Anak adalah anugerah yang sangat istimewa diberikan oleh Tuhan kepada setiap pasangan suami isteri. Setiap anak mempunyai keunikan yang tersendiri berbanding yang lain terutamanya ciri-ciri anak kedua.
Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda ciri-ciri anak kedua dalam adik beradik yang unik, menarik, dan lain daripada yang lain.
Fakta unik tentang anak kedua
Setiap ibu bapa sepatutnya harus mempunyai pemahaman yang jelas mengenai karakter dan ciri unik setiap anak. Ciri-ciri anak kedua misalnya, ada perbezaan dari segi perkembangan sifat, perkembangan emosi, dan aspek-aspek penting yang lain apabila dibuat perbandingan dengan adik-beradiknya.
1. Kreatif, fleksibel dan suka kebebasan
Ciri-ciri anak kedua yang paling cenderung dalam dirinya adalah dia seorang yang kreatif dan suka akan kebebasan. Hal ini disebabkan oleh anak ini gemar untuk bersendirian.
Maksud bersendirian bagi seorang anak kedua adalah sering berimaginasi dalam mengembangkan bakat terpendam dalam diri. Selain daripada itu juga, anak ini bersikap fleksibal iaitu mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan.
Setiap tugasan membolehkan anak kedua bebas dalam mengekspresikan dirinya tanpa ada waktu yang mengikat atau peraturan yang menyekat.
2. Suka bersahabat
Tidak kekok dan pandai membawa diri ketika berada dalam lingkungan sosial, itulah antara ciri-ciri anak kedua yang menjadikan mereka disukai rakan seusia.
Malah dikatakan dari kajian lalu, anak kedua buka sahaja pandai bergaul tetapi juga akan memastikan dan menjaga perhubungan yang baik serta erat dengan orang sekelilingnya. Demikian, tidak hairanlah orang sekeliling sering berasa selesa apabila berdekatan dengan mereka.
Keunikan ini memberi jurang perbezaan yang ketara mengenai aspek kemahiran sosial anak kedua dengan anak sulung atau anak bongsu.
3. Berfikiran terbuka
Berfikiran terbuka atau open minded telah terdidik sejak kecil dalam diri anak ini untuk membuat sesuatu keputusan dan pilihan tentang hidupnya sendiri.
Penanda aras untuk mereka tentukan atau mengimbangi keputusan tersebut adalah dari pengalaman lalu.
Ini boleh dilihat jelas kerana anak kedua biasanya tidak menjadi timpuan harapan ibu bapa membuatkan mereka terpaksa berdikari sejak awal. Mereka lebih berfikiran terbuka dalam mencuba sesuatu yang baru, mengadili sesuatu permasalahan dan menyelesaikan konflik.
Hal ini membuatkan mereka suka mencuba pelbagai perkara baru, mencari pengalaman manis atau pahit, melaluinya, lalu mengambil pelajaran dari apa yang terjadi seiringnya pertambahan usia.
4. Lebih sensitif
Mungkin ramai yang tidak tahu, anak kedua terkenal dengan sifatnya yang seorang sensitif sejak kecil. Hal ini kerana, mereka sudah biasa dibiarkan dan kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa.
Sungguhpun ciri-ciri anak kedua ini mudah terasa akan sesuatu hal tetapi halangan yang paling besar bagi mereka adalah sikap suka memendam perasaan dan menyembunyikan rasa yang terbuka di hati.
5. Suka bersaing dengan orang lain
Kajian daripada Jurnal Perkembangan Kanak-Kanak yang pernah diterbitkan oleh Wiley Online Library menunjukkan bahawa ciri-ciri anak kedua kelihatan kompetitif, hiperaktif, dan suka menarik perhatian dengan melakukan perkara-perkara diluar jangkaan.
Dalam masa yang sama juga, menurut Psychology Today yang menerbitkan sebuah artikel bertajuk How Firstborns and Secondborns Compare menyatakan bahawa “mindset” semula jadi anak kedua ini berbeza kerana mereka telah dilahirkan ke dunia dengan pesaing (iaitu abang atau kakak mereka).
6. Kurang bergantung kepada ibu bapa
Kajian yang dilakukan pada tahun 1998 dengan penglibatan seramai 400 orang pelajar telah membuktikan bahawa anak kedua kurang bergantung kepada ibu bapa.
Dalam kajian ini, responden disoal tentang siapa yang mereka akan minta pertolongan jika memerlukan bantuan. Apa yang mengejutkan, majoriti daripada mereka akan menjawab “kawan”.
