Apakah yang dimaksudkan dengan susu EBM dan kaitannya dengan tumbesaran seorang bayi? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai susu EBM, manfaatnya pada anak dan cara menguruskannya agar tahan dalam tempoh masa yang lama, para ibu disarankan untuk ikuti perkongsian artikel ini sehingga habis.
Pengalaman seorang ibu dengan susu EBM
“Saya nekad mahu anak membesar dengan susu ibu. Yang menjadi masalahnya adalah, saya sendiri tidak pandai untuk buat stok susu EBM semasa dalam pantang!”
Ini adalah antara dialog popular seorang ibu yang dilema kerana terpaksa berjauhan dengan bayi di bawah umur 6 bulan atau ibu yang bekerjaya misalnya. Ia menjadi masalah kerana dalam keghairahan seorang ibu yang ingin bayinya menyusu susu ibu sepenuhnya, dia juga terikat dengan tempoh cuti bersalin yang hampir habis.
Mahu tidak mahu, si ibu perlu menyiapkan diri untuk menghadapi cabaran dari segi mental dan fizikal bagi memastikan anak boleh menyusu dengan sebaik mungkin. Saya suka merujuk kepada kaunselor laktasi, Puan Suraya Ali.
Menurut beliau, dari mula kita mengetahui akan meninggalkan bayi (terutama bagi yang berusia dibawah 6 bulan) untuk outstation, kita sudah boleh mula mengepam susu dengan lebih kerap dan menambahkan sesi pengepaman di waktu pagi dan malam. Jadi, ibu tidak susah hati jika susu ibu yang ditinggalkan tidak cukup untuk anak nanti.
Anggaran yang perlu ditinggalkan (lebih dan kurang)
- 30 oz sehari (bersamaan 10 botol yang diisi 3 oz setiap botol).
Hakikatnya anak minum mengikut kehendaknya dalam kauntiti berbeza-beza. Baiklah, mari saya ringkaskan dalam bentuk formula yang lebih mudah.
Berapa Lamakah Jangka Hayat Susu EBM
Pengalaman menyusukan lima orang anak, saya selalu merujuk Buku Panduan Penyusuan Susu Ibu Bagi Ibu Bekerjaya Edisi Kedua terbitan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur kerana ia lengkap dan mudah untuk difahami.
Susu ibu yang diperah boleh disimpan di dalam keadaan dan tempoh masa seperti berikut:
Penyimpanan susu ibu | Suhu | Tempoh masa |
Bekas penyejuk (cooler bag / box) | kurang 4 °C) | Tahan sehingga 12-24 jam |
Dalam suhu bilik | 25°C hingga 37°C | Tahan sehingga 4 jam |
15 hingga 25 °C | Tahan sehingga 8 jam (dalam bilik yang ada penghawa dingin) | |
Dalam peti 2 pintu (rak atas) | 2°C hingga 4 °C | Tahan sehingga 3- 5 hari. Selepas 5 hari jika tidak digunakan, digalakkan untuk memasukkan susu tersebut di bahagian dingin beku (freeze) |
Dalam peti sejuk bahagian beku (1 pintu) | Tahan 2 minggu | |
Dalam peti sejuk bahagian beku (2 pintu) | -18 hingga -20 °C | Tahan sehingga 3 bulan |
Formula ini hanya sebagai panduan. Boleh jadi ianya sesuai untuk anda dan bayi atau boleh juga ia tidak sesuai. Namun, sekurang-kurangnya kita dapat memahami asas penyimpanan susu EBM.
Terma yang digunakan:
- Berapa jam anda meninggalkan bayi (H)
- Anggaran satu botol ialah 3 oz (B)
- 3 oz memadai untuk fungsi normal tubuh bayi.
- Biasanya bayi akan minum selang 2 jam dan sedikit-sedikit
- Untuk bayi di bawah usia 6 bulan formulanya ialah B = H / 2
Contohnya jika kita bekerja 10 jam. Bahagi 2 sama dengan 5 botol susu diperlukan. 5 botol susu sama dengan 15 oz (5 *3oz). Untuk bayi berusia 6 bulan sehingga 12 bulan, formulanya ialah B = (H/2)-1.
Contoh lain, ibu bekerja 12 jam. Bahagi 2 sama dengan 6 botol susu. Tolak 1 botol sama dengan 15 oz.
1 botol yang kita tolak adalah kerana bayi sudah boleh makan dan hidangan tersebut boleh digantikan dengan makanan seperti nasi, sayur mahupun buah.
Selepas bayi berusia 12 bulan ke atasa, formulanya ialah B = (H/2) -2. Kuantiti 2 botol yang ditolak juga kerana telah digantikan dengan makanan bayi.
Semakin bayi membesar, ibu akan menghasilkan susu yang semakin berkurangan kerana hormon prolaktin yang menyusut dan dalam masa yang sama bayi anda bersedia untuk menikmati pelbagai kelazatan makanan.
