Solat ialah tiang agama ! Kata-kata yang sering menjadi peringatan bagi seluruh masyarakat dunia yang menganut agama Islam. Terdapat pelbagai cara mendidik anak solat di awal usia sama ada dalam bentuk pasif atau aktif.
Bagi golongan kanak-kanak, didikan yang berbentuk aktif, kreatif dan santai terbukti lebih berkesan.
Dari Muaz bin Jabal RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :
“Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah berjihad.”
(HR Tirmizi)
Anak-anak merupakan anugerah Allah S.W.T kepada setiap pasangan suami isteri yang telah menjalani bahtera perkahwinan.
Selain menjadi pengikat hubungan antara kedua-dua hati ini, mereka juga merupakan sumber utama pahala bagi ibu dan bapa.
Oleh itu, mendidik anak solat sejak awal usia adalah satu tuntutan yang tidak boleh dipandang sepi oleh individu-individu yang telah bergelar ibu dan ayah.
Artikel ini akan membincangkan tentang tips dan cara mendidik anak solat dengan mudah.
1. Mendidik Sejak Awal
Umumnya, ramai yang beranggapan bahawa waktu yang sesuai untuk mengajar anak solat adalah apabila umurnya mencecah 7 tahun dan ke atas.
Sedangkan pada hakikatnya, anda boleh mengajarnya untuk solat seawal usia bayi lagi. Menarik bukan ?
Apa yang dimaksudkan dengan mengajarnya untuk solat pada usia awal adalah pendidikan secara tidak langsung kepada mereka melalui kaedah pemerhatian terhadap aktiviti solat kedua-dua ibu bapa.
Bukankah kaedah yang paling berkesan dalam mendidik adalah melalui contoh teladan kedua-dua orang tuanya sendiri ?
Ya, ini adalah asas utama dalam aspek mendidik. Oleh itu, usahalah sebaik mungkin untuk memperlihatkan aktiviti solat kita kepada anak-anak yang sedang membesar.
Secara tidak langsung ia akan menjadi suatu kebiasaan baginya dan tidak mustahil anak tersebut juga akan turut serta melakukan gerak-geri solat walaupun masih tidak memahami tentang kewajipannya.
2. Mengajar Cara Berwuduk Yang Betul
Solat yang sempurna perlu bermula dengan cara pengambilan wuduk yang betul. Oleh itu, wajib untuk menunjukkan kepada mereka langkah-langkah mengambil wuduk dengan betul dan penuh tertib.
Ya benar, banyak kelas-kelas agama yang meletakkan topik cara mengambil wuduk di dalam silibus pengajaran.
Namun, sebagaimana yang kita sedia tahu bahawa didikan kedua-dua ibu bapa mempunyai impak yang lebih besar berbanding kelas-kelas tersebut.
Inisiatif tambahan yang anda boleh lakukan adalah dengan menampalkan poster-poster cara mengambil wuduk yang bergambar agar ia mudah untuk dihadami oleh anak-anak.
3. Mengajak Anak Solat Bersama
“ Bapa borek, anak rintik ”
Pepatah ini tidak pernah lekang ditelan zaman. Membawa makna yang mendalam iaitu segala perbuatan ibubapa sama ada yang baik mahupun buruk akan turut dicontohi anak.
Begitulah kaedah ini terpakai dalam mendidik anak solat secara tidak langsung dalam kehidupan sehariannya.
Agar ia menjadi tabiat yang tersemai dengan baik dalam dirinya. Walaupun baru berusia seawal 2 atau 3 tahun, kesanggupannya untuk turut serta meniru gerak-geri solat di sisi kedua-dua ibubapa pada setiap waktu sudah memadai.
Apabila akal fikirannya sudah mula matang, pada waktu itulah kefahaman-kefahaman tentang solat boleh mula diajarkan kepadanya.
4. Menggalakkannya Untuk Melaungkan Azan
Jangan berlengah untuk menyuruh anak melaungkan azan dan iqamah dalam setiap aktiviti solat berjemaah apabila dirinya telah mengetahui cara untuk melakukannya.
Situasi ini bukan sahaja mampu untuk meningkatkan keyakinan dirinya, malah ia juga melahirkan rasa tanggungjawab dalam diri lalu membuatkan anak tersebut lebih bermotivasi apabila tibanya waktu solat.
5. Memberikan Pujian Dan Galakkan
Jangan malas untuk berikan pujian apabila anak-anak kita telah mula untuk solat. Galakkkan dan puji-pujian daripada ibu dan ayah akan membuatkan mereka berasa gembira sebaik selesai ibadah solat.
Bukan setakat itu sahaja, mereka juga akan merasakan bahawa solat itu adalah suatu aktiviti yang menyeronokkan lalu akan terus tekun melaksanakannya dengan penuh kerelaan hati.
6. Membawa Anak Ke Masjid
Bagi anak-anak lelaki, penting bagi seorang bapa untuk membiasakan diri mereka dengan menghadiri solat berjemaah di masjid.
Usaha ini ternyata mampu untuk menanamkan semangat cintakan masjid sejak dari awal usia agar menjadi kebiasaan bagi mereka sehingga dewasa kelak.
Semoga dengan didikan ini, mereka tergolong dalam kalangan umat Islam yang mendapat naungan Allah pada hari kiamat.
Penutup
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Latihlah anak-anak anda untuk mula mendirikan solat dari awal. Didikan yang paling berkesan bermula di awal usia. Kelak jika mereka telah besar, usaha untuk mendidik akan menjadi lebih sukar dan menguji kesabaran yang tinggi.
Maka usahlah anda bertangguh. Lakukannya segera.
Ingatlah ! Anak-anak merupakan amanah Allah S.W.T kepada kita.
Akhir sekali, walaupun anda telah mencuba sedaya upaya melaksanakan segala cara mendidik anak solat seperti yang dinyatakan di atas, jangan lupa untuk bertawakal dan mohon pertolongan dari Allah S.W.T kerana hanya daripadaNYA sahaja datangnya sebuah hidayah itu.