Jawapan ini disokong dengan kenyataan bahawa anak kedua kurang menghabiskan masa bersama ibu bapa jika dibandiingkan dengan anak sulung dan anak bongsu.
7. Minda yang mahir memanipulasi
Satu lagi ciri-ciri anak kedua adalah mahir memanipulasi. Ia terkenal dengan sikapnya yang mempunyai banyak idea dan “jalan” dalam sesuatu perkara.
Ditambah kecekapan berkomunikasi, anak kedua memang bijak memanfaatkan peluang yang singgah di hadapan mereka. Jelas, tidak hairanlah ramai diantara mereka yang berjaya dan amat berbakat dalam pelbagai bidang.
Biarpun kedegilannya kadang kala membuat orang lain berasa pening kepala, tetapi itulah kelebihan anak kedua.
Antara contoh anak kedua yang berjaya dan sedikit mempunyai masalah disiplin adalah seperti Abraham Lincoln, Bill Gates, Donald Trump, Putera Harry, Britney Spears, Jennifer Lopez, dan Kim Kardashian.
8. Seorang ketua yang berkarisma
Semua orang tahu bahawa anak pertama adalah pemimpin, anak tengah adalah pemberontak, dan anak terakhir cenderung manja dan tiada keyakinan diri. Tetapi kita pasti terlepas pandang akan ciri-ciri anak kedua yang berkebolehan menjadi pemimpin yang berkarisma.
Selaku anak kedua dalam keluarga, mereka ini diibaratkan seperti pembantu kepada anak pertama dalam menguruskan adik-adik beradik yang lain.
Menggalas tanggugjawab itu sejak kecil membolehkan anak kedua terlatih dengan meniru-niru cara kepimpinan anak sulung.
Fakta mengatakan, kebanyakkan Presiden Dunia termasuk Presiden Amerika seperti Presiden Abraham Lincoln merupakan anak kedua.
Tambahan lagi, Katrin Schumann penulis buku The Secret Power of Middle Children menyatakan bahawa dalam memimpin, anak kedua cenderung memiliki karakter berikut ini:
- memiliki jiwa leadership yang tidak kalah dibanding anak pertama
- fokus pada prinsip dan tujuan hidupnya
- peduli pada rekannya dan mampu membentuk pasukan, serta
- inisiatif dan pandai berinovasi.
Mereka mempunyai kebijakan dalam menguruskan pasukan, malah sesebuah negara, dan mampu juga mendelegasikan tugasan mengikut bidang-bidang tertentu di dalam ahli pasukannya.
9. Hormon testosteron semakin meningkat bila dewasa
Hormon testosteron biasanya ada pada seorang manusia yang berjantina lelaki. Namun apa yang dilaporkan oleh Daily Mail sedikit berbeza.
Menurut kajian tersebut, seramai 364 anak-anak bersama ibu bapa mereka telah di temu bual dan disuruh mencatatkan aktiviti mereka di luar kelas. Sampel air liur telah diambil untuk menilai tahap hormon testosteron yang terdapat di dalamnya.
Terbukti, anak kedua menunjukkan peningkatan hormon ini seiring dengan meningkatnya usia!
Dengan adanya hormon tersebut menyebabkan ciri-ciri anak kedua menjadi lebih berani, lasak, dan suka menyahut apa jua cabaran dalam hidupnya.
10. Suka mengalah dan berlapang dada
Jika kita perhatikan pada kedudukan anak kedua dalam adik-beradik, mereka ini berada di tengah iaitu mempunyai kakak atau abang dan juga mempunyai adik-adik yang lain.
Disebabkan itu, sifat suka mengalah dan berlapang dada sudah sedia terbentuk dalam jiwa anak kedua khususnya dalam pergaulan kerana mereka terbentuk dalam lingkungan sedemikian.
Terima dan raikan keunikan setiap anak
Ciri-ciri anak kedua yang kita bincangkan tadi hanya sebahagian keunikan yang ada pada seorang anak. Banyak lagi sebenarnya keistimewaan mereka yang mungkin tidak kita perasan.
Sungguhpun terdapat banyak kajian, teori, dan data yang dikeluarkan oleh pengkaji dari aspek kelebihan, kelemahan, dan potensi diri namun setiap anak tentunya mempunyai kekuatan masing-masing.
Jangan pinggirkan mereka sebaliknya raikanlah perbezaan yang ada dan terus memahami keunikan personaliti setiap anak kita kerana anak adalah anugerah yang sangat istimewa buat sebuah keluarga