Cara Pengendalian Susu EBM untuk Pengasuh
Sekiranya bayi mahu ditinggalkan pula kepada pengasuh dari pukul 8 pagi, bayi perlu disusukan terlebih dahulu. Minta pengasuh untuk elak dari memberi bayi minum susu setiap kali dia “berbunyi”, sebaliknya tukar lampinnya (jika basah), angkatnya (jika bayi bosan), tepuk-tepuk perlahan untuk menenangkannya, atau sebagainya.
Hal ini kerana, ada ketikanya bayi meragam kerana beberapa faktor seperti inginkan perhatian kita bukannya laparkan susu semata-mata. Namun begitu, jika bayi minum kurang sepanjang siang, kebiasaannya dia akan minum dengan banyak secara terus dari ibunya (pada waktu malam). Keadaan ini dipanggil sebagai Reverse Cycling.
Tempoh Ketahanan Susu EBM pada Suhu Bilik Setelah Dipanaskan
Jangan lupa untuk beritahu pengasuh bahawa susu yang sudah dipanaskan (3 oz) tahan selama 2 jam. Dalam masa yang sama elakkan dari memaksa bayi habiskan ke semua susu tersebut serentak, simpan susu ditepi dan offer lagi bila perlu.
Gunakan cup kecil, picagari mahupun sudu untuk lebih mudah mengawal kuantiti susu yang anak akan minum. Jika memilih menggunakan botol, gunakan puting bersaiz paling kecil dan elak dari tukar saiz puting walaupun bayi sudah besar.
Pengalaman seorang ibu menyusukan bayinya memang tidak mudah dan ibu perlu kental bagi memastikan anak boleh membesar dengan sihat. Menurut info daripada buku Baby Whisperer, tangisan bayi bukan bermaksud lapar susu semata mata atau susu yang ibu hasilkan sedikit, jadi dia kerap menangis.
Bergelar ibu bapa bukan memastikan anak sentiasa kenyang sahajakan? Fahami tangisannya, ianya akan lebih mudah untuk kita sebagai ibu bapa. Apa yang perlu kita buat adalah berusaha susukan bayi pada bila-bila masa yang dimahukannya dan sekerap mungkin (2 jam sekali jika bayi tidur).
Perah / pam susu ibu yang keluar semasa payudara membengkak dan bayi masih tidur (atau sudah kenyang). Jadual mengepam ialah pada setiap waktu pagi sebaik sahaja bangun dari tidur atau terpulang pada ibu sendiri.
Tips sebelum mula mengepam:
- Minum segelas air.
- Bertenang, nikmati pagi anda
- Tiada kuantiti yang dijangkakan
Mengepam susu dalam mood kita yang positif dan tenang lebih mudah sebenarnya berbanding dalam keadaan tertekan atau mengalami tekanan.
Fahami Cara Simpan Susu EBM
Selepas mengepam, susu boleh disimpan di bahagian bawah peti ais (fridge). Ianya tahan selama lebih kurang 3 ke 5 hari sebelum dinaikkan ke peti ais atas (freezer).
Cara Susun Susu EBM dalam Freezer
Selepas 2 hari, jangan lupa untuk naikkan susu tersebut ke freezer agar ia membeku. Kita boleh melabelkan botol atau beg plastik susu mengikut tarikh susu itu di pam dan disimpan agar mudah bila mahu digunakan. Sebelum diberikan kepada anak, pastikan goncangkan susu perlahan-lahan supaya lemak yang terlekat pada dinding botol dan bercampur dengan sebati.
Saya pernah terbaca dalam blog seorang ibu, tentang bagaimana beliau melabelkan botol tanpa perlu menulis tarikh di botol. Caranya dengan melabelkan botol dengan nombor lalu kertas yang digunakan untuk mencatat tarikh perahan itu ditampal di peti ais. Unikkan?
Cara Menguruskan Susu EBM ketika di Hotel
Apabila membawa anak bercuti dan kita menginap di hotel, ibu boleh mengepam susu 3 jam sekali atau pada bila-bila masa yang senggang. Simpan susu yang diperah didalam cooler bag yang berisi ice gel. Sampai di bilik hotel, kita boleh memuatkan ke semua susu tersebut ke dalam peti ais beku (freezer) atau fridge sahaja
Cara Bawa Susu EBM Sejuk Pulang ke Rumah
Habis bercuti dan mahu bersiap untuk pulang ke rumah, ibu boleh letakkan ice gel di bahagian bawah dan atas susu susu bagi memaksimakan suhu sejuk di dalam cooler bag tersebut.
Cara Bawa Susu EBM Dalam Perjalanan Jauh
Ada ibu yang risau susu perahannya akan rosak semasa dibawa pulang dari kampung ke rumah sendiri selepas habis tempoh berpantang. Jangan risau, kita boleh muatkan ke semua susu perahan ke dalam cooler bag.
