Bagaimana Menggunakan Pendekatan Emosi Dalam Mendidik Anak?

Biar saya ceritakan satu kisah:

Ada seorang anak kecil yang baru belajar bertatih.

Semasa ibu sedang memasak di dapur tiba-tiba kakaknya menjerit, “Mak, mak, tengok adik, tengok adik!”

Si ibu terus memadamkan api dapur dan bergegas ke ruang tamu, “Kenapa? Kenapa?” Si ibu melihat resah.

“Bukan mak, tengok adik sudah pandai bertatih” jawab kakak.

Mereka lalu bersorak melihat telatah si kecil itu. “Adik pandai, adik pandai, adik pandai”, kata kakak dan ibu sambil bertepuk-tepuk tangan.

Adik tergelak-gelak kecil sambil cuba menapak.

Setapak, dua tapak, tiga tapak, lalu jatuh.

Si kakak pun memegang tangan adik, cuba membantunya bertatih semula sambil terus bersorak teruja, “Adik pandai, adik pandai, adik pandai.”

Begitulah keadaannya yang berlaku hinggalah akhirnya anak kecil itu mampu mengimbangi badannya lalu berjalan.

Cuba perhatikan peristiwa itu, adakah kita memarahi anak kecil itu semasa dia terjatuh? Tidak.

Adakah anak kecil itu faham makna perkataan ‘adik pandai’ yang ditujukan kepadanya? Juga tidak.

Tetapi kenapa anak itu teruja dan mempunyai motivasi bagi meneruskan usahanya bertatih?

Sebab dia faham reaksi emosi kita. Reaksi kita memberikan dia isyarat, kita percayakan kebolehannya.

Keseronokan kita membuatkannya teruja bagi terus mencuba.

Inilah yang dikatakan pendekatan emosi dan emosi yang digunakan pula mestilah emosi positif.

Malangnya apabila anak-anak semakin besar, kita lupakan pendekatan rasional semata-mata. Kita marah anak apabila markahnya merah, kita membentak setiap kali mereka tersilap, kita sindir dan memperkecilkan kemampuan mereka.

Akhirnya jiwa mereka semakin jauh daripada kita meskipun secara fizikalnya anak itu berada di depan mata.

Emosi yang kita gunakan adalah emosi negatif, bukannya positif.

pendekatan emosi dalam mendidik anak

Ibu bapa perlu faham, keibubapaan yang baik memerlukan lebih daripada intelek. Kita memerlukan pendekatan emosi.

Sebagai manusia, anak-anak (malah kita sendiri) membuat keputusan itu berdasarkan alasan-alasan emosi. Hanya sedikit sahaja disandarkan kepada alasan logik.

Sebagai manusia, anak-anak juga seperti kita. Mereka mudah membuat keputusan alasan emosi.

Sebab itu, ada pepatah yang mengatakan ‘cinta itu buta’.

Buktinya, apabila seseorang dibawah pengaruh emosi, maka daya inteleknya tidak mampu berfungsi dengan baik dan membuat pertimbangan akal yang waras.

Atas sandaran inilah, maka ibu bapa perlu belajar teknik menggunakan pengaruh emosi bagi membentuk, membimbing dan mendidik anak-anak mereka.

Keibubapaan yang menggunakan pendekatan emosi biasanya melibatkan lima langkah utama iaitu:

  • Peka terhadap emosi anak
  • Menyedari yang perubahan emosi anak sebagai peluang bagi merapatkan hubungan dan mendidik
  • Mendengar secara empati, memahami dan mengesahkan apa yang sedang anak alami
  • Membantu anak-anak mengenali dan memahami emosi mereka sendiri.
  • Nyatakan dengan jelas batas atau tahap sesuatu emosi sambil mencari jalan penyelesaian masalah yang timbul

Sebenarnya, anak-anak lebih bertindak balas kepada emosi kita dan bukannya kata-kata kita.

Malah setiap peristiwa yang berlaku jika disertai dengan kekuatan emosi dapat membuatkan ia tertanam di minda dan terpahat dihati bagi satu tempoh yang panjang.

Cuba imbas kembali sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Apakah kenangan ataupun peristiwa antara kita dan ibu bapa yang tidak dapat dilupakan hingga sekarang?

Mungkin sebabnya peristiwa itu begitu menyentuh perasaan, menyedihkan, menakutkan, menggembirakan dan sebagainya.

Kekuatan emosi yang wujud waktu itu membuatkan peristiwa itu kekal dalam ingatan.

Begitu juga apabila kita mengimbas kembali zaman persekolahan dahulu, kita tidak dapat mengingati semua guru-guru yang pernah mengajar kita tetapi kita tidak dapat melupakan dua orang guru ini iaitu guru yang paling kita suka dan guru yang paling kita benci waktu itu?

Kenapa?

Sekali lagi sebab wujudnya faktor kekuatan emosi.

Kebanyakkan ejen insurans cukup pandai menggunakan pendekatan emosi sehingga kita rela meletakkan komitmen membeli insurans yang ditawarkannya.

Kata mereka, “Bayangkan apa yang mungkin terjadi kepada anak dan isteri apabila encik meninggal dunia nanti? Sanggupkah biarkan mereka meminta-minta? Tergamakkah membiarkan isteri kita yang kita sayang naik tangga turun tangga mencari sesuap nasi bagi anak?

Waktu itu, otak kita tidak mampu berfungsi secara normal lagi kerana emosi sudah menguasai keputusan yang mahu dibuat.

Begitulah hebatnya emosi dalam mempengaruhi sesuatu keputusan.

Oleh itu, gunakan pendekatan emosi dalam mendidik anak-anak kerana:

  1. Ia memudahkan anak-anak bertindak balas secara positif pada mesej yang disampaikan kepada mereka.
  2. Ia kekal dalam ingatan bagi satu tempoh yang lama.
  3. Ia lebih berkesan daripada pendekatan biasa
  4. Ia menjimatkan masa dan tidak memenatkan.

Penutup:

Gunakan peluang ini sebaik-baiknya kerana kerap kali dalam hidup ini, sesuatu perkara itu berlaku berdasarkan emosi dan bukannya rasional.

Dan, apabila kita menggunakan pendekatan emosi dalam mendidik dan memotivasikan anak-anak, maka mereka lebih mudah membuat keputusan untuk berubah.

Semoga bermanfaat kepada semua pembaca TSC 🙂

Jemput share. Terima kasih
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Risk Free Shipping

If your orders lost during shipment, we will do the replacement or refund

Easy 180 days returns

180 days money back guarantee

100% Secure Checkout

Toyyibpay / MasterCard / Visa