Perangkap Menguji Emosi: Bagaimana Mengendalikan Anak Yang Mengamuk Di Khalayak Ramai?

Pernahkah emosi anda diuji oleh anak-anak?

Lazimnya, anak-anak bertindak dengan memaksa kehendak mereka dituruti dengan menangis, merengek, menjebik muka, berguling dan memukul.

Apakah tindakan kita apabila hal ini berlaku di khalayak ramai, seperti di pasar raya?

Tanpa sedar emosi kita diuji oleh anak-anak.

Kita marah dan berasa malu. Ini mendorong kita untuk mengalah dan menuruti apa sahaja kehendak mahupun permintaan anak.

Anak kita menang dan berjaya memancing emosi kita.

Maka, apabila hal ini berlaku, anak-anak akan terus berusaha mengulangi tindakan yang sama pada waktu yang lain.

Mengapa?

Mereka sudah tahu dan yakin bahawa usaha mereka itu selalu menang dan sudah pasti kehendak mereka akan sentiasa dituruti.

Kesannya?

Berlaku ujian emosi yang lebih besar pada masa akan datang seiring dengan perkembangan perwatakan mereka.

Scream_by_katrionag

Saya sering menerima emel dari ibu bapa pembaca blog ini yang mengadu anak mereka tidak mahu ke sekolah sehingga menangis dan mengamuk. Dan ibu bapa ini tidak sanggup untuk melihat anak mereka menangis lantas menuruti sahaja si anak yang tidak mahu ke sekolah.

Inilah dia dipanggil perangkap emosi.

Jangan mudah terpancing dengan keadaan ini kerana kita sebagai ibu bapa harus tegas dan tidak mudah kalah.

Mengikut kajian pakar-pakar psikologi, ada beberapa langkah untuk ibu bapa mengawal anak yang sedang memancing emosi ibu bapanya.

Antara langkah itu adalah:

1. Sebaik-baiknya apabila anak-anak mahu menguji emosi kita, maka kita wajar diam sahaja dan tidak terus memarahi anak.

 

2. Biarkan dan jangan mempedulikan kemahuan anak ketika mereka menangis mengharap kita melayani kehendaknya.

 

3. Jelaskan kepada anak bahawa tangisan dan perilakunya tidak mengubah keputusan kita dan jawapan kita adalah tetap sama iaitu “Tidak”.

 

4. Apabila anak berhenti menangis namun masih tetap memujuk kita dengan tangisan, maka kita wajar menasihati anak pada masa itu dengan memberikan satu gambaran hebat bagi membentuk emosinya menjadi stabil. Sebaik-baiknya fokuskan minda mereka ke arah masa hadapan mereka kelak.

 

5. Beritahu kesan buruk yang berlaku sekiranya kita menuruti kehendaknya dan apakah kesan sebaliknya.

 

6. Kawal emosi anak, bukan anak yang mengawal emosi kita.

Contohnya, “Danial, mama minta maaf banyak-banyak dengan Danial. Mama tidak mampu membeli barang mainan ini untuk Danial. Sebab duit-duit di dalam beg ini, ibu harus belanjakan untuk untuk.. (jelaskan kepada anak ke mana duit perbelanjaan harus kita laburkan, iaitu demi kepentingan bersama)

 

7. Gunakan teknik ‘masa hadapan’ kepada anak sebagai langkah awal bagi mengelakkan perilaku negatif timbul pada diri anak-anak.

Oleh itu, wajar ibu bapa berikan wang saku kepada anak-anak supaya mereka kenal konsep untung rugi duit yang digunakan.

Terpulang wang saku itu diberi mengikut hari, minggu ataupun belanan.

Dengan cara ini, anak-anak menghargai nilai wang. Tidak perlu banyak, wang sebanyak RM1 sehari sudah cukup memadai untuk anak-anak kita merasai makna susah.

Sediakan tabung untuk setiap anak-anak kita.

Ajar anak bagaimana cara mencatat tarikh keluar masuk wang, sebagai langkah awal kita mendidik anak-anak mengawal wang harian mereka.

 

8. Apabila mereka ingin membeli barang mainan, biarkan mereka menggunakan wang simpanan mereka sendiri dan jangan sesekali kita mudah bersimpati dan mengeluarkan wang dari poket kita pada ketika itu.

Malah, jangan pula kita yang membuat pilihan untuk mereka.

Biarkan anak-anak sendiri yang menjadi pemikir dan pemilih utama penentu tindakan mereka.

Mengapa?

Sebab pada ketika itu anak kita sedar adakah kehendak yang mereka buat itu bijak, cepat dan perlu?

