Waktu tidur yang mencukupi penting bagi menjamin kesihatan dan emosi anak berada dalam keadaan yang baik. Penting bagi anda untuk ajar anak tidur asing di usia awal kerana ia akan membantunya menyesuaikan diri apabila usianya semakin bertambah.
Apabila seorang anak tidak mendapat waktu tidur yang mencukupi, ia akan membawa kepada beberapa situasi yang tidak diingini oleh ibu bapa antaranya ialah emosi yang tidak stabil dan menyebabkannya kuat merengek dan sebagainya.
Ajar anak tidur asing terutamanya apabila usia telah menjangkau lebih tiga tahun boleh meringankan beban anda kerana masa yang biasanya digunakan untuk menemaninya tidur boleh dimanfaatkan untuk menyelesaikan tugasan rumah lain.
Antara kesilapan yang utama dilakukan oleh ibu bapa yang membantutkan usaha ini adalah telah membiasakan anak untuk tidur sekali walaupun usianya menjangkau lebih tiga tahun dan telah memasuki tadika dan alam persekolahan.
Jangan biasakan mereka ‘selesa’ tidur bersama ibu bapa terutama apabila usia anak meningkat melebihi tiga tahun.
Azhari Ismail
Kaunselor Kanak-Kanak
Artikel ini akan membincangkan tentang beberapa cara untuk ajar anak tidur asing dengan mudah.
1. Tegas Dan Lembut
Kesusahan sesuatu amalan atau pekerjaan berada pada tahap tertinggi pada permulaannya. Hal yang sama juga berlaku semasa anda mula ajar tidur asing pada setiap malam.
Mereka akan berasa tidak selamat dan kesunyian lalu mula menangis dan melakukan pelbagai usaha termasuk merayu anda untuk terus menemani mereka untuk tidur bersama.
Ia adalah perkara biasa yang akan dialami setiap ibu bapa. Pada saat ini, apa yang penting adalah anda perlu menenangkan mereka dengan kata-kata yang lembut.
Seterusnya meyakinkan diri mereka yang anda akan sentiasa bersama mereka cuma berada di tempat yang berbeza seperti di dapur untuk mencuci pinggan atau di ruang tamu sebagai contoh.
Apabila mereka mula menginjak keluar dari tempat tidur, anda perlu kembalikan mereka ke atas katil tanpa banyak berkata.
Sebolehnya kurangkan interaksi perbualan dan elakkan daripada berlakunya sebarang konflik seperti perubahan riak wajah yang marah atau peningkatan tonasi suara.
2. Utamakan Waktu tidur
Mengutamakan waktu tidur juga merupakan antara kaedah yang terbaik dalam usaha ajar anak tidur asing.
Anda akan dapati usaha untuk ajar anak tidur asing agak sukar apabila tiada waktu yang tetap bagi mereka untuk tidur.
Lalu, apa yang terjadi adalah kebanyakkan ibu bapa akan menidurkan mereka dalam keadaan yang tergesa-gesa dengan meneman atau secara paksa.
Langkah ini ternyata menyebabkan matlamat untuk memastikan mereka biasa untuk tidur sendiri menemui kegagalan.
Sebagai contoh apabila anda hendak menetapkan waktu tidur bagi anak-anak anda pada pukul 9 malam, pastikan tiada lagi penggunaan sebarang gadget sekitar 30 minit darinya.
Sediakan suasana untuk tidur dengan masing-masing telah bersedia di atas katil. Lampu-lampu utama bilik yang cerah ditutup dan dibuka lampu yang lebih malap untuk untuk meningkatkan mood tidur.
Membaca cerita-cerita pengajaran pendek beserta dengan alunan zikir atau bacaan Al Quran juga turut boleh diamalkan.
Lalu apabila masing-masing telah mula mengantuk, anda boleh ucapkan selamat malam secara perlahan beserta dengan dakapan terakhir sebelum meninggalkan mereka di kamar masing-masing.
Turuti amalan ini untuk beberapa malam secara berterusan agar corak tidur ini dapat diterapkan dalam diri mereka.
3. Bersabar dan Konsisten
Membiasakan anak untuk tidur asing di usia awal bukanlah suatu perkara yang mudah pada realitinya.
Ketabahan dan kesabaran yang tinggi adalah kuncinya. Penting bagi anda untuk sentiasa mengingatkan diri akan maanfaat yang diperoleh apabila mereka menjadi biasa untuk tidur sendiri secara asing.
Antaranya ialah mereka akan menjadi lebih berdikari dan berani melalui telah terbiasa tidur asing dengan ibu bapa dan sifat kebergantungan juga dapat dikurangkan.
Mereka juga akan lebih cerdik dan nilai tanggungjawab dapat disemai pada usia awal kerana mereka perlu memastikan kamar bilik tersedia rapi sebelum tidur seperti mengemas dan membersihkan katil begitu juga dengan menyiapkan diri seperti membuang air kecil terlebih dahulu, menggosok gigi dan sebagainya.
Penutup
Pendek kata, walaupun usaha untuk ajar anak tidur asing adalah sukar pada permulaannya. Namun ia ternyata berbaloi jika dapat membentuk seorang anak yang berkeyakinan tinggi, berdikari, dan bertanggungjawab semenjak kecil.