Bagaimana Untuk Membina “Peraturan” Yang Berkesan Kepada Anak?

peraturan

1. Peraturan Dinyatakan Dengan Jelas.

Setiap peraturan perlu dinyatakan malah ditulis dengan jelas. Letakkan papan putih di rumah dan tulis setiap peraturan penting yang mesti dipatuhi oleh semua ahli keluarga.

Kebanyakkan anak-anak tidak dapat mengikut peraturan kerana mereka lupa ataupun ia tidak dinyatakan secara jelas.

Contohnya, jika kita mahu anak-anak mula belajar pada pukul 8.45 malam maka sebutkan waktu serta tulis dengan jelas.

Katakan pada anak-anak, “Baik, tepat pukul 8.45 malam, emak mahu semuanya sudah berkumpul di meja ini dan belajar.” Maka anak akan mudah memahami arahan kita.

Cuba bezakan pula dengan kata-kata yang berikut, “Baik, lepas Isyak, emak mahu semuanya sudah berkumpul di meja ini dan belajar.”

Lepas isyak itu pukul berapa? Pukul sepuluh malam pun masih dianggap lepas isyak juga. Sebab itulah peraturan mestilah jelas.

2. Peraturan Yang Konsisten.

Setiap peraturan yang dikenakan perlu konsisten antara seorang anak dengan yang lain dan juga konsisten sama ada hari ini ataupun esok.

Anak mudah berasa tidak puas hati apabila dia disuruh balik ke rumah sebelum pukul 6 petang sedangkan abangnya yang juga masih bersekolah dibenarkan balik pada pukul 9 malam tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Begitu juga anak-anak tidak tahu mana satu peraturan yang mahu diikuti apabila hari ini kita cakap lain dan esok lain pula.

Misalnya, hari ini kita suruh baju-baju yang kotor dimasukkan ke dalam bakul yang disediakan tetapi esoknya pula kita suruh baju-baju kotor itu terus dibawa ke tingkat bawah supaya mudah dibasuh.

Apabila peraturan tidak konsisten maka mesej yang disampaikan akan kurang berkesan.

3. Wujud Konflik Antara Peraturan Ibu dan Peraturan Bapa.

Seringkali peraturan yang dibuat oleh ibu tidak selari dengan peraturan yang dibuat oleh bapa. Anak-anak menjadi keliru dan tidak tahu, peraturan mana yang perlu diikuti.

Anak-anak yang keliru, biasanya akan mencipta peraturan sendiri dan ini menimbulkan kemarahan ibu bapa.

Misalnya, ibu berpesan supaya anaknya tidak menonton TV sekiranya belum menyiapkan kerja sekolah sementara bapa pula berkata tidak dibenarkan menonton televisyen kecuali pada hari minggu. Peraturan yang manakah yang mahu diikuti?

Ibu kata, balik ke rumah sebelum pulul 6 petang dan bapa pula berkata balik sebelum solat maghrib.

Oleh sebab itu, ibu bapa perlu bermuafakat supaya tiada konflik antara peraturan yang dikenakan pada anak-anak.

4. Bersama-sama Membentuk Peraturan.

Disiplin lebih mudah dibentuk apabila peraturan-peraturan digubal bersama. Panggil anak-anak dan agihkan  tugas masing-masing melalui perbincangan.

Tentukan bersama waktu mana perlu bangun pagi, waktu bila TV boleh ditonton dan waktu bila perlu mengulangkaji pelajaran.

Tentukan juga, apakah tindakan yang perlu dikenakan apabila ada yang melanggar peraturan misalnya didenda mencuci tandas, menyapu rumah dan sebagainya.

Walaupun di rumah sudah ada pembantu rumah, apabila didenda, biarlah anak yang lakukan pekerjaan itu.

Peraturan yang ditentukan bersama lebih dihormati berbanding peraturan yang dibentuk oleh ibu bapa tanpa sebarang perbincangan dengan anak-anak.

5. Mematuhi Petua MAT

Dalam mendisiplinkan anak, terdapat tiga pendekatan yang penting iaitu MAT – Mesra, Adil dan Tegas.

Pendekatan pertama, Mesra.

