Setelah anak lahir antara tugas utama ibu bapa ialah untuk adakan bonding ataupun ikatan dengan anak. Anak-anak yang mempunyai bonding yang kuat dengan ibu bapa kebiasaannya kurang mempunyai masalah yang melibatkan emosi.
Sebenarnya untuk aktiviti bonding ini, ibu bapa tidak perlu tunggu waktu bercuti sahaja. Malahan pelbagai aktiviti boleh dilakukan dan manfaatkan masa terluang bersama hanya dari rumah sahaja.
Antara sebab kenapa kena bina bonding dengan anak
Terdapat banyak sebab dan manfaat dari bina bonding dengan anak. Antaranya ialah;
1. Bantu mengurangkan insecurity anak
Anak yang membesar dengan masalah seperti tidak percaya diri (low self-esteem) selalunya akan menyebabkan mereka rasa lebih tidak selamat (insecure) dengan diri sendiri.
Rasa insecure dalam diri anak muncul apabila keinginan diri tidak terjadi seperti yang dikehendaki mereka.
Sebagai contoh, rasa tidak yakin dengan kebolehan diri atau berasa kurang pintar berbanding dengan rakan sebaya.
Antara sebab kena bina bonding dengan anak dan mempunyai ikatan yang kuat dengan mereka ialah untuk anak dapat belajar menggunakan kelebihan diri sedia ada.
Selain tu mereka tidak mudah berasa gusar atau bimbang dengan kelemahan yang ada. Anak juga bahkan akan lebih berdikari, percaya akan kemampuan diri, serta mudah atasi masalah insecurity yang dirasi.
2. Dapat didik anak menyelesaikan masalah
Bonding atau ikatan yang kukuh antara anak dan ibu bapa penting bagi membantu perkembangan intelektual, rohani serta fizikal mereka.
Antara kebaikan yang boleh diperolehi dari aktiviti bonding antara ibu bapa dan anak ini ialah dapat bantu mereka boleh belajar selesaikan masalah dalam hidup.
3. Anak mudah untuk lebih berdisiplin
Anak yang mempunyai bonding yang kuat dengan ibu bapa mudah untuk lebih berdisiplin. Anak-anak akan lebih percaya kepada ibu bapanya dan dengan ini lebih mudah untuk mendidik mereka agar berdisiplin.
Selain itu, atas dasar kepercayaan ini mereka mudah dilatih agar lebih tenang dan bersabar ketika berhadapan dengan masalah yang dihadapi.
Selain itu, didikan ini secara tidak langsung mendidik anak untuk secara sukarela boleh membantu ahli keluarga lain dalam pelbagai aktiviti.
4. Dapat latih kemampuan berkomunikasi anak
Aktiviti bonding itu sendiri melibatkan komunikasi antara individu ke individu. Anak dapat meluahkan perasaan dan juga rasa hati mereka tanpa rasa tertekan.
Justeru itu, tidak hairanlah melalui aktiviti bonding yang melibatkan komunikasi dua hala ini dapat membantu mereka berlatih untuk interaksi secara baik dengan orang lain.
Kemahiran berkomunikasi ini sangat penting untuk mereka nyatakan pendapat dan juga pendirian dengan yakin.
Selain itu ianya penting seiring anak membesar untuk bantu mereka lebih cemerlang dalam sama ada pembelajaran atau ketika masuk ke alam pekerjaan kelak.
5. Kelebihan pada ibu bapa untuk fahami anak
Selain dari empat manfaat bonding untuk anak di atas, ibu bapa dalam masa sama dapat lebih memahami karakter dan sikap anak.
Berkomunikasi dan melakukan aktiviti bersama berupaya membuatkan ibu bapa lebih faham apa yang anak-anak perlukan dalam hidupnya.
Selain itu, melalui aktiviti yang boleh meningkatkan bonding, ibu bapa berpeluang menyelami perasaan dan juga emosi selain tidak membuatkan mereka berasa jauh dan tidak dipedulikan.
Bagaimana bonding boleh beri impak positif pada emosi anak?
Tingkahnlaku yang baik dan cerdas datangnya dari emosi anak yang baik. Dalam sibuknya ibu bapa dalam mencari rezeki dan aktiviti seharian, tidak seharusnya lupa meluangkan masa dengan anak.
Cara asuhan ibu bapa juga boleh memberikan kesan jangka panjang pada perkembangan mental dan emosi anak sama ada secara positif ataupun negatif.
1. Anak rasa diabaikan
Sesuatu keluarga mungkin mempunyai segalanya dari segi harta dan keperluan harian.
