mengemas bilik

Bagaimana Mengajar Anak Membersih & Mengemas Bilik?

mengemas bilik
Salah satu cabaran ibu bapa masa kini adalah untuk memastikan bilik anak sentiasa kemas dan bersih.

Dalam menguruskan anak-anak, ada tiga perkara yang boleh membuatkan anda mendapat ‘darah tinggi’ bila berkaitan dengan bilik mereka:

Pertama, memastikan bilik mereka bersih dan kemas.

Kedua, berjam-jam masa dihabiskan untuk mengemas dan membersihkan bilik mereka, tetapi ia akan kembali disepahkan dalam masa 1 minit sahaja.

Ketiga, kita menyuruh anak-anak mengemaskan bilik, tetapi apabila anda datang untuk check progress yang mereka buat, anda akan dapati mereka tak buat apa-apa pun.

Pasti keadaan ini membuatkan kita stress.

Adakah anda setuju dengan penyataan saya ini?

 

Sekarang adalah masa untuk menyelesaikan masalah ini.

Sebenarnya kita tidak boleh marah kepada anak-anak.

kita yang salah.

Kita selalu menjerit kepada anak-anak, mengarahkan mereka untuk mengemaskan bilik, sedangkan pada masa yang sama kita tidak pernah mengajarkan bagaimana caranya kepada mereka.

Mereka masih kecil, mereka perlu ditunjuk cara dan dilatih. Kadang-kadang bilik yang betul-betul macam kapal pecah boleh menyebabkan mereka buntu untuk mengemas.

Mengemas bilik memerlukan banyak kerja, dan anak-anak perlu diajar dan dilatih melaksanakan setiap kerja-kerja itu.

Tunjukkan dahulu apa yang patut dibuat mula-mula (dan kedua serta ketiga). Tunjukkan bagaimana menyimpan barang ke tempat yang telah dikhaskan. Tunjukkan cara yang betul – step by step.

Sekali mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan, InsyaaAllah ia akan menjadi rutin dalam kehidupan mereka, dan akan membantu melancarkan kehidupan rumah tangga kita.

Topik kali ini saya akan menunjukkan cara yang efektif dan betul untuk membersihkan dan mengemaskan bilik bagi anak-anak, yang mampu diselesaikan dalam masa kurang dari setengah jam.

 

Langkah Pertama: Mengemas Katil dan Tilam

Dalam langkah pertama ini, kita perlu bermula dengan satu tempat dahulu.

Bermulalah dengan mengemaskan kawasan tempat tidur, iaitu katil dan tilam. Barang-barang lain selain dari dari bantal dan selimut kita tolak atau pindahkan semuanya ke lantai.

Lipat selimut dan susunkan balik bantal serta anak-anak patung teddy bear. Cadar diperbetulkan dan tukar jika perlu.

 

Langkah Kedua: Mengutip dalam masa 5-Minit

Sediakan raga pakaian, bekas plastik dan bakul sampah dalam bilik anak-anak.

Cuba ajarkan kepada anak-anak supaya dapat membezakan setiap jenis barang dan longgokkan ke dalam bekas mengikut jenis masing-masing.

Mulakan dengan barangan berkaitan dan barang yang bersaiz besar dulu. Selepas itu barangan yang lebih kecil.

Biasanya perkara ini boleh dibuat dalam masa 5 minit. Mungkin pada pertama kalinya anak-anak akan mengambil masa yang lebih, tetapi insyaAllah pada sesi-sesi seterusnya mereka akan dapat menyelesaikan tugasan dengan lebih cepat.

Setelah semua barang-barang ini selesai dikumpul, sepatutnya tiada apa-apa lagi yang tinggal diatas lantai (Ini adalah waktu yang sesuai untuk mengutip dan menyingkirkan sampah-sampah yang kecil yang tak kelihatan selama ini)

 

Langkah ketiga: Simpan Kembali Barangan Ke Tempat Sepatutnya

Mulakan dengan satu bakul longgokan dahulu (biasanya dimulakan dengan pakaian), dan simpan barangan lain ke tempat asalnya.

Jika anak anda tidak tahu cara menyangkut pakaian dengan betul, ini adalah masa bagus untuk mengajarkan mereka berbuat demikian.

Setelah selesai satu longgokan, selesaikan longgokan seterusnya sehinggalah bilik kembali kemas.

