Anda sekarang sudah mula mencari-cari ilmu tentang cara Potty Train anak ? Tahniah !
Dengan mengetahui ilmu cara Potty Train anak, anda dapat memupuk nilai tanggungjawab dalam dirinya. Ia juga membantu dalam meningkatkan tahap keyakinan dirinya semenjak kecil.
Di samping mendidik anak untuk menjadi lebih berdikari, ia juga membantu dalam meringankan bebanan anda sebagai ibu bapa dalam mengasuhnya.
Selain mempelajari selok belok cara Potty Train anak, anda juga perlu mempunyai persediaan dari aspek mental bahawa didikan ini adalah suatu proses.
Ia mengambil masa untuk beberapa tempoh bagi seorang anak untuk membiasakan diri. Oleh itu, setiap ibu bapa yang bertekad untuk memulakannya perlu mempunyai tahap kesabaran dan ketabahan yang tinggi.
Mendidik melalui cara paksaan boleh menyebabkan usaha ini terencat dan menemui kegagalan.
Artikel ini akan membincangkan tentang cara-cara Potty Train anak yang wajib diketahui oleh setiap ibu bapa.
1. Mengenal Pasti Tanda-Tanda Anak Telah Bersedia
Perkara paling asas yang perlu anda tahu dalam Potty Train seorang anak adalah tahap kesediaan mereka itu sendiri.
Walau betapa hebat sekalipun cara Potty Train anak yang anda lakukan, jika mereka berada dalam keadaan tidak bersedia pasti akan menemui kegagalan.
Antara tanda-tanda yang anda boleh ketahui bahawa anak anda bersedia ataupun tidak adalah seperti berikut :
a.) Bilangan penggunaan lampin semakin berkurangan
Seorang anak akan kerap kencing di usia awal.
Apabila usianya semakin meningkat, anda akan dapati lampin yang dipakainya semakin kerap kering buat beberapa jam, ia menunjukkan bahawa kemampuan mereka untuk mengawal pundi kencing semakin bertambah.
b.) Berani Bersuara
Semakin menginjak usia, mereka juga akan lebih berani untuk menyuarakan keinginan untuk membuang air kecil atau air besar.
c.) Tidak Selesa Memakai Lampin
Rasa tidak selesa memakai lampin berisi dengan najis juga merupakan tanda mereka telah bersedia untuk mula menguruskan diri sendiri untuk membuang air.
Tanda-tanda seperti yang telah dinyatakan ini boleh dijadikan sebagai panduan kepada anda untuk memulakan Potty Train anak.
Jika tidak anda mungkin boleh tangguh untuk beberapa tempoh lagi.
2. Melatih Anak Menggunakan Tandas
Langkah kedua akan menurut setelah anda dapat kenal pasti kesediaan anak untuk Potty Train.
Biasakan diri mereka dengan peralatan-peralatan tandas yang digunakan untuk membersihkan diri. Antara contohnya termasuk penggunaan paip air, sabun dan sebagainya.
Tunjukkan pada mereka langkah demi langkah bagaimana untuk membersihkan diri menggunakan peralatan-peralatan yang tersedia seperti :
- Cara membuka pili air
- Menggunakan sabun untuk membersihkan diri
- Menarik pam tandas
- Membasuh kedua-dua tangan
- Mengelap diri setelah selesai membersihkan badan
Apabila mereka telah terbiasa dengan langkah-langkah ini jika dilatih secara konsisten, insyaallah mereka pasti akan dapat lakukannya sendiri pada masa hadapan tanpa bimbingan anda lagi.
3. Menyuarakan Hajat Membuang Air Dengan Sebutan Yang Betul
Selain itu, membiasakan diri kanak-kanak untuk menyebut perkataan-perkataaan yang betul dan jelas untuk membuang air seperti berak dan kencing juga merupakan salah satu carra Potty Train anak secara tidak langsung.
Biasakan diri mereka untuk menyebut perkataan-perkataan tersebut dengan gaya ini. Elakkan daripada menggunakan perkataan yang dipengaruhi slang kanak-kanak seperti cing dan yak.
Jangan sesekali mempersendakan diri mereka dengan ejekkan seperti Eeee ! busuknya Ahmad berak dan sebagainya.
Hal-hal seperti ini akan melambatkan proses latihan Potty Train anak tanpa anda sedari.
4. Memberi Ganjaran
Kanak-kanak sukakan ganjaran. Itu adalah hakikat nyata yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa. Hatta individu dewasa sekalipun sukakan ganjaran setelah melakukan kebaikan.
Ia merupakan sumber motivasi terbaik untuk mendorong seseorang terus bersemangat dan tekun dalam melaksanakan suatu tabiat yang baik.
Elakkan daripada menghukum apabila anak terbuang air kecil di luar tandas seperti karpet, lantai dan sebagainya.
Anda perlu sentiasa ingat bahawa latihan ini adalah sebuah proses yang perlu dilalui secara beransur-ansur.
Menghukum atau memarahinya bukan sahaja boleh menggagalkan matlamat ini, malah boleh menimbulkan kesan-kesan buruk yang lain.
5. Melatih Pada Hari Cuti
Masa juga memainkan peranan penting dalam proses Potty Train anak. Anda perlu melakukannya pada masa yang lapang supaya dapat memantaunya dengan lebih berkesan.
Begitu juga memilih untuk melakukannya pada waktu siang terlebih dahulu sebelum melanjutkannya hingga ke waktu malam.
Penutup
Secara kesimpulannya, mendidik anak untuk membuang air sendiri dan membersihkannya tanpa bantuan ibu bapa bukanlah suatu yang mustahil.
Ia memerlukan latihan secara berterusan untuk memastikan matlamat ini dapat tercapai.