Namun, tiadanya bonding antara ibu bapa dan anak menyebabkan mereka rasa terabai dari segi emosi walaupun keperluan material sudah dicukupkan.
Mereka akan mudah mencari kasih sayang dan perhatian yang diinginkan dari luar rumah.
Keadaan ini akan menyebabkan anak-anak yang kurang bonding dengan ibu bapa ini mudah terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat dan mudah memberontak.
2. Dapat bezakan antara baik dan buruk
Namun jika bonding antara ibu bapa dan anak tadi dipenuhi, nilai-nilai murni dapat diajarkan kepada mereka sejak dari kecil lagi.
Mereka juga lebih berpontensi tinggi dan dapat belajar membezakan antara perkara-perkara yang buruk dan baik.
Anak-anak belajar terus dari ibu bapa mereka, oleh itu belajarlah menjadi ibu bapa yang tenang dalam mendidik mereka.
Contoh cara bina bonding dengan anak
Pelbagai aktiviti yang boleh mencipta bonding atau ikatan dengan anak dengan kuat datang dari aktiviti yang menyenangkan.
Maksudnya disini ialah melakukan aktiviti bersama dengan baik contohnya makan bersama, mengemas bilik dan juga melalui pelbagai jenis aktiviti beriadah di tama.
Selain itu bonding juga boleh tercipta melalui hanya dengan melakukan aktiviti ringan dan mudah seperti menyikat rambut mereka, menyapu losyen dan menghantar anak tidur di biliknya sambil bercerita.
Selain itu elemen yang utama untuk cipta bonding dengan anak termasuklah;
1. Berkomunikasi secara baik dengan anak
Ibu bapa seharusnya berlatih untuk berkomunikasi dengan baik dengan anak.
Tidak dinafikan buat ibu atau bapa yang baru mempunyai anak contohnya, perasaan janggal untuk bermesra dengan anak pasti ada.
Lagi-lagi kalau momen bonding tidak dipraktikkan sejak anak kecil lagi. Tiba-tiba masa berlalu dengan sangat pantas serta anak sudah meningkat remaja.
Rasa canggung dan tidak tahu hendak mulakan dari mana. Walaupun apa sahaja ketikanya, masih tidak terlambat untuk ibu bapa mencipta bonding dengan anak.
Jangan jadikan alasan mereka sudah besar panjang untuk melepaskan tanggungjawab.
Selain itu tidak dinafikan cabaran didik anak zaman digital memberi kesan kepada pola asuhan ibu bapa terhadap anak. Ibu bapa cenderung berikan gajet dari berbual dengan mereka.
Anak-anak masih perlukan perhatian dan juga ruang untuk bertukar-tukar pendapat atas permasalahan atau keadaan yang mereka sedang hadapi.
Siapa lagi kalau bukan dengan ibu bapa mereka sendiri.
2. Libatkan anak dalam aktiviti di rumah
Aktiviti yang mudah dilakukan ialah melibatkan anak dalam aktiviti di rumah. Ini termasuklah berkemas bersama, susun permainan dalam kotak dan juga melipat baju.
Sambil aktiviti ini dilakukan ibu bapa boleh saling bercerita dan berkongsi pendapat dengan anak.
Jika ada kesalahan yang mereka lakukan dalam aktiviti tersebut, maka tegurlah dengan baik dan berhemah. Ini supaya mereka boleh belajar menerima kesalahan dan berusaha membetulkannya semula.
Tiada yang sempurna dalam hidup ini. Oleh itu ibu bapa juga perlu berlapang hati menerima kesalahan anak yang sedang membesar.
Ajarkan mereka untuk sentiasa berusaha dan tidak ulangi kesalahan yang sama pada masa hadapan.
Penting bina bonding dengan anak dari kecil
Kesimpulannya kebanyakan aktiviti yang bina bonding ini melibatkan komunikasi yang baik. Dengan berkomunikasi dengan baik anak dapat membina keyakinan diri selain boleh melontarkan pendapatnya sendiri.
Selain itu dengan bina bonding dengan anak buatkan mereka rasa tidak diabaikan oleh orang tua.
Ini kerana mereka tahu pendapat mereka akan didengar dengan baik oleh orang terdekat iaitu ibu bapa mereka sendiri.
Oleh itu untuk ibu bapa, walaupun sibuk dengan kerja harian seharusnya sentiasa mencari ruang dan masa untuk luangkan bersama anak.
Nak dapatkan bermacam info dan produk dari tudung Si Comel?? Jom Follow FB Page Tudung Si Comel