Jalani kehidupan seikhlas matahari. Dilihat orang ataupun tidak, ia tetap bersinar. Dihargai ataupun tidak, ia tetap menerangi

3 Peringkat Autisme Yang Ibu Bapa Di Malaysia Wajib Tahu

Anak autisme adalah anak yang sangat istimewa. Bermula dengan mengenali peringkat autisme pada anak-anak ini, kita akan lebih memahaminya.

Justeru itu, kita sebagai ibu bapa atau orang sekelilingnya perlu peka dengan peribadi dan keistimewaan yang ada pada mereka. Sungguh, biarpun pasti sedikit pun tidak pernah terlintas pada fikiran kita akan diberikan rezeki anak istimewa.

Namun, anak tetap anugerah yang tiada nilai untuk kita sebagai ibu bapa sia-siakan. Kehadiran anak sepatutnya menjadi sinar bahagia biarpun apa jua keadaannya.

Perkembangan diagnosis autisme

peringkat autisme

Pernahkah kita terbayang suatu hari nanti, doktor akan datang kepada kita dan memberitahu bahawa anak kita autisme? Hakikatnya, seseorang doktor itu tidak mudah untuk mendiagnos sesiapa sahaja dengan autisme.

Diagnosis doktor wajib mengikut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM), yang diterbitkan oleh Persatuan Psikiatri Amerika. Dan doktor juga perlu bertanggungjawab terhadap diagnosis yang dikeluarkannya.

Hal ini kerana ia sangat berkait rapat dengan cara penanggung insurans, sekolah, dan penyedia perkhidmatan lain mengendalikan individu yang didiagnos.

Bukan itu sahaja, malah diagnosis itu sendiri berkembang mengikut zaman. Membuatkan para doktor perlu lebih teliti semasa membuat keputusan. Contoh DSM versi keempat:

  • DSM versi keempat mengkelaskan autisme sebagai sebuah spektrum, yang ada lima diagnosis kecelaruan mental di bawahnya.
  • Asperger syndrome contohnya, merujuk kepada  “autisme yang berfungsi tinggi”, manakala gangguan autisme pula mempunyai diagnosis yang tersendiri juga. Ia merujuk kepada “autisme yang teruk”.

Namun, pada Mei 2013, apabila DSM versi kelima dikeluarkan:

  • Autisme telah ditakrifkan sebagai satu “gangguan spektrum” tunggal (Autism Spectrum Disorder, ASD), dengan satu set kriteria gejala yang meliputi bidang komunikasi sosial, tingkah laku, fleksibiliti dan kepekaan deria.
  • Peringkat gangguan spektrum ini pelbagai, daripada ringan kepada berat. Namun masih berada di bawah payung “autisme”.

Dengan cara ini, ia memudahkan para doktor untuk mendiagnosis dan lebih memudahkan individu yang didiagnos untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Maka, janganlah bersedih sekiranya anak anda didiagnos dengan autisme, kerana hal ini tidak bermakna anak anda kekurangan upaya selama-lamanya. Bergantung kepada peringkat mereka, anak ini boleh dibantu supaya keadaan mereka menjadi lebih baik.

Artikel ini akan menerangkan tentang tiga peringkat autisme, supaya kita boleh mengenalpasti di peringkat manakah anak kita berada, dan apa pula sokongan yang boleh diberikan.

Peringkat-peringkat autisme

Umumnya, terdapat tiga peringkat autisme yang perlu kita tahu. Berikut adalah penjelasan yang lebih terperinci mengenai setiap peringkat yang ada.

Peringkat 1: Memerlukan sokongan

Peringkat 1 ialah peringkat paling ringan, yang dahulunya dikenali sebagai Asperger Syndrome atau “autisme berfungsi tinggi” dalam DSM versi keempat.

Individu yang berada pada peringkat 1 kebiasaannya mempunyai IQ yang normal, dan mampu berdikari sendiri. Namun, mereka akan mengalami kesukaran dalam komunikasi sosial, seperti mentafsir bahasa tubuh badan, atau berbual santai dengan orang lain.

Jika mereka tidak diberikan sokongan dalam aspek sosial, mereka akan menghadapi masalah untuk berkawan dan membina hubungan dengan orang lain.

Selain itu, mereka juga boleh jadi “kaku”, kerana mereka tidak fleksibel dengan perubahan atau kecenderungan sensori.

  • Contohnya, waktu makan tengahari mereka mesti pukul 12 tengahari. Tidak boleh pada waktu lain, atau mereka tidak akan makan dengan baik.
  • Atau, mereka hanya akan memakai baju yang diperbuat daripada kapas. Mereka akan mula meragam atau kurang selesa jika material baju yang dipakaikan berbeza.

Jika anak autisme tidak diberikan sokongan dalam aspek ini, mereka akan mengalami kesukaran beradaptasi dengan perubahan-perubahan yang bakal mereka alami dalam kehidupan.

Peringkat 2: Memerlukan sokongan substantial

Individu yang berada pada peringkat 2, mempunyai masalah komunikasi dan tingkah laku yang signifikan.

Mereka hanya bercakap dalam ayat mudah, dan tidak dapat menggunakan ayat yang lebih kompleks untuk berkomunikasi. Mereka juga hanya akan berbual tentang topik kegemaran mereka yang spesifik.

