Anak-anak yang mempunyai daya ingatan kuat serta lebih fokus bantu mereka belajar dengan lebih baik. Minda mereka perlu diasah dari kecil supaya dapat kuasai kemahiran dari segi akademik dan juga asas kemahiran hidup. Tetapi bagaimana cara untuk bantu kuatkan daya ingatan anak?
5 Cara Bantu Kuatkan Daya Ingatan Anak
Terdapat beberapa cara yang boleh ibu dan bapa lakukan supaya minda anak dapat diasah seterusnya meningkatkan daya ingatan mereka. Aktiviti ini juga boleh dimulakan dan dilakukan hanya dari rumah untuk rangsang kemahiran berfikir dan tingkatkan fokus anak-anak.
Antaranya ialah;
1-Amalkan Pemakanan Yang Sihat
Amalan pemakanan yang sihat dapat bantu meningkatkan daya ingatan. Antara jenis makanan yang boleh tingkatkan daya ingatan ialah seperti badam, kekacang, buah beri, kismis, kurma, sayuran hijau dan juga pelbagai jenis buah-buahan.
Selain itu jenis protein rendah lemak seperti ikan dan daging ayam tanpa lemak boleh membantu meningkatkan daya tahan tubuh. Tubuh badan anak yang sihat dapat membantu meningkatkan daya fokus mereka ketika belajar.
2- Waktu Tidur yang Tetap serta Mencukupi
Salah satu sebab yang melemahkan ingatan ialah kurang tidur. Tidur yang tidak berkualiti juga boleh menjejaskan fungsi otak anak dan akhirnya kurang fokus ketika belajar atau melakukan sebarang aktiviti.
Oleh itu, ibu bapa perlu galakkan anak untuk tidur pada waktu yang tetap setiap hari. Selain itu kurangkan atau elakkan makanan yang boleh menganggu waktu tidur anak seperti minum teh dan kopi sebelum tidur.
3- Membaca Secara Kuat
Antara kaedah yang boleh meningkatkan ingatan anak terhadap pembelajaran ialah dengan membaca secara kuat. Menurut kajian, mendapati kaedah membaca dengan kuat ini bantu tingkatkan daya ingatan anak pada bahan bertulis.
Oleh itu, ibu bapa boleh galakkan anak-anak membaca dengan kuat di rumah supaya mereka lebih mudah mengingat setiap pembelajaran.
4- Minta Pertolongan Anak
Libatkan anak-anak dalam kerja yang perlu dilakukan di rumah seperti mengemas dan menyusun barang. Minta pertolongan dari mereka ketika aktiviti dilakukan bersama.
Sebagai contoh;
Tanyakan mereka dimana penyapu diletak ataupun dimana barang tersusun perlu disusunkan. Dengan ini daya ingatan mereka akan lebih terasah.
Selain itu mereka juga anak rasa lebih dihargai kerana anda libatkan mereka dalam hal-hal berkaitan kekeluargaan dan aktiviti di rumah.
5- Melalui Aktiviti Nyanyian
Anak-anak memang lebih cenderung untuk gembira jika menyanyi. Daya ingatan mereka lebih kuat jika suasana belajar lebih ceria dan anak berasa seronok.
Lirik lagu pula boleh ditukar dengan perkara yang perlu mereka hafal dan lakukan. Yang penting pilihlah lagu-lagu yang menjadi kegemaran mereka.
Aktiviti Lain TIngkatkan Daya Ingatan Dan Fokus Anak
Selain daripada aktiviti yang disebutkan di atas, anak-anak juga harus di beri masa bermain dan bersenam setiap minggu. Tetapi mereka juga boleh dilatih untuk mengikut rutin harian seperti masa untuk siapkan kerja sekolah sebelum bermain.
Selain itu, jika anak menghadapi kesukaran untuk mengingat pembelajaran di sekolah, ibu bapa boleh latih mereka untuk mengingat dengan kaedah bergambar. Tukarkan info serta maklumat kepada gambar untuk lebih mudah diingati.
Bimbing Anak Supaya Lebih Fokus
Anak-anak yang sedang membesar mempunyai sifat ingin tahu dan tenaga harian yang tinggi. Namun perkara yang boleh ibu bapa lakukan untuk tingkatkan fokus anak ialah dengan membimbing mereka dalam membuat sesuatu perkara dan tentukan hadnya.
Cuba galakkan mereka selesaikan satu-satu kerja dalam satu masa sehingga habis sebelum beralih kepada kerja yang seterusnya pula.