Sebagai ibu bapa, anda pasti tidak akan terlepas daripada berikhtiar tentang cara terbaik untuk tingkatkan imun badan anak.
Trend peningkatan kes terhadap purata kes aktif COVID-19 baru-baru ini pasti membimbangkan anda. Memikirkan cara yang terbaik untuk melindungi anak daripada diserang sebarang masalah kesihatan.
Tidak terhad kepada COVID-19 semata-mata.
Dengan pembukaan semula sekolah dan pusat jagaan harian, semakin ramai pelajar yang kembali kepada rutin biasa mereka meskipun pandemik Covid-19 masih lagi menular. Justeru itu, amat penting untuk memastikan sistem imun anak anda sentiasa kuat.
Prof Dr Raja Affendi Raja Ali
Ahli Jawatankuasa Pakar Program Pendidikan Probiotik
Pakar Perunding Gastroenterologi Pusat Perubatan UKM
Apa yang anda faham tentang Sistem Imun ?
Bagaimana ia berfungsi ?
Sistem imun terdiri daripada pelbagai jenis sel, tisu dan organ. Kemudiannya ia terbentuk sebagai satu rangkaian kompleks dan berfungsi sebagai satu unit.
Sistem ini membantu tubuh badan dalam melawan sebarang jangkitan mikroorganisma seperti virus , bakteria dan sebagainya.
Mikroorganisma ialah hidupan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Bukan semua mikroorganisma itu memudaratkan. Ada yang memberikan manfaat pada tubuh seperti bakteria baik yang dikenali sebagai probiotik.
Bagi jenis mikroorganisma yang mendatangkan masalah kesihatan pada badan, ia secara umunya dikenali sebagai “ Patogen ”.
Cara untuk tingkatkan imun badan anak menjadi topik utama dalam dunia perubatan. Usia yang kecil dan masih berada pada fasa perkembangan dan pertumbuhan menyebabkan diri mereka lebih mudah terdedah kepada jangkitan kuman dan virus.
Hakikat yang anda perlu ketahui terlebih dahulu adalah sistem imun kita secara umumnya dipengaruhi oleh pelbagai faktor.
Antaranya ialah genetik, persekitaran, diet pemakanan, penjagaan kebersihan diri, hormon dan kitaran bangun dan tidur.
Kesilapan yang sering dilakukan ibu bapa adalah terlalu menumpukan tentang diet pemakanan sihat semata-mata untuk tingkatkan imun badan anak.
Sedangkan langkah yang lebih tepat memerlukan kaedah yang merangkumi pelbagai aspek dan lebih menyeluruh.
Dalam artikel ini kita akan senaraikan cara untuk Papa dan Mama tingkatkan imun badan anak yang disayangi dengan berkesan.
1. Menjaga Diet Pemakanan Anak
Banyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam hidangan anak. Anak tidak suka sayur ? Latihlah dari kecil. Mak dan ayah berusaha untuk jadi teladan yang baik.
Ingat, ibu bapa adalah figura penting bagi anak. Apa yang ibu bapa sering lakukan, mereka pasti gigih untuk meniru dan mencontohinya.
Karot, kekacang hijau, sayur-sayuran, buah oren dan sebagainya adalah antara contoh makanan yang membantu tingkatkan imun badan anak.
Jadikannya sebagai suatu tabiat yang menarik untuk dilakukan dengan mempelbagaikan warnanya dalam hidangan. Kanak-kanak memang terkenal dengan sifatnya yang sukakan warna-warna yang terang.
Kombinasi resepi dengan makanan-makanan lain juga boleh dilakukan. Teknik sebegini membantu dalam mengurangkan tabiat memilih makanan bagi sesetengah kanak-kanak.
Sumber-sumber ini terkenal dengan kemampuan merangasang pertumbuhan probiotik dalam badan. Secara tidak langsung membantu tingkatkan imun badan anak.
2. Penyusuan Ibu Secara Eksklusif Selama 6 Bulan Awal
Menurut World Health Organizer ( WHO ), penyusuan ibu adalah langkah paling berkesan dalam menjamin kesihatan anak.
Pertubuhan tersebut menyarankan penyusuan ibu diamalkan sekurang-kurangnya selama tempoh 6 bulan dari usia kelahiran.
