Tahukah kita, bahawa perkembangan janin dalam rahim ibu boleh dipengaruhi oleh apa sahaja yang dilakukan oleh seorang ibu yang mengandung itu.
Dalam pada yang sama, memelihara diri dengan pantang larang ibu mengandung masih menjadi amalan kepada sesetengah orang.
Apakah yang dimaksudkan dengan pantang larang ibu mengandung ini? Dan apa pula contoh-contoh yang ada kaitan dengannya baik dari segi perlakuan, dan pemakanan yang memberi kesan kepada seorang wanita hamil?
Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda perbincangan lanjut tentang perkara ini.
Apa itu pantang larang?
Pantang larang didefinisikan sebagai larangan keras kepada sesuatu tindakan yang berlandaskan kepercayaan bahawa ia terlalu suci atau terlalu terkutuk untuk dilakukan.
Pantang larang ini umumnya dirangkum mengikut kepada acuan adat dan budaya bukannya kepada sesuatu agama. Ia justeru wujud dalam sesebuah adat dan kepercayaan sesuatu kaum.
Contohnya, masyarakat Melayu percaya bahawa pelanggaran sesuatu pantang larang akan menyebabkan berlakunya kecelakaan, dan sebagainya.
Beza pantang tradisi & pantang moden
Berpantang Cara Tradisional | Berpantang Cara Moden |
Semua orang terlibat tanpa ada pengecualian | Hanya dikenakan kepada sesetengah orang sahaja |
Menggunakan cara yang lama dan tradisional | Menggunakan cara yang lebih segera dan terkini |
Orang lama masih kekal mengamalkannya | Sesetengah orang muda ada mengamalkannya |
Jenis pantang larang ibu mengandung
Pantang larang ibu mengandung mempunyai beberapa jenis iaitu pantang larang dari segi percakapan semasa mengandung, pemakanan, perbuatan, dan sebagainya.
Berikut adalah perkara yang perlu kita ambil tahu khususnya dalam memastikan penjagaan kepada ibu mengandung dalam keadaan baik dan sempurna.
1. Mengehadkan pengambilan makanan pedas
Pantang larang ibu mengandung yang pertama adalah mengehadkan pengamabilan makanan pedas.
Masyarakat Melayu memang tidak asing lagi dengan pengambilan makanan pedas dalam masakan setiap hari. Bahkan untuk sarapan pagi sahaja, kita sudah mengambil sambal sewaktu sarapan pagi.
Walaupun makanan yang kita makan itu tidak mendatangkan 100% keburukan kepada diri, tetapi ianya sedikit sebanyak memberi kesan sampingan yang buruk kepada janin tersebut.
Bagi ibu yang mengandung pula, mereka akan mudah berasa tidak selesa di bahagian perut seperti pedih ulu hati, senak perut, dan gangguan pada saluran gastrousus (GI).
2. Mengurangkan aktiviti lasak
Pantang larang ibu mengandung yang kedua ini agak popular bagi semua kaum wanita. Kita disarankan untuk tidak terlalu aktif khususnya ketika ditahap awal kehamilan kerana ketika itu janin dalam kandungan belum terlalu kuat.
Dikhuatiri juga gaya hidup kita yang terlalu aktif itu boleh memberi risiko kepada kesihatan janin dan seterusnya menyebabkan keguguran.
Elakkan diri daripada bersukan terlalu berat seperti hiking, jungle trekking, marathon, dan sebagainya.
3. Elak dari berjumpa dengan orang yang mempunyai penyakit berjangkit
Mengelak sakit dengan melindungi sepenuhnya diri daripada risiko penyakit semasa kita mengandung merupakan satu perkara yang mustahil untuk dilakukan.
Namun begitu, kita masih berupaya untuk melakukan pencegahan awal sebelum terlambat. Contohnya dengan tidak berjumpa atau dekat dengan orang yang sedang sakit atau mempunyai penyakit berjangkit.
4. Tidak mengambil ubat-ubatan tanpa kebenaran doktor
Pengambilan ubat-ubatan tanpa perhatian doktor atau ahli farmasi akan menimbulkan pelbagai risiko kesihatan kepada kita.
Hal ini kerana, kita tidak mempunyai pengetahuan yang jelas mengenai kesan ubat-ubatan tersebut kepada diri.
Pantang larang ibu mengandung kita dilarang untuk preskripsi ubat sendiri dengan menganggap bahawa semua ubat yang dilabel selamat digunakan oleh kita khususnya kepada wanita hamil.
Sungguhpun ia tidak memberi risiko kepada kesihatan ibu yang mengandung tetapi ianya pasti akan memberi kesan kepada keadaan bayi yang sedang terbentuk sehingga mungkin sampai membahayakannya.
