Otak anak-anak dapat dibentuk dan dilatih seawal usia mereka. Di sinilah peranan ibubapa menjadi sangat penting untuk membantu perkembangan otak anak-anak menerusi aktiviti dan permainan minda yang menyeronokkan di rumah.
Ia termasuklah menerusi aktiviti bercakap dan berkomunikasi, bermain, makan, berjalan, membaca dan seumpamanya.
Kajian menunjukkan semua aktiviti peringkat awal kanak-kanak mampu membentuk kecerdasan simulasi otak mereka.
Bagaimana sel otak berfungsi
Sebelum itu, sebagai ibubapa, mari kita faham dahulu bagaimana otak kanak-kanak tumbuh dan membesar pada tiga tahun pertama usia mereka.
Dalam fasa pertumbuhan otak ini, jaluran saraf nipis yang panjang akan mula tumbuh di dalam otak kanak-kanak. Inilah antara saraf penting yang menjadi “kabel penghubung” sesama impuls elektrik di dalam sel-sel otak.
Rantaian saraf inilah membentuk asas kemahiran dan kecekapan neurologi untuk digunakan kanak-kanak sepanjang hayat mereka.
Kecekapan neurologi inilah membentuk kecekapan bahasa, penaklukan dan penyelesaian masalah di kalangan kanak-kanak.
Kemahiran menyelesaikan masalah
Kemahiran menyelesaikan masalah di kalangan kanak-kanak bermula seawal pembabitan mereka dalam aktiviti sebab-musabab menerusi penaklukan dan fleksibiliti menggunakan bahan-bahan di sekitar kehidupan awal mereka.
Ini termasuklah menerusi alat-alat dan bahan yang digunakan pada peringkat awal usia setiap kanak-kanak.
Berikut ialah sebahagian alat dan bahan berkenaan.
Permainan blok
Permainan jenis ini sesuai untuk peringkat umur kanak-kanak satu setengah tahun dan ke atas.
Untuk permulaan, gunakan blok yang mempunyai pelbagai bentuk seperti bulat, tiga segi dan empat segi.
Gunakan blok-blok berkenaan untuk merangsang minat anak membentuk dan menghasilkan pelbagai struktur mudah serta sederhana seperti bentuk bangunan bertingkat dan seumpamanya.
Ibubapa perlu memulakan, iaitu dengan membina satu blok mudah, kemudian minta anak kecil tiru pembinaan blok berkenaan sehingga berjaya menghasilkan satu bentuk bangunan sederhana.
Setelah mereka terbiasa dengan binaan blok seumpama itu, anak-anak akan dengan menjadi lebih mudah dapat membina blok mereka sendiri.
Untuk menambah minat dan kegembiraan anak-anak, anda ibubapa pula perlu meniru blok yang berjaya dihasilkan untuk anak kecil.
Pastikan proses ini berterusan dari blok sederhana kepada blok lebih rumit. Ini akan lebih mengasah minda dan kreativiti anak-anak dalam jangka sederhana dan panjang.
Permainan padanan
Permainan dalam bentuk padanan ini sesuai untuk anak berusia dua hingga dua setengah tahun.
Ini juga aktiviti mudah yang dapat merangsang kreativiti dan kebijaksanaan neurologi anak-anak.
Bahan untuk aktiviti ini boleh dibuat sendiri atau dibeli yang sudah siap di kedai.
Apa yang diperlukan ialah kadbord atau kertas tebal atau kertas kotak. Kemudian cetak dua gambar yang sama dan tampal pada kardbord berkenaan.
Ibubapa perlu sediakan sekurang-kurangnya empat pasang kadbord dengan setiap pasang mempunyai gambar sama.
Untuk bermain dengan anak-anak, balikkan semua kadbord berkenaan dan buka satu kadbord untuk dilihat oleh anak kecil anda. Tanya anak anda apakah gambar berkenaan.
Kemudian katakan kepadanya bahawa anda akan mencari satu lagi gambar yang sama. Buka kad lain satu demi satu dan tanyakan kepada anak anda mana satukah kad yang mempunyai gambar sama.
Setelah anak jumpa pasangan gambar berkenaan, serahkan kad itu kepadanya.
Kemudian ulang proses sama sehingga habis semua empat gambar berkenaan.
Anda boleh ulang beberapa kali proses ini supaya anak anda benar-benar terlatih dengan permainan padanan.
Permainan susunletak Puzzle
Ini satu lagi permainan asas yang mampu membantu kecerdasan dan kreativiti minda anak-anak.
Permainan susunletak Puzzle membantu merangsang pembentukan sel di dalam otak anak-anak, sekali gus menguatkan sel saraf sedia ada.
Aktiviti permainan minda ini bukan sahaja mencabar, malah memberi pengalaman menyeronokkan kepada anak-anak.
Kajian sedia ada membuktikan pembabitan anaka-anak dengan pelbagai aktiviti mudah dan murah di rumah mampu melatih minda mereka menjadi lebih cerdas dan bijak.