Contohnya, sekiranya kehendak mereka itu berbentuk mainan, maka mainan itu mudah rosakkah? Merugikankah? Ataupun sebaliknya?

Apabila barang mainan yang dibeli oleh mereka dibawa pulang dan masing-masing bermain, namun malangnya mainan itu tiba-tiba rosak, maka dengan sendirinya mereka sedar dan menyesal dengan tindakan mereka mengeluarkan duit simpanan pada perkara yang tidak perlu.

 

9. Mereka juga belajar pentingnya nilai wang, keputusan, kehendak dan masa hadapan mereka.

Sekiranya barang mainan anak lain masih elok dan barang mainan anak lain pula sudah rosak, maka kita wajar memberi penjelasan kepada anak-anak bahawa keputusan itu tidak terletak di tangan orang lain, tetapi ia adalah pilihan mereka.

 

10. Sebaik-baiknya barang mainan lama yang sudah rosak itu disimpan di dalam kotak yang berasingan supaya pada satu masa tertentu, barang mainan yang rosak tersebut dapat dijadikan bahan bukti (pengajaran/kesedaran) kepada anak.

Oleh itu, anak-anak kita bukan sahaja belajar berjimat, tetapi mereka juga sedar erti susah senang bagi mendapatkan duit.

 

11. Bawa anak-anak kita meninjau ke taman-taman perumahan orang yang lebih miskin daripada kita bagi merangsang anak kita supaya sentiasa bersyukur dengan kehidupan di dunia.

Bawa anak kita bertemu dengan kanak-kanak yang lebih  alim daripada mereka, contohnya pelajar-pelajar tahfiz, supaya anak membuatkan anak kita lebih bersemangat untuk belajar ilmu akhirat dan beramal dengan akhlak yang baik.

 

12. Berkata dengan penuh kasih, penuh semangat, dan rasa bangga kepada anak. Tataplah mata anak-anak yang sedang menguji emosi kita tadi.

Dalam situasi tersebut, jangan sesekali kita berasa malu terhadap orang disekeliling yang sedang memerhatikan kita dan anak-anak.

Sudah pasti anak-anak bukan sahaja dapat membentuk keyakinan diri yang tinggi, bahkan mereka juga belajar merancang dunia mereka.

 

13. Kemudia, jelaskan kesan buruk sekiranya mereka menggunakan wang simpanan mereka pada masa tersebut atau tersalah langkah menggunakan wang itu.

Contoh, “Sekirannya ibu jadi fatimah dan Muhammad, ibu pasti sayang mahu keluarkan duit itu sekarang. Apa kata kita balik rumah dan fikir dahulu. Sekiranya barang mainan itu rosak, bagaimana? Rugi sahaja nanti. Duit simpanan kamu berdua pun sudah banyak. Sekiranya beli barang mainan dan ia rosak, maka duit kamu itu tentu sudah tidak dapat dikembalikan lagi”

 

14. Ransang dan didik anak-anak membeli buku ataupun mainan yang menguji minda mereka.

Sekiranya perlu, jangan biarkan orang lain ikut campur pada masa kita sedang berbincang dengan anak-anak.

Apabila kita sudah berjaya mengawal emosi anak, maka selanjutnya mereka tidak mengulangi dan membuat perilaku kali kedua pada waktu lain.

 

Penutup: Berhati-hati dengan perangkap yang menguji emosi

Bangunkan mental juang anak-anak. Biasakan anak berjuang sebelum mendapatkan sesuatu benda.

Misalnya, dia mendapat barang mainan apabila berjaya membuat prestasi atau berperilaku baik. Bahkan, untuk duit saku, biasakan memberi kepada anak sesuai dengan keperluannya.

Jangan biarkan diri kita jatuh dalam perangkap emosi anak.

Memang kita kasihan melihat anak menangis, namun apa boleh buat, kita perlu kebalkan hati dan tetap tegas.

Kita ingin mendidik, bukan menyeksa anak sendiri. InsyaaAllah, dengan niat kita yang baik itu pasti Allah akan memudahkan jalan kita dalam mendidik generasi yang baik akhlak dan pencapaiannya.

Semoga bermanfaat kepada pembaca TSC 🙂

..

Nota rujukan:

  1. Kredit kepada buku Projek anak luar biasa: Ain Muhamad & Shamsuddin Kadir
  2. Temper Tantrums – Topic Overview

  3. Dealing with Child Temper Tantrums  from Toddler to Pre-teen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Risk Free Shipping

If your order lost during shipment, we will do the replacement or refund

180 Days Guarantee

If you don`t satisfied with your order, just let us know. We can exchange or refund.

100% Secure Checkout

Seamless Payment with CHIP / MasterCard / Visa