Manisnya, Si Comel bersiap menyambut Ramadhan
Malam pertama Ramadhan.
Si Comel : Yeay, esok dah start puasa.
Ibu : Amboi, sukanya anak ibu ni ye. Kalau macam tu, Min kenalah puasa penuh.
Si Comel : Kenapa kita kena puasa penuh ibu?
Ibu : Kalau kita puasa penuh, kita akan dapat dua kegembiraan yang Allah dah janjikan untuk kita. Ha, Min nak tahu apa kegembiraan tu?
Si Comel : Nak, ibu ceritalah kat Min.
Ibu : Yang pertama, kita akan rasa gembira masa berbuka nanti.
Yang kedua, kita akan rasa gembira ketika berjumpa dengan Allah nanti.
Si Comel : Kalau macam tu, tahun ni Min nak puasa penuhlah. Ibu, Min masuk tidur dulu ye. Nanti takut terlambat bangun sahur. (sambil mencium tangan ibu)
Ibu : Iyalah, sayang anak ibu ni ya. (sambil mengucup dahi si comel)
Keesokan harinya (11 pagi).
Si Comel : Ibu, Min laparlah.
Ibu : Alahai, kesiannya anak ibu ni. Tak apalah, Min makanlah.
Si Comel : Tak apa ke ibu? Nanti tak gembiralah Min.
Gambar Hiasan
Ibu : Hmm..(sambil tersenyum). Tak apa, hari ni Min dah berjaya puasa sampai pukul 11 pagi kan. Esok Min boleh cuba puasa lagi.
Si Comel : Ok, terima kasih ibu. (sambil memeluk ibu)
Ibu : Sama-sama.
…….
Pernahkah anda berada dalam situasi ini? Sebagai ibu bapa, kita pasti akan rasa berbesar hati dengan ragam si comel yang bersemangat untuk menyambut Ramadhan.
Puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu daripada rukun Islam. Namun, bagaimana untuk kita terapkan kepentingannya kepada si comel?
Seperti situasi di atas, kita seharusnya menerangkan dahulu faedah atau ganjaran puasa itu sendiri.
Seperti dalam hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Hakikat manusia sememangnya akan berusaha demi mendapatkan sesuatu ganjaran. Naluri inilah yang akan mendorong si comel untuk berusaha melaksanakan ibadah ini. Di samping itu, kita perlu sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada si comel untuk membantu.
Semoga kita dan si comel dapat memperoleh ganjaran yang yang Allah janjikan untuk ibadah puasa ini. Salam ceria : )