Selain itu, perlakuan berulang kali seperti mengepak tangan atau berpusing dalam bulatan, tanpa mengira tempat dan konteks (contoh seperti di tempat awam yang mungkin akan dilihat pelik) akan menjadi rutin yang kerap dilakukan.

Hal ini mencerminkan masalah tingkah laku tidak fleksibel mereka. Anak ini bahkan lebih “kaku’ dan lebih menolak perubahan dalam rutin, daripada individu autisme yang berada pada peringkat 1.

Jelas simptom yang pelbagai ini, menunjukkan bahawa mereka perlu diberikan sokongan yang substantial.

Jika tidak, mereka tidak akan mampu berdikari dan menjalani kehidupan seharian dengan baik. Mereka perlu diberi bantuan dalam:

  • Menggunakan ayat yang lebih kompleks untuk berkomunikasi dengan lebih tepat.
  • Memudahkan mereka beralih daripada satu aktiviti kepada satu aktiviti yang lain.
  • Menangani stress dalam berdepan dengan perubahan dalam kehidupan mereka.

Peringkat 3: Memerlukan sokongan sangat substantial

Peringkat 3 merupakan peringkat yang paling serius, kerana mereka mengalami ke semua masalah yang dialami oleh individu pada peringkat 1 dan peringkat 2, bahkan lebih ekstrem.

  • Kebanyakan mereka tidak mampu langsung berkomunikasi secara verbal. Mereka hanya akan menunjuk atau membawa tangan penjaga ke arah objek yang mereka mahu.
  • Interaksi sosial mereka juga sangat terhad iaitu hanya kepada penjaga mereka dan hanya untuk menunaikan keperluan asas seperti makan atau pergi ke tandas.
  • Rutin harian dan kecenderungan sensori mereka juga teramatlah “kaku”. Contohnya, setiap kali waktu makan tengahari pada pukul 1 tengahari, mereka mesti makan ayam goreng, tidak boleh langsung makan makanan lain pada waktu yang lain.

Maka, disebabkan banyaknya kekangan ini, individu yang berada pada peringkat 3 akan kerap tantrum, akibat tekanan yang mereka alami.

Semua ini kerana anak tidak mampu berkomunikasi dengan penjaga mereka tentang apa yang mereka mahu atau perlu.

Dalam masa yang sama, anak turut mengalami beban deria yang keterlaluan (sensory overload) seperti cahaya yang silau atau bunyi yang bising Mereka akan mengalami meltdown, di mana kelakuan mereka hampir sama dengan tantrum.

Puncanya juga sama, yakni kerana mereka tidak boleh berkomunikasi bahawa minda mereka sedang terbeban dengan tekanan deria yang keterlaluan.

Individu yang berada pada peringkat 3 perlu diberikan sokongan yang sangat substantial, dalam segenap kehidupan mereka.

Maka dengan itu, ibu bapa yang mempunyai anak autisme yang berada pada peringkat 3, perlu menghantar anak mereka ke pusat psikologi yang mempunyai terapis-terapis yang berkelayakan untuk membantu anak ini.

Terapis-terapis ini telah dilatih untuk menganalisis dan menawarkan terapi yang bersesuaian dan khusus untuk anak kita.

Peringkat-peringkat ini bukan generalisasi

Perlu diingatkan juga, peringkat-peringkat ini merujuk kepada peringkat keterukan kecelaruan autisme secara umum sahaja. Kesan autisme tidak sama untuk setiap individu, dalam pelbagai aspek kehidupan yang berbeza.

  • Ada anak yang masih boleh bersekolah seperti biasa, namun mereka sangat memerlukan sokongan substantial daripada aspek sosial.
  • Ada individu autisme yang boleh menjadi penceramah yang hebat, namun tidak mampu untuk berbual santai dengan orang lain.

Paling penting, peringkat autisme seseorang itu boleh berubah-ubah, bergantung kepada sokongan yang diterimanya.

Anak yang berada pada peringkat 1 contohnya, tidak boleh kita anggap bahawa mereka tidak perlukan sokongan hanya kerana mereka mampu berkomunikasi dan berdikari secara zahirnya.

Jika tidak diberikan sokongan, anak itu boleh sahaja jatuh pada peringkat 2. Dalam situasi yang berbeza, jika anak yang berada pada peringkat 3 contohnya, diberikan sokongan yang berkesan, anak itu boleh berubah kepada peringkat 2.

Hal ini boleh membantu anak tersebut untuk lebih berdikari dan berkomunikasi dengan lebih berkesan daripada yang sebelumnya.

Diharapkan artikel ini dapat membantu ibu bapa dalam mengenalpasti peringkat autisme anak mereka. Ingat, tujuan pengkelasan ini bukan hanya untuk melabel anak itu teruk atau tidak semata-mata.

Apabila kita dapat mengenalpasti peringkat autisme anak kita, maka kita juga akan lebih mudah untuk mengenalpasti bantuan dan sokongan yang bagaimanakah yang boleh diberikan kepada anak itu nanti.

Dengan bantuan dan sokongan yang berkesan dari ibu bapa, kehidupan anak akan bertambah lebih baik dari sebelumnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Risk Free Shipping

If your order lost during shipment, we will do the replacement or refund

180 Days Guarantee

If you don`t satisfied with your order, just let us know. We can exchange or refund.

100% Secure Checkout

Seamless Payment with CHIP / MasterCard / Visa