Namun secara hakikatnya ramai yang tidak mepedulikannya.
Kenapa susu ibu adalah yang paling ideal untuk anak terutamanya yang masih di awal usia ?
Mestilah sebab banyak kebaikannya bukan ?
Antaranya bersih, dan selemat serta tinggi kandungan antibodi yang membantu tubuh kanak-kanak untuk melawan sebarang jenis penyakit.
Apabila ibu dijangkiti penyakit seperti demam, sel darah putih dalam badan ibu akan menghasilkan antibodi untuk melindungi dirinya.
Sebahagian sel darah putih akan masuk ke dalam payudara dan menghasilkan antibodi. Antibodi terhadap jangkitan ibu akan dirembeskan ke dalam susu untuk melindungi bayi.
Dr Ahmad Ridzuan
Penasihat Laktasi
3. Menjaga Waktu Tidur
Kekurangan waktu tidur boleh melemahkan sistem imun kanak-kanak lalu mengundang pelbagai jenis jangkitan dengan mudah seperti selesema dan demam.
Sel-sel imun tidak dapat berfungsi dengan baik. Sejenis sel yang dikenali sebagai “ Natural Killer Cells ” contohnya adalah yang paling terjejas sekali apabila seseorang tidak tidur dengan secukup waktunya.
Sebab itu penting bagi anda memantau dengan baik waktu tidur anak. Bukan sahaja untuk mengelakkan mereka daripada meragam, malah bagi menjamin kesihatan mereka turut terpelihara.
4. Mendorong Anak Rajin Bersenam
Seperti mana yang telah dinyatakan di atas Natural Killer Cells merupakan antara sel penting dalam sistem imun.
Kajian mendapati amalan senaman berupaya meningkatkan bilangannya dalam badan. Oleh itu, anda digalakkan untuk rajin membawa anak-anak keluar bermain di taman permainan pada masa lapang.
Mereka mungkin tidak berminat untuk melakukan kegiatan senaman yang dianggap formal seperti berjoging dan sebagainya.
Oleh itu, aktiviti permainan yang boleh dilakukan di taman permainan yang berdekatan di rumah membantunya untuk bersenam secara tidak langsung kerana ia kelihatan lebih menarik dan menyeronokkan bagi mereka.
5. Elakkan Pengambilan Antibiotik Secara Kerap
Saban hari ini, kita dapati banyak kalangan ibu bapa yang sering memohon preskripsi antibiotik daripada para doktor.
Ia bukanlah suatu amalan yang baik. Pengambilan antibiotik bagi jangkitan selesema dan batuk yang ringan bukan sahaja tidak memberikan sebarang manfaat.
Malah ia akan meninggalkan kesan negatif terhadap sistem imun badan.
Hal sedemikian kerana masalah-masalah kesihatan ini sering kali berpunca daripada jangkitan virus yang boleh pulih dengan sendirinya tanpa keperluan antibiotik.
Disebabkan trend ibu bapa pada zaman ini yang sering meminta agar diberikan antibiotik untuk anak masing-masing ketika selesema dan batuk, maka kebanyakkan doktor terpaksa menurutinya juga atas desakan tersebut.
Hakikat yang anda perlu ketahui di sebalik amalan rawatan sebegini adalah ia akan merangsang pertumbuhan bakteria yang bersifat Antibiotic-Resistance ( Kerintangan Antibiotik ).
Apabila terjadinya fenomena, antibiotik-antibiotik yang biasanya berkesan dalam melawan bakteria tertentu akan menjadi kurang berkesan dan memerlukan penggunaan antibiotik yang lebih kuat.
Situasi seperti ini akan menimbulkan lebih banyak masalah kepada semua pihak. Oleh itu, lebih baik elakkannya daripada terjadi.
Penutup
Kesimpulannya, kesihatan anak perlu dijaga dengan sebaik mungkin agar mereka dapat kekal aktif dalam melakukan kegiatan seharian.
Anak-anak yang sihat dan aktif terbukti akan berkembang dengan lebih baik berbanding dengan mereka yang mempunyai tahap kesihatan yang sebaliknya.
Anda sebagai ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendalami ilmu dalam aspek ini dan mengamalkannya demi menjamin kehidupan si manja yang lebih sejahtera.