oktober 2025, kami menerima kehadiran saudari Uzma, pelajar Diploma Komunikasi dan Pengajian Media (Mass Communication) dari UiTM Rembau, untuk menjalani latihan industri di Jabatan Pemasaran TudungSiComel sehingga 28 November 2025. Sepanjang tempoh internship ini, Uzma didedahkan dengan pelbagai aspek pemasaran digital yang praktikal dan relevan dengan keperluan industri semasa.
Di fasa awal latihan, Uzma diperkenalkan dengan latar belakang syarikat, jenama dan produk TudungSiComel. Beliau turut mempelajari mindset serta etika kerja dalam dunia pemasaran, asas marketing funnel, penggunaan tools penting seperti Canva dan CapCut, serta prinsip asas copywriting. Pendedahan ini membantu Uzma memahami bagaimana strategi pemasaran dibina dari peringkat awal sebelum sesuatu kandungan diterbitkan.
Seterusnya, Uzma mula terlibat dalam perancangan kandungan secara lebih terperinci. Beliau belajar mengenal pasti content pillar, menyusun kalendar kandungan, memahami audiens sasaran melalui persona dan pain point, serta menjalani sesi brainstorming idea. Uzma juga dilatih menulis brief untuk kandungan video dan reka bentuk agar selari dengan objektif pemasaran.
Dalam fasa seterusnya, fokus diberikan kepada penulisan dan visual. Uzma mempelajari perbezaan gaya penulisan untuk media sosial dan laman web, teknik soft sell dan hard sell, penulisan headline yang menarik, serta cara menyunting ayat supaya lebih ringkas dan engaging. Dari segi reka bentuk pula, beliau didedahkan kepada asas design rules seperti susunan visual, warna dan font, serta menghasilkan pelbagai grafik menggunakan Canva untuk pelbagai platform.
Uzma juga berpeluang mempelajari asas penyuntingan video dengan menggunakan CapCut. Beliau menghasilkan video pendek untuk platform seperti TikTok dan Reels, lengkap dengan teks, subtitle, transisi dan susunan muzik yang sesuai dengan visual. Selain itu, Uzma turut dilatih dalam pengurusan media sosial termasuk penjadualan posting, asas engagement dengan audiens, serta menilai prestasi kandungan melalui reach, engagement dan CTR.
Menjelang penghujung internship, Uzma diperkenalkan dengan asas live streaming sebagai salah satu strategi pemasaran digital. Beliau mempelajari kepentingan Live, platform yang sesuai, penggunaan peralatan asas, serta struktur skrip Live daripada pembukaan sehingga penutup. Internship Uzma diakhiri dengan pembentangan tugasan akhir, semakan hasil kerja, perkongsian soft skills, sesi soal jawab dan maklum balas daripada pasukan.
Sepanjang berada di TudungSiComel, Uzma menunjukkan sikap yang positif, mudah belajar dan berani mencuba perkara baharu. Kami di TudungSiComel amat menghargai usaha serta komitmen beliau sepanjang tempoh latihan industri ini dan mendoakan kejayaan Uzma dalam bidang yang diceburi pada masa akan datang.
🎥 Video di atas merupakan perkongsian Uzma sendiri tentang pengalaman beliau sepanjang menjalani latihan industri di sini.








