Wajarkah Ibu Bapa Memberi Kebebasan Atau Kongkongan Pada Anak-Anak?

main

Persepsi ibu bapa terhadap kaedah mendidik anak berbeza-beza. Ramai yang percaya didikan dalam bentuk kebebasan bertindak dan berfikir secara kreatif adalah sebaik-baik kaedah. Tetapi, ada yang kecundang akhirnya kerana kebebasan itu memakan diri sehingga anak-anak tidak boleh berdisiplin mengikut undang-undang. Contohnya, anak-anak disuruh memilih sendiri jalan yang disukai, sembahyang atau tidak, menutup aurat atau tidak, mengaji Al-Quran atau tidak, suka hati sendiri kerana ibu bapa beranggapan bahawa agama adalah kesedaran hati bukan paksaan.

Pandangan sebegini sungguh ekstrim dan membahayakan anak. Seolah-olah membiarkan anak sendiri sesat di tengah hutan yang gelap tanpa bimbingan tangan dan suluhan cahaya untuk mencari jalan keluar. Hanya ibu bapa yang bodoh sahaja akan membiarkan anaknya dibaham harimau atau tenggelam dalam lautan maksiat. Kepada mereka yang berfahaman bebas dalam mendidik anak, maka hendaklah mereka berlaku adil. Anak-anak tumbuh sesuai dengan ransangan persekitarannya, jika di sekelilingnya sumber maksiat terlalu kuat mengapa tidak disediakan juga sumber-sumber mata air keimanan?

Lawan dari kaedah kebebasan adalah kaedah otoriter, kuku besi, yang memenjara jiwa anak. Anak tidak mempunyai peluang dan kebebasan langsung untuk memilih, semua diatur dengan disiplin yang ketat bahkan dalam perkara-perkara yang menjadi keperluan jiwanya sama sekali diharamkan walaupun agama menghalalkannya.

Amat merbahaya jika menggunakan pendekatan terlalu mengongkong anak bahkan tidak segan-segan mendera emosi dan fizikal jika mereka melawan. Agama melarang perbuatan mengeksploitasi anak, memaksakan kehendak kepada anak dan menafi hak mereka untuk bergembira, bermain dan berhibur.

Allah Taala berfirman tentang hak-hak anak yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui. Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar. “ (Surah al-Anfal ayat: 27-28)

Rasulullah SAW juga mengingatkan dengan sabdanya yang bermaksud: “Seseorang dianggap berdosa, apabila membiarkan (tidak mempedulikan) orang yang wajib diberikan nafkah.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Anak-anak sentiasa dieksploitasi oleh orang-orang dewasa di sekelilingnya, sehingga mereka dipaksa untuk cepat dewasa dan melupakan alam fantasi kanak-kanak. Di sekolah, guru-guru memberi tekanan untuk bersaing dalam prestasi akademik, bahkan di sesetengah sekolah langsung tidak ditekankan kegiatan ko-kurikulum yang bertujuan membina sahsiah diri. Kerana terlalu ghairah dengan akademik, alam persekolahan menjadi kaku, keras dan menjemukan. Tiada rasa seronok dan teruja ketika melangkah ke gerbang sekolah.

Di rumah pula, ibu bapa terlalu menuntut segalanya mesti cemerlang, tuisyen sana sini, kelas tambahan dan pendedahan alam siber yang mempengaruhi anak menjadi anti sosial. Tak pandai bergaul atau bertukar idea dan kosong jiwa kepemimpinannya. Waktu luang diisi dengan duduk bermain game, tak tahu isu semasa dan buta berita dunia. Di sekolah tak aktif bermain sukan, di rumah pula memerap dalam bilik. Ibu bapa yang sibuk langsung tak ambil tahu perkembangan psikologi anak-anak, yang remaja pula mula mencari teman sehati sejiwa kerana ibu bapa tidak boleh diajak berkongsi.

Jika ditanya, sejauhmana anda mengenal anak sendiri, apakah jawapannya? Mungkin ramai yang ternganga kerana tidak menyedari bahawa anak-anak mereka cepat berubah. Gerak hati dan perkembangan otaknya jauh melampaui insting kita. Hubungan kita dengan anak-anak bagai wayar tak bersambung, mereka dengan dunianya dan kita pula dengan dunia kita sendiri.

Anak-anak memerlukan perhatian, mereka suka bercerita, kita pula malas nak melayan. Mereka suka bermain, kita pula tak ada masa, mereka suka dengan aktiviti lasak, kita pula takut cedera, mereka suka berfantasi kita pula pentingkan realiti. Mereka minat sukan, kita pula beralasan banyak kerja, mereka mahu kita menjadi pendengar, sedangkan telinga kita tidak sensitif lagi. Mereka mahu ditemani kita pula terpaksa membahagi peranan di sana-sini. Sebagai ibu bapa kita wajib memenuhi hak anak, bukan hanya makan, minum dan wang ringgit tetapi keperluan jiwa mereka yang hauskan perhatian.

Mungkinkah para ibu bapa berani korbankan masanya satu jam saja setiap malam sebelum tidur untuk mendengarkan luahan hati anak-anak tentang apa-apa saja yang dialaminya hari ini? Atau mengambil sedikit masa untuk memeluk mereka sebelum pergi ke sekolah, atau solat  berjemaah bersama kemudian mencium dahi mereka selepas solat. Atau meminta maaf jika anda tidak memenuhi janji dan memberi pujian walaupun mereka gagal. Bersediakah kita menjadi hakim yang adil dan berlembut jika terjadi perbalahan. Mampukah kita duduk menemani mereka mengerjakan tugas sekolah, membelikan pensilnya yang selalu saja hilang atau patah.

Oleh kerana ada Ibu bapa kekok memeluk anak-anak mereka, malu mencium dahi dan meminta maaf jika bersalah. Terlalu keras hingga menghempas maruah anak sendiri dengan kata-kata keji, penghinaan dan makian yang melampau. Ramai orang tuaibu bapa yang menakut-nakutkan anak dengan gelaran ahli neraka jika mereka tidak mahu sembahyang, mengapa tidak dipujuk dan diberi khabar gembira tentang syurga bagi yang beramal? Mengapa sesetengah ibu bapa menggertak dengan neraka, siksa dan azab Allah sehingga anak menganggap Tuhannya kejam dan tidak ada belas kasihan kepada hamba? Beritahulah mereka dengan keindahan syurga, balasan yang indah dari ALLAH bila kita berbuat baik, nescaya anak-anak akan tertarik hati untuk terus berbuat baik dan mentaati ibu bapa.

Sebelum terlambat, ubahlah gaya didikan anda! Hargailah anak setinggi nilai syurga, kerana merekalah anda layak mendapat syurga dunia dan akhirat.

2 comments

  1. tijah bt hasbi

    byk maklumat berguna tkasih

    1. Sama-sama puan Tijah =D

      Semoga ianya bermanfaat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Risk Free Shipping

If your order lost during shipment, we will do the replacement or refund

180 Days Guarantee

If you don`t satisfied with your order, just let us know. We can exchange or refund.

100% Secure Checkout

Seamless Payment with CHIP / MasterCard / Visa