Hal ini kerana, bayi terbentuk dengan ratusan sel yang masih mahu berkembang dan belum mampu untuk berfungsi sepenuhnya.
5. Jangan ambil makanan mentah
Bagi pengemar sushi atau makanan mentah yang tidak dimasak seperti sushi, daging setengah masak, atau adunan kuih yang masih mentah, elakkan dari makan makanan tersebut sepanjang tempoh kehamilan.
Ini kerana, makanan tersebut mengandungi bakteria, virus, dan parasit yang lebih banyak sehingga boleh mengganggu perkembangan janin.
Begitu juga dengan sayur-sayuran yang mentah seperi pucuk paku yang sering dijadikan ulam-ulaman bersama nasi panas.
Ia turut mengandungi bakteria sekiranya cara penyediaan makanan tersebut adalah secara mentah.
Adalah lebih baik jika makan makanan yang dimasak dengan sempurna bagi mengelak sebarang risiko kesihatan yang membimbangkan.
6. “Cut” minuman beralkohol
Pantang larang ibu mengandung tidak boleh minum minuman beralkohol kerana pada keadaan ini uri tidak berupaya sepenuhnya untuk menapis alkohol.
Ini adalah pantang larang ibu mengandung yang perlu diambil serius. Hal ini kerana, walaupun janin masih kecil, alkohol tetap akan sampai padanya ketika dalam kandungan kita.
Dalam masa yang sama, minuman yang beralkohol juga memabukkan dan menghilangkan kesiuman seseorang sehingga berisiko meletakkan diri kita dalam keadaan yang bahaya.
7. Elak makanan atau minuman yang mengandungi kafein
Ibu mengandung sangat disarankan untuk mengehadkan pengambilan kafein. Umumnya, had selamat pengambilan kafein adalah 200 mg/hari.
Bagi secawan kopi halus yang bersaiz sederhana ia mengandungi kira-kira 130mg. Justeru itu, beberapa cawan kopi puteh atau secawan cappucino sehari memang dilarang sama sekali.
8. Elak minum susu tidak dipasteur
Proses pempasteuran merupakan proses yang membolehkan jangka hayat susu itu bertahan lebih lama. Susu yang tidak dipasteur mempunyai jangka hayat sekitar 2-3 minggu.
Manakala susu dipasteur pula mampu untuk bertahan lebih lama iaitu 2-3 bulan. Ibu mengandung seeloknya memilih susu yang dipastur atau UHT (ultra-heat treated).
Susu mentah perlu dielakkan kerana ia berkemungkinan besar mengandungi Campylobacter, E. coli, Listeria, atau Salmonella, yang menyebabkan keracunan makanan.
9. Tidak menghina, mencaci dan bergaduh dengan orang
Menjaga percakapan bukan sahaja bermula sewaktu kita hamil. Sebaliknya ia dibuat sepanjang waktu kerana merupakan sebahagian daripada nilai-nilai murni yang perlu kita pupuk dalam hidup ini.
Ibu hamil turut disarankan untuk menjaga pantang larang ibu mengandung dari segi percakapan agar tidak berkata-kata sesuatu yang tidak baik kepada orang lain.
Hal ini bagi menjaga keperibadian anak agar mereka menjadi seorang yang baik dan sihat.
Dalam Islam sendiri, kita amat dinasihati untuk elak dari menganjing, menghina, memburuk-burukkan orang lain, apatah lagi sampai mencaci dan bergaduh.
10. Tidak menunjukkan “baby bump” kepada umum
Semua bakal ibu bapa di luar sana begitu teruja untuk berkongsi berita gembira sedang mengandungkan cahaya mata dalam kandungan.
Sehinggakan kita terikut-ikut dengan trend hari ini iaitu berkongsi gambar baby bump di media sosial.
Dalam hal ini kita perlu jelas bahawa hukum menayangkan gambar perut memboyot di media sosial (baby bump) adalah tidak selari dengan ajaran dalam agama Islam.
Ini kerana ia boleh mengundang fitnah dalam kalangan lelaki ajnabi khususnya dan membawa kepada masalah moral dan akhlak.
Sungguhpun para ulama ada berselisih pendapat mengenainya, namun menutupi semua lubang-lubang yang membawa kepada fitnah adalah tanggungjawab yang perlu kita jaga.
Diharapkan semoga artikel berkenaan dengan pantang larang ibu mengandung ini dapat memberikan ibu hamil diluar sana panduan dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk mendapatkan pengalaman yang terindah sepanjang proses kehamilan.