Berkomunikasi dengan anak-anak memang tidaklah mudah jika dibandingkan dengan berkomunikasi dengan orang dewasa.
Para ibu bapa sering mengalami kebuntuan ketika untuk cuba berkomunikasi dengan anak ketika anak sedang menunjukkan perilaku mahupun perangai yang tidak tidak sepatutnya seperti mogok makan mahupun tidak mahu pergi sekolah bagi anak kecil.
Bagi anak remaja pula, mungkin mereka melakukan perkara yang lebih membimbangkan seperti tidak pulang ke rumah.
Hasil kajian mendapati ibu bapa hanya berkomunikasi 5 – 10 minit sahaja dengan anak-anak.
Fakta ini pasti mengejutkan banyak pihak. Cuba fikirkan, bila masanya kali terakhir anda berkomunikasi secara berkesan dengan anak-anak.
Bila berlakunya jurang komunikasi di antara ibu bapa dan anak-anak ataupun dengan ahli keluarga yang lain, akan tercetuslah kepincangan di dalam keluarga
Komunikasi akan efektif dan efisien diantara ibu bapa dan anak jika kita mengambil kira beberapa perkara yang berkaitan dengan sifat semulajadi anak-anak.
InsyaaAllah, jika kita cuba untuk memahami dan bertindak dengan sewajarnya, kita mampu menyampai mesej dengan berkesan terhadap mereka.
Disini, kami ingin berkongsi 4 petua untuk menjalinkan komunikasi yang berkesan dengan anak-anak. Catatan ini dirujuk melalui Dr. Tengku Asmadi. Semoga memberi manfaat kepada ibu bapa pembaca Tudung Si Comel.
1. Komunikasi mestilah dua hala.
Apabila komunikasi kita perlu pastikan ia berlaku secara dua hala dan bukannya satu hala sahaja. Sebab itulah pastikan anak-anak dalam keadaan bersedia bagi menerima apa yang mahu disampaikan.
Semak sama ada apa yang disampaikan itu difahami atau sebaliknya. Minta anak-anak ulang semula apa yang disampaikan oleh kita kepada mereka.
Makna komunikasi ialah tindak balas yang kita terima. Jika tindak balasnya tidak seperti apa yang kita mahukan bermakna ada sesuatu yang silap dalam komunikasi kita dengan anak-anak.
Usah terus membuat kesimpulan dengan menyalahkan anak-anak semata-mata.
2. Cara penyampaian itu penting.
Apa yang disampaikan itu penting tetapi keberkesanannya bergantung kepada bagaimana ia disampaikan.
Professor Albert Mehrabian, pakar psikologi daripada UCLA, menyatakan apabila berkomunikasi kesannya berdasarkan kepada perkara berikut.
- 7 peratus fakta
- 38 peratus nada suara
- 55 peratus gaya dan bahasa gerak badan
Oleh itu, ibu bapa perlu faham betapa pentingnya sesuatu mesej itu disampaikan dengan suara yang jelas dan bersungguh-sungguh.
Ada ketikanya ibu bapa menyampaikan sesuatu itu dengan cara yang sambil lewa.
Sebab itulah dengan hanya menjegilkan mata seorang anak kecil tahu ibunya sedang marah lalu terus duduk diam semasa berada dalam majlis keramaian. Sebab 55 peratus kesan komunikasi adalah daripada daripada bahasa badan.
Begitu juga apabila anak sedang memanjat pokok lalu ibunya bersuara dalam nada meninggi dan tegas, “Ha.. panjat tinggi lagi, belum cukup tinggi itu. Panjat lagi, panjat lagi!”
Anak it terus turun daripada pokok sedangkan kalau diikutkan fakta si ibu suruh memanjat, tetapi nada si ibu itu membawa maksud yang berbeza.
Nada suara memberi kesan kepada komunikasi.
3. Bercakap biarlah ikhlas daripada hati.
Deria keenam anak-anak dapat mengesan sama ada apa yang disampaikan oleh ibu bapa itu datangnya daripada hati yang ikhlas ataupun sebaliknya.
Sesuatu yang datang daripada hati terpahat di hati. Ia kekal disitu dan diingati bagi tempoh masa yang lama.
Apabila kita menyuruh anak-anak belajar, nyatakan dengan nada yang menunjukkan keikhlasan. Bukan disebabkan kita bimbang yang kita malu apabila anak tidak berjaya.
Kita nasihatkan mereka sebab kita tahu kerana pelajaran akan banyak membantu mereka pada masa akan datang.
Apabila kita menasihati dan menegur dengan ikhlas, maka kita tidak boleh merasa penat, jemu dan hilang sabar. Kita terus lakukan apa yang sepatutnya seorang ibu atau bapa lakukan.
Kemudian tawakkal supaya Allah membuka pintu hati anak dan memberikan petunjuk untuk berubah dan berjaya.
4. Pelbagaikan cara berkomunikasi.
Seperti yang dinyatakan awal-awal tadi, sesuatu yang diucapkan itu mudah dilupakan.
Lebih-lebih lagi terlalu banyak perkara yang mahu difikirkan oleh mereka dalam sehari.
Oleh itu jangan sekadar bercakap, tetapi susuli juga dengan SMS, memo, surat, ditulis pada papan putih dan sebagainya.
Mempelbagaikan cara berkomunikasi itu membuktikan kita benar-benarmaksudkan apa yang diucapkan. Ia juga memudahkan anak-anak mengingati apa yang kita mahukan.
Penutup:
Jangan pernah menganggap remeh pada soal komunikasi dengan anak-anak. Setiap anak mempunyai keunikan tersendiri.
Jangan juga membandingkan anak dengan sesiapa pun apatah lagi dibandingkan dengan saudara kandung mereka sendiri.
Diharapkan agar para ibu bapa dapat dan setidak-tidaknya untuk cuba berkomunikasi secara efektif dan efisien dengan anak-anak dengan penggunaan bahasa yang sesuai dengan usia dan memahami kondisi yang sedang dialami oleh anak pada waktu itu.
Semoga bermanfaat =)