Pada 30 Mei 2024, TudungSiComel berpeluang menghadiri sesi perjumpaan bersama team Brand Hack di Union Coffee. Banyak yang dapat kami pelajari tentang ilmu-ilmu pemasaran, terutama apabila duduk bersama pasukan dari pelbagai industri yang mempunyai pendapat dan sudut pandangan yang berbeza.
Di sana, kami juga bertemu dengan pengasas TNL Bakery Cafe. Pegawai Pembangunan Perniagaan dari Evo Dagang, dan individu-individu lain dari pelbagai sektor seperti SuamiSihat, El Nahl Honey, Ervalley, Madre, dan Jardin Pharma.
En. Nidzam menyatakan bahawa dalam perniagaan, perkara utama yang perlu difokuskan adalah objektif perniagaan tersebut. Walaupun perniagaan kita mengalami kejatuhan, kita perlu kembali dan ingat kepada objektif asal penubuhan perniagaan kita supaya kita tak cepat rasa putus asa.
Selain itu, En. Nidzam juga berkongsi tentang proses aliran jenama atau dikenali sebagai Brand Funnel. Ianya dibahagikan kepada 6 tahap.
Tahap 1: Identiti
Setiap kejayaan bermula dengan mengenali siapa diri kita. Dalam konteks jenama, ini dikenali sebagai identiti jenama. Tanpa identiti yang jelas, produk kita hanyalah satu lagi item di rak yang tanpa nilai khusus. Jenama yang jelas akan membantu kita menonjol di kalangan pesaing dan membolehkan pelanggan mengenali siapa kita dan apa yang kita tawarkan.
Contohnya, fikirkan jenama-jenama besar seperti Apple atau Nike. Mereka tidak jual produk semata-mata; mereka jual gaya hidup, aspirasi, dan nilai-nilai. Mereka mempunyai identiti yang tersendiri, dan itu menjadikan produk mereka lebih bermakna. Jadi, sebelum anda melangkah lebih jauh, pastikan jenama anda mempunyai identiti yang kuat dan unik.
Tahap 2: Pengalaman
Setelah identiti jenama dikenali, langkah seterusnya adalah memastikan pengalaman pelanggan yang terbaik. Ini bukan sahaja tentang produk itu sendiri, tetapi keseluruhan perjalanan pelanggan – dari saat mereka mula mengenali jenama anda, hingga mereka menggunakan produk atau perkhidmatan anda.
Bayangkan anda pergi ke restoran. Bukan sahaja makanan yang penting, tetapi juga layanan, suasana, kebersihan, dan setiap interaksi kecil yang anda alami. Begitu jugalah dengan jenama anda. Pastikan semua aspek ini dipertimbangkan untuk menyediakan pengalaman terbaik kepada pelanggan. Pengalaman yang baik akan membuatkan pelanggan kembali dan berkongsi tentang jenama anda dengan orang lain.
Tahap 3: Kesedaran
Sekarang, setelah kita mempunyai identiti yang kuat dan menawarkan pengalaman yang terbaik, tibalah masa untuk memberitahu dunia tentang kita. Kesedaran jenama adalah penting untuk memastikan lebih ramai orang mengetahui tentang produk atau perkhidmatan kita.
Salah satu cara yang efektif adalah melalui pemasaran digital – media sosial, SEO, kandungan berbayar, dan banyak lagi. Sentiasa pastikan anda berada di tempat yang betul, pada masa yang betul, dan kepada audien yang betul. Usaha untuk membina kesedaran jenama mungkin memerlukan masa dan sumber, tetapi hasilnya berbaloi. Lebih ramai yang mengenali jenama anda, lebih banyak peluang untuk berkembang.
Tahap 4: Jenama Peribadi
Jenama bukan sahaja tentang syarikat atau produk; ia juga tentang individu di sebaliknya. Pemilik perniagaan atau pemain utama dalam perniagaan tersebut memainkan peranan yang penting dalam memastikan orang terus mengikuti dan mengenali jenama kita.
Mengapa ini penting? Kerana manusia lebih percaya kepada manusia. Dengan memperkenalkan jenama peribadi, anda menunjukkan kepada pelanggan bahawa di sebalik jenama tersebut, terdapat individu yang komited dan berdedikasi. Ini membantu membina kepercayaan, dan ketika prospek belum lagi menjadi pelanggan, mereka mungkin tertarik mengikuti kandungan anda kerana merasakan hubungan peribadi.
Tahap 5: Pengaruh Selebriti
Tidak dinafikan, selebriti mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat kita. Menggunakan selebriti sebagai duta jenama boleh membantu menarik lebih banyak prospek dan membina kepercayaan. Orang ramai cenderung untuk mempercayai jenama yang mendapat sokongan daripada public figure yang mereka kagumi.
Tetapi, perlu diingat, memilih selebriti yang betul adalah kritikal. Pastikan mereka mencerminkan nilai jenama anda dan mempunyai audien yang sesuai dengan pasaran sasaran anda. Dengan kerjasama yang betul, pengaruh selebriti boleh menjadi alat pemasaran yang sangat efektif.
Tahap 6: Kesetiaan
Akhir sekali, kita sampai kepada tahap kesetiaan. Kesetiaan pelanggan adalah tanda bahawa anda telah melakukan segala-galanya dengan betul – dari identiti jenama hingga pengalaman pelanggan. Kesetiaan tidak muncul dalam sekelip mata; ia memerlukan kesungguhan, konsistensi, dan pemahaman yang mendalam tentang keperluan pelanggan.
Untuk mengekalkan kesetiaan, pastikan anda memberi perhatian kepada maklum balas pelanggan dan sentiasa bersedia untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Kesetiaan pelanggan bukan sahaja menguntungkan dalam jangka masa panjang, tetapi juga membantu dalam pemasaran dari mulut ke mulut, yang sangat berharga untuk pertumbuhan jenama.
Sessi Curhat
Selepas sesi perjumpaan, kami bersama En.Nidzam terus ke Restoran Kayu Nasi Kandar dan berbincang lebih mendalam mengenai cabaran dan pandangannya bagaimana TudungSiComel dapat berkembang lebih maju lagi.
Itulah antara pengalaman dan pelajaran yang kami dapat dari pertemuan tersebut. Sangat berharga dan membuka mata saya tentang pentingnya memahami identiti dan pengalaman pelanggan dalam pemasaran.
Terima kasih En.Nidzam atas perkongsian dan ilmu di berikan.