Dinasihatkan pilih cooler bag yang agak besar (bergantung kepada jumlah hari berpergian) dan tempat simpan susu yang bersesuaian. Anggaran sehari kita akan mengepam 30 oz, maka darabkan dengan jumlah hari. Dengan cara itu, kita boleh agak berapa banyak botol atau plastik simpan susu yang perlu dibawa.
Tipsnya, selagi masih ada kristal ais, susu tersebut masih dalam keadaan elok. Dari pengalaman saya sendiri, perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 4 jam kerana jarak yang jauh. Semasa di kampung, saya minta Encik Suami carikan bekas polistrin isi ikan.
Ia mudah ditemukan kerana banyak dijual di kedai runcit berhampiran mahupan pasaraya seperti Tesco. Bagi polistrin bersaiz sederhana, harganya hanya sekitar RM8.90 sahaja
1. Cara cara membawa susu perahan dalam perjalanan jauh:
- Masukkan separuh plastik air batu ke dalam bekas polistrin.
- Keluarkan susu dari freezer dan belek botol susu untuk perhatikan berapa oz kuantitinya. Step ini hanya untuk memastikan kita teliti dengan keadaan dan jumlah susu yang masih berbaki.
- Susun botol yang berisi susu yang sudah dibekukan di atas ais.
- Lapiskan dengan ais batu sekali lagi.
2. Tips lain yang boleh digunakan:
- Uruskan hal berkenaan dengan susu ini sebagai yang terakhir sebelum masuk ke dalam kereta.
- Lakukan perjalanan malam (dari kampung ke rumah sendiri) kerana cuaca yang sejuk boleh melambatkan susu rosak.
- Tidak perlu singgah menyinggah untuk elak pertambahan tempoh perjalanan.
- Letak bekas susu dalam kereta, bukan dalam boot kereta.
Tips yang saya kongsikan ini memang berkesan kerana saya sendiri mempraktikkanya. Sampai sahaja di rumah, susu semuanya masih melekat-lekat antara satu sama lain. Siap ketuk-ketuk pakai apa yang ada untuk meleraikan sesama mereka.
Alhamdulillah, semuanya masih beku dan boleh dimasukkan ke dalam freezer dirumah sendiri. Jika masih ada kristal ais, susu ini masih boleh dibekukan semula. Namun jika ais sudah mencair ke semuanya, ia perlu digunakan dalam tempoh 24 jam, ya!
Cara Bawa Susu EBM Frozen Pulang ke Rumah
Bagi perjalanan luar negara, susu perlu dimasukkan di dalam luggage dan bukannya hand carry. Pertimbangkan berat maksima luggage kita yang mungkin boleh dibeli lebih awal (seperti Air Asia boleh sehingga 30kg).
Pada kotak pendingin, pastikan ia dibungkus, ditampal pelekat fragile, yang bersimbolkan “keep up right atau handle with care“.
Bagi memastikan susu EBM kekal dalam suhu sepatutnya, letakkan pek ais di bahagian bawah dan atas. Boleh juga taburkan garam di dalam bekas bagi mengelakkan ais cepat cair. Bagaimanapun, jika kaedah yang digunakan betul, susu EBM yang disimpan di dalam kotak pendingin atau beg pendingin (0-4 darjah celsius) mampubertahan antara 12 hingga 24 jam.
Setelah sampai di Malaysia, keluarkan semua susu EBM dan susu yang masih mempunyai kristal ais boleh disimpan semula di dalam peti sejuk beku.
Nota Penting Berkaitan Penyimpanan Susu EBM
Memang ada bahagian yang cair namun seperti yang dinyatakan, susu ini boleh disimpan semula ke dalam freezer. Sekiranya aisnya cair ke semua sekali, ia perlu digunakan dalam tempoh 24 jam.
Nota tambahan:
- Susu EBM tahan dalam fridge selama 5 hari.
- Susu EBM beku dari bahagian dingin beku yang telah dicairkan di bahagian rak atas peti sejuk boleh tahan sehingga 24 jam dan tidak boleh dibekukan semula.
Alhamdulilah lega hati ibu yang terlalu risaukan susu berbanding tuan badan sendiri. Jangan susah hati ya ibu. Pengalaman dengan susu EBM adalah kenangan manis buat semua ibu di luar sana. Bangun 3 jam sekali untuk mengepam susu. Sampai terlentok dan tersengguk-sengguk bangun berkali-kali di malam hari. Demi dia, demi anak-anak kita. Kan ibu-ibu?
Teruskan menyusui, doa saya bersama anda! (Perhatikan perkembangan kecergasannya begitu juga keadaan kesihatan bayi kita). Oh ya, jangan lupa sendawakan bayi anda selepas susukannya.
Selamat menyusui anak dengan gembira!
hi, boleh saya tahu bekas polisterin atau cooler box ya yg lebih berkesan untuk memastikan frozen ebm kekal beku dalam tempoh lebih lama? saya akan travel lebih kurg 8-9 jam nanti dr seremban ke perlis 🥹