Ramai yang merasakan, mendidik anak-anak cemerlang memerlukan ilmu keibubapaan yang mendalam. Sebenarnya, apa yang kita perlukan adalah naluri kemanusiaan.
Sekiranya kita cuba memahami, kenapa seorang anak melakukan sesuatu perkara maka lebih mudah bagi kita merangka penyelesaian dan memikirkan pendekatan terbaik menangani dan menasihati mereka.
Cara terbaik adalah dengan meletakkan diri kita di tempat mereka dan tanya diri sendiri, “kenapa saya melakukan sebegini?”
Dua perkara yang perlu kita fahami mengenai tingkahlaku adalah:
-
Semua tingkahlaku adalah bagi kebaikan diri sendiri
-
Anak berhak diberikan kemaafan pada setiap kesalahan pertama mereka.
Mungkin tingkahlaku anak-anak tidak seiring dengan adab sopan, peraturan ataupun disiplin. Tetapi, percayalah mereka melakukannya kerana ada sesuatu yang mereka cari bagi kepuasan diri sendiri.
Selepas memahami ‘hukum’ ini, maka kita perlu memikirkan sama ada anak perlu dipuji ataupun dihukum. Dua perkara ini adalah penting dan perlu dilakukan dengan berkesan supaya ia melahirkan anak-anak yang positif mindanya.
Sayangnya, tidak ramai ibu bapa yang tahu bagaimana mahu memuji atupun menghukum anak-anak mereka. Ada ketikanya, pujian yang diberikan bagaikan melepaskan batuk ditangga dan tidak berkesan.
Ada ketikanya, hukuman yang dikenakan pula tidak setimpal, tidak adil dan terlalu mengikut perasaan lalu anak-anak tidak mempelajari apa-apa disebalik kesalahan yang dilakukan.
Hukuman terdiri daripada pelbagai bentuk seperti:
- Dimarahi dengan kata-kata tetapi tidak mengenai sifat anak, hanya tingkahlaku mereka.
- Dipukul sedikit (bagi anak-anak yang belum remaja)
- Didenda melakukan kerja seperti kerja-kerja rumah
- Disekat sementara daripada menikmati hiburan kegemaran ataupun keluar bersama-sama rakan-rakan
- Dikurangkan wang saku berbanding lazimnya bagi tempoh waktu tertentu.
Hukuman hanya diberikan selepas anak-anak terlebih dahulu dimaklumkan mengenai kesan dan akibat daripada tingkah laku buruk mereka.
Oleh sebab itu, anak yang melakukan kesalahan kali pertama, tidak wajar dimarah atau didenda. Biasanya, apabila ia adalah kesalahan pertama, ibu bapa perlu sekadar memaklumkan yang mereka marah tetapi tidak menunjukkan kemarahannya itu. Selepas itu anak diberitahu mengenai kesan dan akibatnya jika kesalahan itu berulang.
Berikut adalah langkah-langkah memarahi ataupun menghukum anak secara berkesan:
1. Memberi amaran awal
Maklumkan pada anak sejak awal lagi, kita sentiasa melihat dan memberitahu mereka mengenai perkembangan tingkahlaku mereka.
Nyatakan juga bentuk ganjaran ataupun hukuman yang mungkin mereka terima.
2. Menyegerakan Hukuman
Hukuman mesti disegerakan. Hukuman yang disegerakan dapat memberikan kesan yang mendalam. Ia juga kekal lama dalam ingatan kerana ia dilakukan ketika kekuatan emosinya tinggi. Ia dapat menjadi satu pengajaran.
Jika tindakan dilambatkan, maka anak-anak sukar mengaitkan tindakan kita dengan perlakuan mereka.
3. Nyatakan secara terperinci
Nyatakan kebaikan ataupun kesalahan mereka secara spesifik. Misalnya, tidak cukup dengan berkata, “Emak tidak suka dengan perangai kamu.”
Kata-kata sebegini terlalu umum. Perangai yang mana satu? Nyatakan secara spesifik. Contohnya, “Emak tidak suka kamu pukul adik kecil seperti itu!”
4. Nyatakan perasaan kita
Nyatakan dengan jelas apa perasaan anda dan nyatakan apa kesan tingkahlaku mereka pada maruah keluarga ataupun masa depan mereka.
5. Diam
Diam seketika supaya anak anda dapat memahami dan merasakan apa yang sedang anda rasai.
6. Tegas dan Jelas
Pastikan anak anda tidak mengulanginya pada masa-masa akan datang. Nyatakan dengan jelas tindakan anda sekiranya mereka mengulanginya lagi
7. Eye Contact
Lihat mata anak semasa anda bercakap, sentuh anak-anak semasa anda membina keyakinannya.
Penutup
Anak-anak dilahirkan ke dunia ini bukan untuk gagal. Tuhan tidak menzalimi hamba-hambanya. Anak-anak datang sebagai khalifah. Teruskanlah berusaha dengan pelbagai cara untuk mendidik anak-anak kita. Ini adalah amanah kita daripada Allah SWT.
– Artikel ini dirujuk daripada buku ‘Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif’, Dr. Tengku Asmadi
asslamualaikum. salam kenal dari saya pengagum budaya menddiik yang kreatif