Di hujung kehamilan, mommies kena alert dengan tanda bersalin semakin hampir. Bukan apa, mesti mommies akan rasa berdebar dan tidak sabar hendak menanti kehadiran si kecil. Saya juga pernah merasainya, berdebar sampai sukar tidur dibuatnya.
Apa itu bersalin?
Bersalin atau melahirkan anak merupakan proses peringkat akhir kehamilan. Janin yang 9 bulan di dalam perut akan keluar dari rahim mommies.
Ia akan bermula dengan rahim mengecut (contraction) setiap 5-30 minit. Proses pengecutan itu tadi akan meningkat setiap 2 minit secara perlahan. Setelah itu, pangkal rahim akan membuka sehingga 10 cm dan janin akan dikeluarkan melalui vagina.
Buat persiapan awal elak “kelam-kabut” last minit
Bukan semua mommies di luar sana akan mengalami tanda bersalin semakin hampir seperti di bawah ini. Ini kerana, kebanyakkan mommies akan mengalami tanda bersalin yang hampir sama.
Jadi, pastikan mommies sediakan persiapan awal untuk menghadapinya dari pelbagai sudut, emosi dan fizikal. Walaupun mommies sudah tahu tarikh jangkaan bersalin (EDD) yang diberikan oleh doktor.
Tetapi tidak mustahil jika mommies bersalin lebih awal ataupun lewat daripada tarikh yang diberikan. Jika tanda bersalin semakin hampir ini sudah ada pada mommies, segeralah ke hospital untuk persediaan proses bersalin.
9 tanda bersalin semakin hampir
Berikut, saya kongsikan beberapa tanda bersalin semakin hampir yang perlu mommies berjaga-jaga supaya dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
1. Kerap buang air kecil
Bukan hanya di tanda awal kehamilan, di hujungnya pun mommies akan mengalami masalah kerap buang air kecil dengan lebih kerap.
Hal ini disebabkan oleh kepala bayi yang semakin hampir dengan pintu pelvis. Kedudukan kepala bayi yang paling rendah akan menyebabkan banyak tekanan kepada punci kencing mommies. Sebab itulah, mommies kerap buang air kecil.
2. Kepala bayi menurun
Tanda bersalin semakin hampir yang seterusnya ialah kepala bayi semakin menurun ke arah pintu pelvis. Pada 2 hingga 4 minggu terakhir, mommies akan berasa kandungan seakan bergerak ke bawah.
Pada keadaan ini, kandungan mommies sebenarnya akan mengambil posisi untuk keluar dari rahim.
3. Kerap sakit belakang
Selain kerap buang air kecil, tanda bersalin semakin hampir yang lain mommies juga akan merasai sakit belakang yang semakin kerap di hujung kehamilan.
Hal ini disebabkan oleh bayi mommies yang semakin berat dan sudah berada dekat pintu pelvis. Rahim mommies akan semakin meregang apabila di hujung kehamilan.
4. Badan akan menjadi letih
Tanda bersalin semakin hampir yang seterusnya ialah mommies akan berasa susah untuk bergerak dan susah tidur. Ini dek kerana perut mommies yang besar pada akhir-akhir kehamilan.
Malah, ia juga menyukarkan pergerakan mommies, menekan pundi kencing dan organ mommies yang lain.
Bagi merawatnya, mommies boleh amalkan Minyak Kelapa Dara (VCO) atau memperbanyak minum air kelapa bagi memberikan tenaga.
Selain itu, mommies boleh cuba untuk cari posisi yang paling selesa apabila hendak tidur dan pastikan juga dapatkan rehat yang secukupnya.
5. Loya dan cirit birit
Di akhir kehamilan, mommies juga akan berasa tidak selesa di bahagian perut kerana hormon kelahiran. Badan mommies sedang mengosongkan usus bagi memberi ruang kepada bayi.
Mommies juga akan mudah muntah dan cirit birit. Jadi, dinasihatkan untuk mommies banyakkan minum air bagi mengekalkan hidrasi. Jangan risau akan situasi ini, keranan itu perkara normal di peringkat tanda bersalin semakin hampir.
