Rasulullah saw pernah mengingatkan supaya mula mengenalkan bayi-bayi kecil kita dengan kalimah lailahaillallah sejak dari dari awal lagi.
Kalimah suci ini kelak akan tertanam pada otak dan hati mereka.
Kebanyakkan anak zaman sekarang mengenal Allah dengan sifat-sifat jalaliyah-Nya.
Mereka mendengar asma Allah ketika ibu bapa hendak menghukumnya. Sedangkan saat gembira yang mereka ketahui adalah mainan yang melalaikan seperti Barbie, permainan elektronik, dan sebagainya.
Maka tidak pelik apabila mereka menyebut nama Allah hanya apabila terjadi musibah yang membawa kesusahan atau pada masa kematian datang menghampiri orang-orang tersayang.
Anak-anak kita sering mendengar nama Allah apabila kita memarahi melakukan kesalahan atau ketika kita membeliakkan mata bagi mengeluarkan ancaman.
Ini menimbulkan kekeliruan pada diri anak.
Asma Allah yang terdengar keras di telinga ketika kita sedang marah.
Contoh yang sering kedengaran daripada ibu bapa yang memarahi anak-anaknya adalah seperti, “Ya Allah, budak ni!” atau “Arman, tidak boleh begini. Nasi perlu dihabiskan. Orang membazir itu kawan syaitan. Nanti Allah murka!”
Setiap kali nama Allah yang mereka dengar lebih banyak dalam suasana negatif. Suasana yang membuat mereka cenderung ingin lari dan dalam ketakutan. Padahal kita diperintahkan untuk berdakwah, termasuk kepada anak kita, iaitu cara yang memudahkan.
Bukan membuatkan mereka berasa takut ataupun berat hati.
Anak tidak berasa dekat dengan Allah sekiranya kesan yang dia rasakan tidak menggembirakan hatinya.
Didiklah anak kita mengucapkan bismillah setiap kali mahu memulakan apa jua pekerjaan. Kita didik mereka menyebut nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.
Iqra’ Bismirabbikal ladzi Khalaq
Kalimah suci lailahaillallah yang kita kenalkan diawal kehidupan bayi-bayi kita, akan tertanam pada otaknya dan menghidupkan cahaya hatinya.
Perkataan yang didengar bayi di awal kehidupannya, berpengaruh pada perkembangan berikutnya, khususnya terhadap pesanan-pesanan yang disampaikan dengan cara yang berkesan.
Suara ibu yang didengari oleh bayi berbeza daripada suara-suara lain.
Selain menguatkan IQ si kecil, ia juga akan menguatkan pesan pada diri pada si anak.
Sekurang-kurangnya ada tiga perkara yang perlu kita berikan kepada anak ketika mereka pertama kali mengajak kita berbicara.
Tiga perkara itu adalah:
1. Kenalkan sifat Allah kepada anak, iaitu al-Khaliq, maha mencipta.
Kita tunjukkan kepada anak, kemana pun kita menghadapkan wajah, disitu kita menemui ciptaan Allah. Wujudkan kesedaran dan kepekaan dalam diri anak-anak, bahawa semua yang ada disekeliling adalah ciptaan Allah.
Semoga dengan cara itu, anak akan berasa kagum dengan kebesaran Allah, dan mereka akan patuh serta taat kepada Allah SWT.
2. Ajak anak mengenali dirinya dan mensyukuri nikmat yang ada pada anggota badannya.
Sedarkan mereka bahawa Allah yang menciptakan semua itu. Perlahan-lahan rangsang mereka bagi menemukan amanah disebalik kesempurnaan anggota badan yang dimilikinya.
Misalnya, kita boleh katakan pada anak yang menjelang usia dua tahun, “mana mata? Wah, mata ada dua! Berseri-seri. Syukur, alhamdulillah, Allah ciptakan mata yang hebat untuk Haikal. Apa kegunaan mata, Haikal?”
Secara berperingkat, kita dapat mendidik anak tentang proses penciptaan manusia. Selain merangsang kecerdasan mereka, tujuan utama adalah menanam kesedaran dalam diri mereka bahawa mereka hidup untuk Allah SWT.
3. Memberi sentuhan kepada anak tentang sifat Al-Karim.
Terdapat dua keagungan dalam sifat ini, iaitu kemuliaan dan kemurahan. Asah kepekaan anak bagi menangkap tanda-tanda kemuliaan dan sifat pemurah Allah dalam kehidupan mereka sehari-hari, sehingga tumbuh kecintaan dan pengharapan kepada Allah.
Sesungguhnya manusia cenderung mencintai orang yang mencintai dirinya, menyukai orang yang berbuat baik kepada dirinya, dan memuliakan mereka yang menghormati dirinya.