Jalani kehidupan seikhlas matahari. Dilihat orang ataupun tidak, ia tetap bersinar. Dihargai ataupun tidak, ia tetap menerangi

Tips Berguna Mencari Kawan Yang Baik Untuk Anak

kawan yang baik

Ibu bapa yang prihatin akan sentiasa bertanya siapakah kawan anaknya.

Mereka perlu tahu namanya, dimana dia tinggal, siapa ibu bapa dan bagaimana perangainya. Ibu bapa perlu bijak mengorek maklumat.

Mintalah anak-anak bercerita tentang kawannya. Sekali-sekala tanyalah khabar kawannya.

Lebih baik lagi, aturkan masa tertentu agar kawan-kawannya dapat datang ke rumah. Minta anak menjemput kawan-kawan mereka makan.

Dengan cara ini, ibu bapa dapat mengenali kawan-kawan tadi dengan lebih dekat. Nasihatilah anak-anak bersekali dengan kawan-kawannya.

Dengan cara ini, anak-anak akan rasa dihargai dan kawan-kawannya juga akan lebih menghargai anak anda dan anda sendiri sebagai ibu bapa.

Selain itu, ibu bapa juga boleh berikhtiar untuk mengaturkan anak-anak mencari kawan yang baik. Agar kawan itu datang daripada keluarga yang baik dan berhemah atau yang sama-sama meminati aktiviti yang murni dan sihat.

Berikut antara beberapa cara yang boleh dilakukan bagi mendapatkan kawan yang baik untuk anak anda:

1. Kenalkan saudara-mara yang berakhlak

Rapatkan anak-anak dengan saudara-mara atau sepupu-sepupunya yang mempunyai akhlak yang baik dengan membanyakkan ziarah-menziarahi.

Kadang-kadang anak-anak boleh ditinggalkan bermalam di rumah saudara agar dia dapat berkawan dengan lebih rapat lagi.

Cara ini dapat menjadikannya memilih kawan yang baik di samping boleh mengeratkan ikatan silaturahim.

2. Rapatkan dengan anak teman

Perkenalkan dan rapatkan anak anda dengan anak kawan-kawan anda yang diketahui mempunyai akhlak yang baik.

Aturkan program ziarah yang melibatkan aktiviti santai, agar mereka boleh bergaul dengan mesra.

Jika ada program-program yang melibatkan keluarga seperti hari keluarga dan riadah, ajaklah mereka agar mendekati antara satu sama lain.

Galakkan mereka membuat ikatan susulan agar perkenalan itu berpanjangan.

3. Libatkan diri dalam pertemuan Islamik

Libatkan anak-anak dengan usrah, kelab dan persatuan keremajaan yang menganjurkan program-program yang islamik.

Galakkan mereka terlibat secara aktif agar mereka bukan sahaja memperoleh kawan-kawan yang baik bahkan dapat memberi sumbangan kepada ummah serta boleh mengasah bakat kepimpinannya.

4. Hadiri majlis ilmu.

Galakkan anak anda menghadiri majlis-majlis ilmu dan menunaikan solat di masjid dan surau.

Disini mereka akan bertemu dengan kawan-kawan yang baik dan berakhlak.

Mari menjadi kawan yang baik kepada anak-anak

kawan yang baikJika anak mempunyai masalah, maka siapakah orang pertama yang dia akan jumpa?

Adakah anak anda selesa menceritakan masalahnya kepada anda?

Atau dia lebih selesa menceritakan kepada kawan-kawannya?

Persoalan ini perlu sentiasa ditanya bagi mengukur tahap penerimaan anak-anak terhadap ibu bapa.

Bagi anak-anak, “kawan” ertinya orang yang rapat dalam hidupnya.

Orang yang boleh memahami apa yang dirasainya. Menjiwai kegemaran dan kebenciannya. Bercakap dalam bahasa yang sama. Boleh diajak bersembang panjang dan boleh keluar bersiar-siar bersama-sama.

Tidak dinafikan rakan atau kawan sebaya mempunyai pengaruh besar dalam diri anak-anak. Fitrah manusia terdorong untuk mendekati mereka yang seusia untuk sama-sama bermain dan berbicara.

Lantas, pengaruh rakan sebaya ini amat besar dalam menentukan perangai, pemikiran dan minat anak-anak.

Namun hakikat ini tidak pula menafikan kemampuan ibu bapa untuk menjadi ‘kawan’ karib kepada anak-anak.

Bapa contohnya boleh menjadi kawan karib anak lelakinya. Ibu pula menjadi kawan karib anak perempuannya. Menjadi kawan kepada anak tidak bermakna status bapa tergadai. Bahkan kedudukannya sebagai bapa akan lebih mantap.

Menjadi kawan kepada anak, tidak akan menghilangkan penghormatan seorang anak kepada ayah atau ibunya, bahkan jika kena caranya, penghormatan itu akan berganda-ganda.

Namun begitu, menjadi kawan karib kepada anak bukanlah suatu yang mudah. Sebagai ‘kawan’, ibu bapa perlu memberikan kepercayaan kepada anak dan secara tidak langsung anak itu pula anak memberikan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada ibu bapanya.

Sebagai ‘kawan’ juga ibu bapa perlu mewujudkan keserasian antara satu sama lain. Disini, ibu bapa perlu menjiwai minat dan kecenderungan remaja.

Sebaik-baiknya ibu bapa terlibat sedikit sebanyak dengan aktiviti-aktiviti keremajaan yang digemari anak-anak.

Pengetahuan tentang perkembangan semasa yang diikuti para kanak-kanak dan remaja juga perlu diketahui. Bahasa slanga ala remaja juga perlu diselitkan dalam perbualan agar mereka rasa selesa dan yakin dengan ibu bapa.

Kesimpulan

Ibu bapa perlu memahami bahawa mendekati anak-anak menggunakan pendekatan remaja dan kanak-kanak merupakan salah satu uslub dakwah yang berkesan.

Rasulullah SAW sendiri berbicara dengan manusia berdasarkan tahap pemikiran dan umur mereka.

Anak yang cemerlang bukan sahaja memilih kawan yang baik, bahkan mampu membawa kawan-kawannya menjadi lebih baik dan hebat.

Betapa besarnya pahala ibu bapa yang mampu melahirkan anak-anak yang dapat membimbing rakan sebaya ke arah kebaikan.

Anak-anak seperti ini bukan sahaja menyejukkan mata ibu bapa, bahkan juga dapat menjadi pemimpin ummah suatu hari nanti.

One comment

  1. syuhada amir

    betul tu….ibu bapa perlu menjadi kawan plg rapa utk anak2…biarlah mereka cari kita di masa senang susah, bukannya cari kawan2 mereka yang kita pun tak tahu siapa…. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Risk Free Shipping

If your order lost during shipment, we will do the replacement or refund

180 Days Guarantee

If you don`t satisfied with your order, just let us know. We can exchange or refund.

100% Secure Checkout

Seamless Payment with CHIP / MasterCard / Visa