Maknanya ibu bapa perlu mesra dalam menegur kelakuan dan kesilapan anak-anak. Cuba sebutkan kebaikan-kebaikan anak sebelum kita menegurnya. Pendekatan yang mesra membuatkan anak-anak lebih selesa bagi menerima teguran.

Anak-anak mudah membentuk halangan mental apabila mereka melakukan kesalahan. Mereka sudah pun bersedia dengan alasan dan jawapanya jika ditanya oleh ibu bapanya kenapa dia berkelakuan seperti itu. Pendekatan yang mesra dapat merobohkan halangan mental ini.

Pendekatan kedua adalah Adil.

Apa juga teguran dan hukuman yang dikenakan pada anak-anak mestilah seragam antara seorang anak dengan anak yang lain.

Sekiranya hukuman yang dikenakan pada adik berbeza dengan abang, maka ia menimbulkan rasa tidak puas hati. Ia juga menyebabkan anak tidak menghormati peraturan yang dikenakan.

Pendekatan ketiga pula adalah Tegas.

Sebagai ibu bapa kita perlu bertegas dengan setiap peraturan yang kita nyatakan secara jelas. Jika sesuatu perkara itu kita tidak benarkan maka jawapannya tetap tidak.

Apabila kita berkata ‘tidak’, ia perlu dinyatakan dengan suara yang jelas dan penuh ketegasan. Tanpa sebarang keraguan.

Sebabnya, seringkali ibu bapa berkata tidak dalam nada suara yang mengelirukan anak-anak iaitu nada suara yang tidak tegas.

Ini boleh menyebabkan anak-anak menterjemahkan maksud perkataan ‘tidak’ itu sebagai ‘mungkin’ ataupun ‘cuba lagi lain kali’

Apabila kita sudah katakan ‘tidak’ dan memberikan alasan-alasannya, maka kita tidak perlu melayan sebarang soalan lagi. Biarkan sahaja anak-anak disitu.

Jika kita tidak bertegas maka anak-anak mungkin faham yang setiap peraturan itu bukan sesuatu yang serius dan ini menyukarkan kita mendisiplinkan mereka.

Bukannya kita tidak boleh bertolak ansur, ada perkara dan ketikanya kita bertolak ansur dan ada perkara yang kita bertegas.

Penutup

Anak-anak yang cemerlang adalah mereka yang berdisiplin. Jika kita perhatikan, pasukan beruniform terkenal dengan sikap disiplinnya. Kebanyakan seni mempertahankan diri mementingkan soal disiplin pengikut-pengikutnya.

Malah mendirikan solat juga ada disiplinnya tersendiri. Disiplin memerlukan satu garis panduan dan latihan supaya kita tahu apa yang perlu dilakukan.

Disiplin itu penting kepada anak-anak kerana ia membina sikap hormat kepada diri sendiri dan juga orang lain, disamping sikap bertanggungjawab pada apa yang berlaku.

Semoga apa yang terdapat dalam panduan ini membantu para ibu bapa dalam mendidik anak dan membentuk disiplin dalam diri mereka.

Salam ceria daripada seluruh crew tudung si comel! =)

–  Artikel ini dirujuk daripada buku ‘Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif’, Dr. Tengku Asmadi

2 comments

  1. Hmmm memang itu yg selalu Artie Natasha terapkan.. Cuma boleh ditambah, ibubapa sendiri kena lebih “peka” dengan situasi sosial persekitaran kerana ia merupakan aspek terpenting dalam pembentukan disiplin anak2. Ini selalu tidak ditekankan oleh mana2 pakar kerana situasi ini sering berubah mengikut keadaan semasa persekitaran sesebuah keluarga tersebut.

    Selalu ingat, cara didikan ibubapa kita dengan diri kita sendiri adalah tidak sama (malah adakalanya tidak relevan) dengan cara didikan dengan anak2 kita zaman sekarang. Kerana persekitaran (kini) mampu mengubah pembentukan displin anak2 dan bukan sahaja datang dari dalam keluarga itu sendiri.

    Thanks admin share ilmu2 bermanfaat untuk pembaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Risk Free Shipping

If your orders lost during shipment, we will do the replacement or refund

Easy 180 days returns

180 days money back guarantee

International Warranty

Offered in the country of usage

100% Secure Checkout

Toyyibpay / MasterCard / Visa