6. Keluar lendir dari faraj
Ketika hamil, bahagian servik mommies akan dilindungi dari lendiran mengalir. Tetapi, pada saat kelahiran yang semakin hampir akan menyebabkan kepala bayi semakin turun ke bahagian pelvis mommies.
Tambahan lagi, sebelum bersalin ia juga boleh mengakibatkan lendiran ini tadi keluar mengalir. Lendiran yang bercampur darah ini terhasil kerana dinding serviks yang semakin menipis.
Jika lendiran bercampur darah itu keluar dengan jumlah yang banyak, sila hubungi doktor dengan segera. Jika keadaan ini berlaku, kemungkinan mommies akan bersalin dalam beberapa hari lagi.
7. Sukar untuk tidur
Selain itu, tanda bersalin semakin hampir yang seterusnya ialah mommies sukar untuk tidur. Jika bakal ibu berasa sukar untuk tidur, itu adalah normal.
Ada juga yang mungkin berasa kurang selesa ketika waktu tidur kerana kedudukan perut yang semakin membesar. Semakin dekat waktu bersalin, tidur semakin kurang nyenyak.
8. Kerap Kontraksi
Terdapat juga wanita yang berasa kontraksi seakan senggugut, mencucuk, dan meregang. Ini juga merupakan salah satu tanda bersalin semakin hampir.
Ada juga yang rasa seperti memulas yang bermula dari bahagian belakang dan membawa ke bahagian hadapan abdoment.
Mommies juga akan berasa sakit di bahagian perut dan pinggul akibat pengecutan dan ia dipanggil “kotraksi palsu” iaiu Braxton-Hicks. Sekejap mommies akan rasa sakit, sekejap lagi sakit tersebut pergi dengan sendiri.
Kontraksi ini boleh terjadi sehingga 2 minit. Untuk mengurangkan kesakitan, mommies boleh mengubah posisi dari duduk ke berjalan atau sebaliknya.
Pengalaman saya pula, saya rasa setiap 20 minit sekali. Kemudian lepas itu, sakitnya jadi 15 minit sekali. Memang akan panik seketika dibuatnya, sebab sakit itu kerap datang tetapi mujur saya sudah di wad.
Nurse check bukaan rupanya dah 4 cm. Lebih kurang 6 jam juga saya rasa kontraksi tersebut, makin lama 2 minit sekali mesti rasa sakit kontraksi yang dahsyat.
Sehingga saya hampir tidak mahu melahirkan, dek kerana kesakitan kontraksi yang saya alami semasa melahirkan anak sulung. Tetapi, nikmat sakit itu hilang bila si manja saya keluar.
9. Air ketuban pecah
Ini merupakan tanda bersalin yang paling umum. Kebiasaannya, air ketuban akan mengalir secara perlahan atau menitis. Cecair amniotik ini tiada warna dan tidak berbau ya bukan seperti air kencing.
Pengalaman saya sendiri, air ketuban pecah dengan menitis perlahan. Pelik juga sebab ia tiada bau dan berwarna.
Lagi peliknya, saya langsung tidak berasa sakit apa-apa. Disebabkan saya lahir anak sulung, jadi memang tidak beranilah hendak duduk rumah lama-lama.
Saya terus ke hospital dan tahu-tahu bukaan mencapai 2 cm, teruslah kena tahan wad.
Jika mommies mengalami perkara yang sama, pastikan segera ke hospital untuk bersedia untuk bersalin.
Kesimpulan
Di atas merupakan 9 tanda bersalin semakin hampir yang mommies kena sentiasa berjaga-jaga. Setiap ibu yang mengandung semestinya akan mengalami proses melahirkan anak ini.
Pastikan mommies sentiasa berada di dalam keadaan yang tenang dan terkawal. Suami juga turut memainkan peranan yang penting terutama ketika di hujung kehamilan.
Berikan sokongan dari pelbagai sudut dan sentiasa berada di sisi mommies. Apa yang pasti, sakit yang bakal dilalui itu nanti pasti akan hilang apabila si comel menjengah ke dunia ini.
Saya doakan urusan bersalin mommies dipermudahkan segalanya. Good luck dan selamat berpantang mommies!
Nak dapatkan bermacam info dan produk dari tudung Si Comel? Jom Follow FB Page Tudung Si Comel