Walau apa sekali pun keadaan dan pencapaian anak kita, terimalah mereka seadanya.
Usah sama sekali membezakan ataupun membanding-bandingkan mereka. Usah mengungkit apa yang sudah kita lakukan kepada mereka.
Tetapi, kita sebagai ibu bapa perlu berpegang kepada prinsip akauntabiliti yang tinggi. Ia bermaksud bertanggungjawab sepenuhnya pada apa jua hasil dan tingkahlaku anak-anak.
Tidak menyalahkan orang lain, sebaliknya menyalahkan diri sendiri dan menerima segalanya dengan hati yang terbuka.
Ada ketikanya bagi meningkatkan darjat di sisi tuhan. Ada ketikanya pula sebagai kifarah terhadap dosa-dosa lampau kita.
Oleh itu ibu bapa perlu berlapang dada dan percaya bahawa matahari tetap akan muncul kembali esok hari selepas melalui malam yang panjang.
Ada ibu bapa yang selalu merungut kerana anak dianggap menyusahkan. Diherdik dan dilayan secara kasar anak-anak itu. Ingatlah, anak-anak itu anugerah walaupun dia tidak seperti yang kita harapkan.
Dia tetap anak kita walaubagaimana pun dia
Jika anak itu dilahirkan cacat, dia juga tetap anak kita. Jika anak itu agak lemah dalam pelajaran, dia juga masih anak kita. Darah daging kita sendiri.
Oleh itu, terimalah seadanya anak itu dan lakukan apa sahaja supaya menjadikan dia anak yang hebat mengikut potensi dan kapasiti yang ada padanya.
Ada anak-anak yang daripada awal lagi sudah menunjukkan kematangan berfikir dan cemerlang. Ada pula anak-anak yang agak lambat perkembangan diri dan kematangannya.
Adakalanya kita perlu banyak bersabar dan optimis dalam mendidik anak kita. Jangan putus semangat untuk melihat dia berjaya walaupun mungkin nampak kelam pada awalnya.
Harapan akan membangkitkan jiwa anak & memberi mereka semangat
Walaupun anak itu cukup bermasalah dan lambat dalam pembelajaran, dia sebenarnya masih berpeluang untuk menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupan. Tetapi syaratnya kita haruslah menanam harapan dalam jiwanya. Esok masih ada baginya.
Beritahunya, masih belum terlambat lagi bagi dia memulakan sesuatu yang baru. Lebih penting lagi, dia disedarkan yang dalam dunia ini ada mereka yang lebih daif keadaannya dan kurang daripada segi kemampuan fizikalnya namun tetap berjaya.
Harapan adalah satu-satunya anugerah Tuhan yang membuatkan manusia terus berusaha. Harapan memberikan cahaya dan nafas baru dalam meneruskan kehidupan yang penuh liku.
Oleh itu, terimalah anak kita seadanya dan sentiasa berikannya harapan.
Itulah antara perkara yang dia mahu daripadakita sebagai ibu bapa. Anak-anak mahu kita tidak berputus asa dengan mereka. InsyaaAllah