Setiap pasangan ibu bapa tidak akan terlepas daripada rasa marah pada anak samada secara kerap atau sekali-kala.
Ia ibarat situasi yanng tidak ada pengakhiran. Setelah selesai suatu masalah, timbul pula yang seterusnya.
Apabila selesai meleraikan pergaduhan antara anak sulung dan anak yang kedua, anak bongsu pula secara tidak sengaja memecahkan gelas kaca di dapur.
Bebanan tekanan stres meningkat dalam diri lalu membuatkan kebanyakkan ibu bapa memilih jalan pintas untuk menyelesaikannya dengan harapan kesalahan yang sama tidak berulang lagi dengan melempiaskan rasa marah pada anak.
Pada saat-saat yang tenang, ternyata kita mampu menghadapi detik-detik ini dengan penuh sabar. Namun apabila penat lelah bekerja masih belum hilang ataupun ketika dibebani dengan tugasan-tugasan tambahan yang lain ternyata hal sebaliknya terjadi.
Faktor utama yang menyebabkan kita bertindak sedemikian adalah kerana kita mendidik berdasarkan kaedah yang sama sebagaimana kita diasuh dahulu.
Walaupun kita rasa menyesal setelah melepaskan rasa marah pada anak, hal yang sama pasti berulang dan menjadi kitaran situasi yang berulang-ulang.
Jangan risau, kerana kebanyakkan dari pasangan ibu bapa turut mengalami keadaan yang sama dan percayalah bahawa kita pasti dapat mengubahnya.
Artikel ini akan membincangkan tentang cara meredakan rasa marah pada anak kecil yang disayangi.
1. Meletakkan Batas Rasa Marah Pada Anak
Secara umumnya, anda akan menjadi mudah untuk rasa marah pada anak akibat tidak meletakkan batas kemarahan.
Apabila ketiadaan batas tersebut, maka kemarahan akan terjadi bukan sahaja pada kesalahan-kesalahan besar.
Malah kesalahan-kesalahan yang pada umumnya kelihatan kecil juga turut akan mencetuskan rasa berang dalam diri anda.
Jika ia dibiarkan berterusan, lama-kelamaan boleh jadi semua perkara yang anak buat akan terus dimarahi anda.
Dikhuatiri kejadian seperti ini secara tidak langsung akan membentuk anak yang takut mencuba, menyebabkan perkembangan daya kreativitinya terbatas lalu menjadi seorang insan yang pasif.
2. Menenangkan Diri
Tindakan yang berhikmah lahir ketika fikiran kita tengah lapang beserta dengan jiwa yang tenang.
Ilham untuk mendidik dengan berkesan tidak akan terjadi apabila kita bertindak dalam keadaan yang dipenuhi dengan perasaan marah yang membuak-buak.
Pastikan anda menarik nafas secara dalam buat beberapa kali bagi menenangkan diri sebentar sebelum mengorak langkah seterusnya,
Menegur anak dalam keadaan jiwa tengah bergelora hanya akan membuatkan anda berhadapan dengan anak ibarat seorang musuh.
Pada ketika itu, perkara yang paling ditakutkan adalah terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini seperti menengking, memukul dan sebagainya.
Ingatlah, bahawa melempiaskan kemarahan tidak dapat meredakan kemarahan tersebut bahkan memburukkan lagi keadaan.
Ibarat api membara yang disimbah minyak, semakin marak pula ia terjadi.
3. Berbicara Dengan Baik Bersama Anak
Kajian telah mendapati jika kita bertutur dengan baik dan dengan menggunakan kata-kata lembut ketika berbicara atau menegur anak kita akan menjadikan diri kita lebih tenang.
Di samping menegur dan mendidik, anda juga turut menenangkan jiwa secara tidak langsung.
Pada masa yang sama, anda juga dapat menyampaikan apa yang ingin diluahkan dan pengajaran boleh dipelajari oleh anak-anak terhadap kesalahan yang dilakukan.
Ia bukan sahaja membuatkan anak anda belajar daripada kesilapan tersebut dan berusaha untuk tidak mengulangi perbuatan yang sama.
Malah anda juga dapat mengelakkan daripada hati mereka terluka dengan kata-kata yang kasar.
4. Mencuba Pelbagai Kaedah Mendidik Anak
Anda akan dapati terdapat pasangan ibu bapa yang mampu mendidik anak menjadi insan baik tanpa menggunakan konsep hukuman atau dengan marah sebagai asas didikan.
Contoh terbaik yang kita dapat pelajari adalah melalui teladan Rasulullah S.A.W. Boleh dikatakan anda tidak pernah dengar bahawa Baginda S.A.W pernah meninggikan suara atau memukul anaknya akibat kesalahan yang dilakukan.
Ingatlah, kurniaan anak merupakan anugerah Allah S.W.T, wajar bagi kita untuk mendampinginya dengan penuh kasih sayang. Nasihat Baginda SAW:
“Siapa yang tidak merahmati nescaya tidak dirahmati.”
5. Jangan Mengungkit Dan Memendam Rasa Marah Pada Anak
Jangan memendam perasaan marah dan mengungkit-jungkit kesalahan-kesalahan lalu yang dilakukan anak-anak.
Terimalah seadanya, sudah menjadi hakikat yang nyata bahawa menjadi ibu bapa itu memerlukan kesabaran yang tinggi.
Jika kaedah pertama tidak berhasil, berubahlah kepada cara seterusnya.
Sifat suka memendam dan mengungkit akan membuatkan kemarahan anda pada kesalahan-kesalahan anak di masa hadapan menjadi bertambuh buruk dan sudah pasti anda juga tidak mahu ia terjadi.
Penutup
Secara kesimpulannya, rasa marah pada anak adalah perkara yang sering terjadi dalam setiap keluarga.
Pada masa yang sama terdapat pelbagai cara yang boleh anda pelajari untuk mengatasinya. Meredakan rasa marah pada anak dengan cepat bukan sahaja mampu membuatkan diri anda lebih tenang.
Malah emosi anak juga turut terpelihara dengan baik.