Kadang-kadang kita perlu memantau dimana anak menyimpan barang-barang ini supaya tidak berlaku masalah dikemudian hari.

 

 Perkara-perkara lain yang perlu diberi perhatian

1. Hadkan jumlah barangan di bilik anak

Kanak-kanak sebenarnya tidak memerlukan banyak barang.

Apabila mereka mempunyai terlalu banyak barang seperti barang mainan contohnya, mereka akan mengalami kesukaran untuk bermain dengan apa-apa pun nanti.

Ia akan membataskan kreativiti dan meninggalkan ruang yang sedikit untuk imaginasi.

Jika anda pernah mengemas bilik yang penuh dengan barang permainan, perabut dan pakaian, pasti anda akan tahu betapa sukarnya ia.

Jika kita pun berasa sukar, apatah lagi bagi anak-anak kita yang masih kecil kan?

Tetapi oleh kerana kanak-kanak adalah seperti magnet kepada barang mainan, ia adalah penting untuk kita ‘membersihkan’ ia setiap masa.

 

2. Buatkan perkara mudah untuk disimpan

Jika anak perlu bersusah-susah menyimpan buku di dalam rak buku yang padat, bagaimana anda boleh harapkan buku akan selalu di letakkan di tempat asalnya?

Apa yang anda rasa jika anak kecil perlu memanjat diatas kerusi untuk buka bahagian atas almari untuk menyimpan atau menukar mainan?

Cubalah untuk menyingkirkan halangan sebanyak yang boleh; jadikan kotak simpan permainan dapat dicapai seboleh mungkin, singkirkan item yang tidak digunakan supaya  bilik tidak sesak nanti.

 

3. Gunakan bekas container dan drawer plastik yang kecil dan lutsinar.

mengemas bilik tidur anakBekas seperti ini adalah sangat bagus untuk menyimpan permainan kanak-kanak yang kecil-kecil dan menjimatkan ruangan bilik.

Bekas yang lutsinar akan membantu anak melihat apa dalam bekas itu dan apa yang patut disimpan kemudiannya. Tambahkan label diluar bekas itu dan ia siap digunakan.

Kelebihan menggunakan drawer plastik lutsinar adalah kita boleh menarik keluar sepenuhnya untuk di letakkan diatas lantai. Apabila ingin mengemas bilik, anak-anak boleh meletakkan alat mainan di dalam bekas tersebut, seterusnya hanya slide masuk ke tempat asal drawer itu.

Ini adalah bekas kegemaran saya di rumah.

 

4. Tetapkan rutin mengemas bilik setiap hari.

Tetapkan masa tertentu dalam satu hari untuk anak-anak mengemas bilik.

Pastikan masa tersebut anak anda mempunyai tenaga. Jika anda menunggu sehingga waktu sebelum tidur, itu selalunya sudah terlalu lewat.

Jadikan ini satu keutamaan. Mengemaskan bilik 5 minit setiap hari akan memastikan keadaan bilik sentiasa terkawal.

Tentukan masa khas untuk pembersihan penuh bilik untuk membuang habuk dan kotoran, contohnya hujung minggu.

Pastikan anak anda patuh pada rutin ini. Kita ingin mendidik anak yang berdisiplin dan mementingkan kebersihan serta kekemasan.

Tetapkan peraturan dan akibatnya. Contohnya, jika bilik tidak kemas, mereka tidak dibenarkan untuk keluar bermain atau menonton tv.

 

Penutup: Jangan mengharapkan kesempurnaan

Walaupun anak kita seorang yang cepat belajar dan boleh melakukan kerja dengan bagus, kita sepatutnya kerja mereka sempurna. Mereka masih kecil dan sentiasa perlu dipantau.

Tetapi janganlah lupa pula untuk memberi mereka pujian atas kerja yang mereka buat. Terangkan kepada mereka pentingnya kekemasan dan kebersihan, serta betapa Islam menitikberatkan ini dalam kehidupan seharian kita.

Semoga apa yang dikongsikan ini memberi manfaat kepada semua pembaca Tudung Si Comel. InsyaaAllah saya akan berkongsi petua seterusnya dalam artikel yang akan datang.

Published by

Muhamad Naim Abd Manaf

Muhamad Naim merupakan seorang guru dan pengasas kepada blog akuislam.com. Semoga segala apa yang dikongsikan memberi manfaat kepada semua ibu bapa pembaca laman ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

WordPress Anti-Spam by WP-SpamShield