SAYANGKAN ANAK, DOA-DOAKANLAH – Menangani Anak yang Suka Menangis dan Mengamuk

mendoakan anak kita
Apakah kita selalu mendoakan anak kita?

“Abang, khadijah ni semakin hari semakin menjadi-jadilah sekarang ini. Geram Syifa dibuatnya. Kadang-kadang rasa nak cubit,” adu isteri saya melalui SMS ketika saya berada di pejabat.

Saya membaca SMS itu dengan perasaan celaru. Kemudian menjawab ringkas, Be Calm.

Saya sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Tidak tahu puncanya dan sejak bila ia bermula. Perangai Khadijah semakin hari semakin menduga kesabaran.

Apabila dia inginkan sesuatu dan gagal mendapatkannya, amukan adalah senjatanya. Entah berapa kali dia menangis sambil berguling di merata tempat, tidak kira di rumah, di pasar atau dimana sahaja.

Amukannya amat lama sehingga saya terpaksa menggunakan pelbagai strategi untuk memujuk dan mendukungnya ke kereta. Jiwanya sangat sensitif; selalu menangis dan mudah marah.

Entah apa puncanya. Mungkin dia sedar kedudukannya selaku anak bongsu akan tergugat tidak berapa lama lagi.

Waktu malam bersamanya juga amat mencabar. Tangisannya yang muncul seawal jam tiga pagi yang tidak henti-henti membuatkan kami merenung sesama sendiri.

Antara perkara yang boleh dibuat untuk meredakan anak yang sedang mengamuk adalah:

  1. Peluk anak dari arah belakang.
  1. Bisik ke telinganya yang anda sayang dan sangat faham dengan perasaannya.
  1. Bacakan Surah Toha ayat 1- hingga 5 pastu tiupkan di ubun-ubun anak
  1. Tenangkan dia dengan kata-kata kasih dan anda juga sendiri perlu bertenang.
  1. Jangan sekali-kali marah dan menjerit atau memukul anak dengan tujuan untuk mendisiplinkannya. Ia hanya akan menjadikan dia anak yang pengecut atau semakin suka memberontak.

Berkenaan situasi ini, ada satu kisah menarik berkenaan seorang bapa yang datang menemui Abdullah bin Mubarak untuk mengadu berkenaan anaknya yang selalu menyakitinya.

Abdullah bin Mubarak bertanya kepada lelaki itu, “Apakah engkau pernah mengutuknya?”

Lelaki itu menjawab, “Ya Pernah.”

Lalu Abdullah bin Mubarak berkata, “Engkau sendirilah yang telah merosakkanya.”

Benar, kadang-kadang dalam keadaan kita marah kepada anak, mungkin tidak disedari keluar perkataan-perkataan yang buruk seperti, “Ya Allah, nakalnya anak aku ni!” atau banyak lagi perkataan-perkataan lain yang mungkin kita tidak sedar kerana berada dalam keadaan marah.

Doa ibu bapa kepada anaknya termasuk dalam kategori doa yang amat mustajab.

Ketika kita mengeluh berkenaan dengan nakalnya anak kita, renungkan diri kita kembali. Apakah kita pernah mendoakan kebaikan untuknya?

Apakah kita selalu mendoakan anak kita termasuk dalam generasi mereka yang menunaikan solat?

Apakah kita selalu mendoakan anak kita menjadi anak yang soleh?

Apakah ketika kita marah, kita mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya untuk anak kita?

Saya teringat kepada ibu saya yang setiap kali saya meminta dia mendoakan saya, dia menjawab, “Ma tak pernah lupa doa untuk kebaikan dan kejayaan kesemua anak ma setiap kali selepas solat lima waktu.”

Banyak yang perlu dimuhasabah.

Jangan hanya berdoa sekali atau dua kali, terus kita mengharapkan anak kita akan berubah. Perlu lebih jujur dan istiqamah dalam berdoa jika kita benar-benar sayangkan anak-anak kita.

Sama-samalah kita mendoakan yang baik-baik untuk anak-anak. Jangan sesekali meremehkan kuasa doa.

Sayangkan anak, doa-doakan.

Semoga memberi memberi manfaat kepada pembaca Tudung Si Comel dan ibu bapa yang sedang mendidik anak-anak khasnya. =)

…………

Catatan ini diambil dari tulisan Ustaz Mohd Hisham Mohd Sharif, Manual Tarbiah Anak-Anak (buku catatan Suami bukan Malaikat, Isteri bukan Bidadari).

Jemput share. Terima kasih

One comment

  1. Assalamuaaikum
    Hari lebaran kian dekat tetapi ada satu masalah yang mengganggu fikiran. Anak lelaki sulung saya berusia 3 tahun selalu menangis semenjak dari lahir hingga sekarang. Semasa usianya 3bulan saya terpaksa berpisah dengan anak kerana mendapat tawaran kursus sebagai guru selama 3bln. Setelah 4 tahun menggangur rezeki datang. Tetapi hati berat nak tinggalkan anak. Namun suami terus menyokong untuk saya pergi memandangkan suami juga masih belum mendapat pekerjaan. Setelah tamat kursus, anak menjauhkan diri dari saya. Sedangkan ketika itu anak baru berusia 7bln. Hati saya hancur tatkala anak saya lebih rela memilih neneknya iaitu ibu mertua berbanding saya. Dalam usaha untuk mendekatkan diri dengan anak banyak cabaran dilalui. Saya asyik putus asa. Ibu mertua sering campur tangan. Bila anak menangis dia tidak beri peluang untuk saya berperanan sebagai ibu. Dia bertindak seperti ibu kepada anak saya. Sehingalah kami selalu berebutkan anak saya. Pernah terjadi pergaduhan tetapi saya tetap tidak disokong suami. Anak saya asyik didukung oleh ibu mertua kerana tidak mahu anak dipegang saya. Akhirnya diusia 1tahun 8 bulan anak saya baru dapat berjalan dan kini pada usia 3 tahun anak saya masih belum boleh bercakap. Anak saya sekarang perlu menjalani terapi di hospital setiap bulan. Dan semalam pakar terapi memberitahu kemungkinan anak saya dikenalpasti sebagai autism. Luluh hati saya. Anak pun sehingga sekarang tidak mesra dan ketakutan jika bersama saya. Dia hanya mahukan ayah atau neneknya sahaja. Bolehkah pihak tuan/puan memberikan jawapan penyelesaian. Saya buntu dan sedih. Untuk pengetahuan, saya tinggal bersama ibu mertua kerana suami saya anak tunggal.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

twelve + 4 =

Risk Free Shipping

If your orders lost during shipment, we will do the replacement or refund

Easy 180 days returns

180 days money back guarantee

100% Secure Checkout

Toyyibpay / MasterCard / Visa