Tidak dinafikan, ibu hamil akan menempuh pelbagai jenis dugaan dan cabaran sepanjang tempoh kehamilan termasuklah perubahan emosi ibu mengandung yang tidak menentu. Kami kongsikan artikel untuk rujukan anda yang sedang mengalaminya
Ada antara ibu hamil yang berasa geram dengan diri sendiri kerana mudah terasa, sedih dan gembira dalam satu masa yang sama. Ini membuatkan mereka keliru dengan kemahuan diri yang sebenar.
Tunggu dulu! Jangan begitu.
Perubahan hormon dan emosi ibu mengandung adalah hal yang wajar terjadi pada saat kehamilan.
Mungkin sebahagian besar ibu, mempunyai pengalaman yang menyenangkan. Namun, ada juga yang menempuh tempoh kehamilan ini dengan penuh pancaroba dan emosi yang bergelora.
Semua ini bergantung kepada hormon unik yang terhasil dalam setiap individu.
Sejak bila emosi ibu mengandung mula berlaku?
Sebenarnya, emosi ibu mengandung akan mula menunjukkan tanda-tandanya sejak tempoh awal kehamilan lagi.
Jadi, apakah simptom awal kehamilan?
- Sakit & pening kepala
- Rasa mual
- Letih & lesu
- Tiada pendarahan haid
- Bahagian sulit seperti payudara terasa sensitif
- Pendarahan implantasi
- Mood sering terganggu
Seperti yang kita tahu, setiap wanita yang mengandung akan bertindak balas terhadap situasi awal kehamilan dengan cara yang tersendiri.
Adakala, emosi yang tercipta sangat sukar dikawal yang menjadikan setiap wanita ini berekspresi secara melampau terhadap kegembiraan dan juga kegelisahan.
Salah satu faktor yang mempengaruhi keadaan ini adalah peningkatan kadar hormon progesteron dan juga estrogen pada tempoh kehamilan.
Kedua-dua hormon ini akan mempengaruhi kemampuan minda dan badan dalam mengendalikan mood dan perasaan ibu hamil.
3 tahap kandungan, 3 tahap perubahan emosi?
Dalam memahami emosi ibu mengandung, kita sebenarnya tidak akan lari dari mengaitkan usia kehamilan dan perubahan mood yang berlaku. Berikut adalah penjelasannya yang lebih terperinci
1. Trimester Pertama
Pada tempoh awal kehamilan ini, tubuh ibu hamil akan mula menghasilkan hormon-hormon penting seperti Human Chorionic Gonadotropin (hcG), progesterone dan juga estrogen.
Hormon-hormon ini ternyata sangat penting dalam membantu perkembangan pertumbuhan bayi saat dalam kandungan.
Selain mempengaruhi keadaan bayi, ia juga ternyata boleh memberikan beberapa kesan lain kepada si ibu seperti morning sickness, mood swings dan juga terasa lebih sensitif.
Selain itu, penerimaan si ibu terhadap bayi yang dikandung juga akan memberi kesan terhadap perubahan emosi ibu mengandung sepanjang tempoh kehamilan.
Kehamilan yang tidak diharapkan atau tanpa persediaan mungkin akan menyebabkan kesukaran seperti tekanan perasaan pada minggu-minggu pertama kehamilan.
Namun sebaliknya, jika kehamilan itu memang ditunggu-tunggu, perasaan gembira dan tidak sabar untuk menunggu kelahiran bayi akan dapat dirasai.
Justeru, ini juga mungkin menjadi satu punca kekuatan buat si ibu untuk terus menempuh gelora sepanjang kehamilan.
2. Trimester kedua
Pada ketika ini, emosi ibu mengandung cenderung menjadi lebih sensitif. Hal ini kerana, selain perlu menjadi lebih berhati-hati bagi menjaga kandungan, si ibu akan mempunyai pelbagai perubahan dari segi fizikal.
Antaranya adalah seperti tubuh badan yang semakin mengembang, wujudnya parut-parut di tubuh seperti selulit dan kesukaran untuk bergerak.
Jadi segala komen atau pendapat mengenai tubuh badannya akan mengguris hati dan menyebabkan si ibu berasa tidak yakin pada diri sendiri.
Perasaan sensitif yang dirasakan ini jika dibiarkan lama-kelamaan akan mengundang bahaya kepada para ibu seperti kemurungan tidak percaya diri dan tidak mampu melaksanakan aktiviti harian dengan baik.
Justeru, di sinilah peranan suami untuk menjaga dan sentiasa meningkatkan keyakinan isteri.
Kita boleh mula memuji ketabahannya, kecantikannya dan bertanyakan tentang perasaan serta aktiviti sehariannya.
Komunikasi yang baik serta pujian yang diberikan ini akan mampu menstabilkan emosi ibu mengandung sekali gus memberikan kebahagiaan yang berterusan serta mengharmonikan hubungan.
3. Trimester ketiga
Trimester ketiga adalah fasa terberat sepanjang tempoh kehamilan yang mana kadar hormon progesterone dan estrogen menjadi sangat tinggi. Selain menjadi tunjang utama kelancaran proses kehamilan, hormon-hormon ini turut berpengaruh terhadap keadaan emosi ibu mengandung.
Kepenatan fizikal dan mental adalah tentangan terbesar si ibu dalam tempoh ini. Ibu akan mengalami masalah fasa mood swings yang paling kerap dalam tempoh ini.
Jadi para suami sekalian, bersiap sedialah!
Ibu hamil akan berasa lebih letih, risau dan susah untuk tidur, yang akhirnya memicu kepada keadaan stress yang berlebihan.
Jika stress ini berterusan, ia akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada perkembangan bayi tetapi juga kehidupan seharian ibu.
Justeri, ibu harus mengutamakan kesihatan anak dan kebahagiaan diri. Mulakan dengan menghadiri kelas-kelas parenting bersama suami, berborak bersama si kecil, memperbanyakkan bacaan Al-Quran dan selawat serta mendengar muzik kegemaran.
Saya risau! Apakah cara mengawalnya?
Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga dalam menangani masalah emosi ibu mengandung. Berikut adalah tips berguna untuk anda kawal diri semasa berhadapan dengan emosi ketika hamil.
1. Meluahkan perasaan
Perasaan sedih dan kecewa yang melampau ini berpunca daripada rasa atau isi hati yang sudah lama dipendam seharian. Betulkan?
Jadi, cara yang terbaik untuk mengelakkannya menjadi barah adalah dengan meluahkan atau bercakap secara terbuka tentang perasaan yang kita rasakan kepada individu yang dipercayai seperti suami dan keluarga.
Selain mampu mengurangkan kegelisahan dalam hati dan memperoleh sokongan emosi, siapa tahu, masalah kesihatan yang kita hadapi juga akan dapat diselesaikan?
2. Tidur yang cukup
Ibu hamil akan merasai kepenatan yang melampau disebabkan oleh perubahan emosi dan juga pembawaan badan yang ternyata berganda dari yang sebelumnya.
Ada kalanya, sampai bengkak kaki si ibu berjalan menjalani kehidupan sehariannya.
Jadi, ibu hamil perlu mendapat tidur dan rehat yang mencukupi dalam memastikan emosi tidak mudah terganggu dan tidak mudah keletihan.
Minta sahaja bantuan daripada individu terdekat untuk perkara yang boleh membebankan diri kita.
Sebaiknya, ambil sedikit masa pada siang hari untuk mendapatkan rehat dan tidur yang sempurna bagi menyokong kemampuan meneruskan aktiviti harian. Namun begitu, jangan pula dilupakan tidur yang sempurna pada waktu malam.
3. Melakukan senaman ringan
Ramai rupanya yang masih lagi takut melakukan aktiviti senaman ringan pada tempoh kehamilan, sedangkan ianya dapat membantu menstabilkan emosi ibu mengandung.
Bahkan, dalam masa yang sama juga boleh mengawal berat badan agar kekal cergas dan sihat.
Hormon endorfin yang terhasil mampu memperbaiki perasaan hati si ibu sekaligus memberikan kegembiraan yang sempurna.
Yang penting, jangan lupa dapatkan nasihat dari pakar perubatan untuk melakukan sebarang aktiviti senaman,
4. Makan makanan berkhasiat
Makan makanan yang berkhasiat ini bukan sahaja bagus untuk kesihatan fizikal ibu dan bayi, tetapi ia juga mampu mengembalikan mood baik si ibu.
Selain dapat mengelakkan kita daripada memikirkan kesan buruk kesihatan, ia juga turut mengelakkan gangguan kepada hormon dalam tubuh.
Baca : 8 Makanan bagus ibu mengandung yang mudah disediakan
Bayangkan jika si ibu meneruskan kehidupan seharian dengan mengamalkan makanan yang tidak berkhasiat?
Bukan sahaja tahap kesihatan emosi dan fizikal menjunam, ibu juga akan cenderung untuk hilang keyakinan diri terhadapa tubuh badan yang semakin membesar daripada yang sepatutnya.
5. Melakukan aktiviti yang digemari
Bagi kami, tiada istilah pembaziran buat ibu yang ingin melakukan aktiviti kegemarannya seperti menonton wayang, melawat galeri seni atau keluar bercuti dalam usaha menggembirakan diri.
Asalkan ia tidak melanggar syariat, dilakukan secara berpada-pada, dan tidak memudaratkan diri serta perbelanjaan.
Ibu hamil akan berasa lebih relaks dan tenang saat melakukan aktiviti kegemarannya. Secara tidak langsung, ia akan membantu memberikan kestabilan emosi dan meningkatkan tahap kegembiraan.
Semoga dengan perkongsian mengenai emosi ibu mengandung ini, para ibu sekalian mampu mengawal diri dan emosi sekaligus lebih menghargai diri sepanjang tempoh kehamilan.
Persediaan rapi dari segi mental, emosi dan kemahiran akan dapat memberi kelebihan kepada ibu dan bapa dalam mengharungi tanggungjawab dengan baik.
Apakah kesan awal perubahan emosi ibu mengandung?
Rasa mual
Letih & lesu
Tiada pendarahan haid
Bahagian sulit seperti payudara terasa sensitif
Pendarahan implantasi
Mood sering terganggu